-04- Cikgu

6.9K 226 1
                                    

"Semua dah ready?" tanya suaminya. Safiyyah menunjukkan tanda bagus. "Tak nak abang hantar?"

Safiyyah menggelengkan kepala. "Piya pergi sendirilah abang. Lagi pun Piya tak nak ganggu abang nak ke tempat kerja."

Si suami menganggukkan kepala. "Okay abang pergi dulu. Sayang jangan lewat ya."

Safiyyah bangun dari meja makan, membawa beg kulit suaminya. Beg itu diserahkan kepada suaminya sebelum dia mencium tangan suaminya. Kepalanya diusap lembut sang suami.

Sebaik kereta suaminya hilang dari pandangan, Safiyyah kembali ke meja makan, meletak pinggan cawan yang digunakan ke dalam sinki. Sarapan pagi yang berbaki, diletakkan di bawah tudung saji.

"Balik nantilah aku cuci pinggan cawan tu," omelnya.

Selepas berpuas hati yang keadaan rumah sudah kemas dan bersih, Safiyyah melangkah keluar lalu mengunci pintu. Dia menolak skuter hadiah dari ibunya keluar sebelum mengunci pagar.

"Yoshhh, mari mulakan hari ini dengan ceria," kata Safiyyah sebagai perangsang.

Beg sandangnya disangkut menyilang ke tubuhnya. Dia memakai topi keledar lalu menunggang skuternya ke sekolah yang bakal menjadi tempatnya menimba ilmu sebelum melangkah ke universiti. Itu pun kalau keputusan STPMnya tidak seteruk SPMnya. Safiyyah mengerut dahi. Minta-minta tak gagal lagi.

Sebaik sampai di perkarangan sekolah, skuternya diletakkan di tempat yang dikhaskan untuk pelajar. Dia turun dari skuternya, memasukkan topi keledarnya ke tempat simpanan, lalu memastikan baju kurungnya rapi. Nasib baik pelajar tingkatan 6 diberi kelonggaran berpakaian sendiri tapi masih lagi perlu mengikut garis panduan. Nampak macam pelajar kolej pun ada. Safiyyah tersenyum.

Safiyyah melihat kertas di tangannya. Dia akan mengikuti Jurusan Kemanusiaan dengan lima mata pelajaran yang diambilnya; Pengajian Am, Pengajian Perniagaan, Ekonomi, Matematik M dan Perakaunan. Dari Jurusan Sains semasa SPM, beralih ke Jurusan Kemanusiaan. Safiyyah sedikit mengeluh.

Safiyyah masuk ke dalam kelasnya. Sudah ramai pelajar yang ada. Safiyyah melemparkan senyuman kepada mereka. Dia hanya kenal beberapa orang sahaja. Itu pun tak rapat walaupun mereka pernah bersekolah di sekolah yang sama sebelum ini. Safiyyah meletakkan begnya di atas kerusi berdekatan dengan pintu. Sekurang-kurangnya dia sedikit terlindung di sini.

"Eh Piya, kau pun masuk form 6 juga?" sapa seseorang.

Safiyyah menoleh ke arah pemilik suara itu. "Yati, nasib baik kau ada. Aku ingat aku seorang di sini. Mati kesunyian aku nanti."

"Yelah tu. Eh sebelah kau ada orang tak?" tanya Yati, sahabat sekelasnya dari tingkatan 4.

"Aku rasa tak ada. Tak ada beg pun. Kau duduklah." Safiyyah menarik keluar kerusi di sebelahnya.

Yati duduk, membuka zip begnya lalu mengeluarkan kotak penselnya. "Kau apa khabar?"

"Alhamdulillah sihat. Kau?" tanya Safiyyah kembali.

"Alhamdulillah. Eh, apesal haa jari kau berinai ni?" tanya Yati lalu mencapai tangan Safiyyah.

Safiyyah melihat sekeliling lalu merapatkan kepalanya dengan kepala Yati. "Aku dah kahwin. Dah masuk dua minggu dah."

Mata Yati hampir tersembul keluar. "Kau biar betul. Tak jemput aku pun."

Safiyyah tersengeh. "Kawan sekolah, aku jemput Ani saja. Tapi sumpah Yat, time tu aku malu betul. Muda-muda dah kawin. Aku takut kena gelak. Tu yang aku tak inform sapa-sapa."

Yati menggelengkan kepalanya. "Sapa yang nak gelak? Bukan zaman kolot la. Tahniah. Nanti belanja aku makan, ganti nasi minyak kau yang aku tak dapat makan tu."

"Alright bos."

Suasana yang sedikit hiruk-pikuk bertukar sunyi apabila seorang pelajar masuk memaklumkan kedatangan cikgu. Safiyyah merapikan tudung di kepalanya. Dia duduk tegak, maklumlah hari pertama, kenalah semangat.

Mata Safiyyah terkebil-kebil menurut setiap langkah cikgu muda yang masuk ke kelas itu. Dia mengerutkan dahinya, mengedipkan kedua-dua matanya berkali-kali sebelum kembali melihat ke arah cikgu itu.

"Assalamualaikum cikgu," satu suara lantang memberi salam diikuti pelajar lain termasuk Safiyyah.

"Wa'alaikumsalam semua." Cikgu itu meletakkan begnya di atas meja. Dia kembali berpaling ke arah mereka. "Awak semua boleh panggil saya Cikgu Irfan."

Sayang Cikgu, SayangWhere stories live. Discover now