Kali pertama kupandang, pesona di wajahmu... Saat itu hatiku kan terpana...
********
Walaupun keletihan, Aqilah menggagahkan dirinya mengikut Afiq ke Butik An-Nisa. Mereka mahu mencuba baju pengantin yang ditempah untuk majlis yang bakal berlangsung tidak sampai sebulan sahaja lagi.
Puan Nik yang sedang duduk, tersenyum melihat Aqilah dan Afiq melangkah seiringan memasuki kedainya. Lebar senyumannya melihat kemesraan pasangan itu. Pasangan secocok! Puan Nik membuat penilaian sendiri.
Aqilah yang menyedari pandangan Puan Nik, cepat-cepat menjarakkan diri daripada Afiq.
"Amboi... Dari mana ni Qilah?" Sapa Puan Nik.
"Jalan-jalan, aunty," sahut Aqilah dengan senyuman.
"Aunty baru telefon mama kamu, tanyakan tentang kamu dan Afiq yang katanya nak datang ambil baju. Mama kamu dah bising-bising tadi bila aunty beritahu dia yang anaknya tak sampai-sampai lagi. Rupa-rupanya..." Puan Nik tidak meneruskan kata-kata, sebaliknya melirik pandang pada teruna dara sejoli di hadapanya itu.
Berkerut-kerut kening Aqilah mendengar kata-kata Puan Nik itu. Afiq di sebelahnya tersenyum senang.
"Hmm... Mama suruh Qilah datang ambil baju dari aunty," ujar Aqilah cuba mengelak daripada terus-terusan diusik.
"Siap dah. Tapi, aunty rasa elok kalau Qilah dan Afiq buat fitting dulu. Kalau ada apa-apa yang tak kena, aunty boleh terus betulkan apa yang patut." Puan Nik terus berjalan ke sebuah rak yang menempatkan tempahan-tempahan yang telah disiapkan. Dari situ, dikeluarkan beberapa pasang baju yang telah siap. Tiga pasang kesemuanya. Salah satunya sepasang baju kurung moden berwarna putih gading keemasan bertatahkan butiran permata. Baju tersebut direka khas untuk majlis akad nikah. Kebaya berwarna coklat dan gaun pula bakal dipakai semasa majlis resepsi nanti. Melihatkan koleksi baju tersebut, Aqilah menggeleng.
"Membazir sajalah mama ni. Yang wajib tu cuma akad nikah saja. Hisy!" Aqilah tidak henti-henti menggeleng.
"Mama Qilah tu sayangkan Qilah sebenarnya. Dia nak tengok majlis tu berjalan sempurna seperti yang dirancang. Nak tengok anak gadisnya ni bahagia dan gembira." Puan Nik cuba membela hasrat murni temannya yang sudah disalah ertikan oleh Aqilah. Ibu mana yang tidak mahu melihat anaknya bahagia dan gembira?
"Bahagia bukan boleh diukur melalui pakaian, aunty. Bahagia tu di sini!" Aqilah menepuk-nepuk dadanya beberapa kali. "lagipun, orang macam Qilah ni... Mesti nampak tak sesuai pakai baju feminin macam ni," rungut Aqilah.
"Emm... Cubalah dulu baju tu, Qilah!" Puan Nik mengarahkan Aqilah ke bilik persalinan. Gadis itu kalau tidak puas hati dengan mamanya, segalanya akan disuarakan.
"Afiq pun rasa lebih baik pergi fitting room. Cuba baju melayu yang aunty jahit tu."
Afiq menurut sahaja perintah Puan Nik. Lima belas minit kemudian, dia keluar dari bilik persalinan. Segak dengan baju Melayu warna putih gadingnya. Lelaki itu membetulkan samping keemasan yang agak longgar dan membiarkan leher bajunya tidak dibutang.
"Cantik!" Spontan pujian dilontarkan.
"Cantik, Qilah! Padan dengan Qilah," sokong Puan Nik.
YOU ARE READING
Suamiku yang terbaik
RomanceBerada dalam lingkungan keluarga sendiri, terasa diri bagaikan orang asing. sejak kecil, jiwa Nurul Aqilah menderita. diri seolah dinafikan hak sebagai anak kandung apabila ibu bapa sendiri menyanyangi orang luar melebihi diri sendirinya. entah apa...