Safiyyah tahu sangat maksud senyuman ibunya tu, tetapi sengaja dia buat tak nampak. Dari awal lagi ibu dan sahabat baiknya merancang untuk merapatkan hubungan dua keluarga dengan menyatukan anak-anak mereka. Safiyyah sebenarnya tak faham kenapa dua keluarga ini tak boleh rapat atas dasar persahabatan sahaja.
Safiyyah melepaskan satu keluhan berat. Sengaja dibuat begitu supaya dapat dilihat oleh ibunya. Karipap yang baru separuh dimakan, diletakkan kembali ke atas piringnya. "Siapa orangnya bu? Hebat sangat ke?"
"Ish Piya ni. Mestilah anak Aunty Zubaidah kau tu hebat orangnya. Kalau tak, takkan la ibu berkenan nak jadikan menantu," ibu menjawab dengan senyuman lebar.
Safiyyah menjuih bibir. Anak Aunty Zubaidah tu, kalau jalan senget pun, tetap akan dikatakan hebat oleh ibunya.
Anak Aunty Zubaidah ada tiga kesemuanya, dan satu-satunya yang boleh dijodohkan dengan Safiyyah hanyalah anak yang tengah. Itulah satu-satunya anak lelaki Aunty Zubaidah. Safiyyah mencongak di dalam kepalanya.
Anak bongsu Aunty Zubaidah pun dah berusia 23 tahun. Tentulah anak tengahnya tu lebih lagi usianya dari itu. Safiyyah menggigil, bukan kesejukan tapi sedikit geli. Usianya sendiri yang masih lagi sweet 18 dirasakan tidak sesuai olehnya untuk menjadi isteri orang. Kalau tahu dek abang dan kakaknya, mahu mereka ketawa besar.
Safiyyah tidak boleh menggunakan isu nikahkan dulu abang dan kakaknya kerana mereka berdua telah pun bernikah. Abangnya sendiri sudah mempunyai dua cahayamata manakala kakaknya sudah ada seorang. Isu langkah bendul, jauh sekalilah. Isu usianya masih muda? Nanti ibu akan membuka cerita yang arwah moyangnya dahulu bernikah seawal usia 12 tahun. Tetapi itu zaman perang dengan Jepun. Mana boleh dijadikan perbandingan dengan zaman sekarang.
Sejak tahu perancangan ibunya, Safiyyah sengaja buat jual mahal. Sengaja dia memperlekehkan anak Aunty Zubaidah. Sengaja mahu ibunya marah lalu melupakan perancangannya. Tetapi semua itu dibalas dengan senyuman oleh ibunya. Macam tahu-tahu pula yang dia sengaja berbuat begitu.
Tapi bukanlah susah untuk ibunya mengupas isi hati Safiyyah. Gadis manis itu dididik dengan adat ketimuran yang tinggi oleh ibunya. Bagi sang ibu, pendidikan setinggi langit, jawatan sebesar gunung dan pendapatan seluas lautan sekalipun, anak gadis tetap kena tahu selok-belok rumahtangga, kena lemah-lembut dan sopan-santun dan wajib patuh suruhan agama. Jadi setakat lakonan sebegitu, takkan menjadi halangan buat sang ibu.
Selera Safiyyah mati. Karipap yang memang kegemarannya dibiarkan sejuk. "Piya masuk bilik dulu ibu."
"Aik, makan pun tak habis lagi ni," kata ibunya sedikit pelik.
"Piya dah janji nak chat dengan Ani," dia memberikan alasan.
"Hmm okay okay, tapi jangan lupa apa yang ibu cakap tadi tu," pesan sang ibu.
Safiyyah menganggukkan kepala. Langkahnya laju ke tingkat atas. Pintu biliknya ditutup lalu dikunci. Dia tidak mahu privasinya diganggu lagi. Sejak dua menjak ni, rajin sungguh ibunya masuk ke biliknya untuk meyakinkannya yang anak Aunty Zubaidah tu adalah pilihan terbaik. Meluat sungguh Safiyyah dengan lelaki yang namanya sendiri dia tidak tahu.
Safiyyah menghidupkan komputer ribanya. Selepas beberapa saat, terpapar wajahnya dan wajah sahabat baiknya di skrin, gambar yang diambil sewaktu mereka sampai ke puncak Gunung Kinabalu selepas peperiksaan SPM selesai dahulu. Safiyyah menggerakkan kursor sebelum memilih ikon biru yang terdapat huruf S besar berwarna putih ditengahnya.
Bagus! Ani online.
me
Assalamualaikum ya sahabat karib ana.
YOU ARE READING
Sayang Cikgu, Sayang
Storie d'amore[A Novelette] Kenapa setiap kali nak mengeratkan hubungan persahabatan, pernikahan yang dicadangkan? Apa tak boleh buat family day ke? Saya muda lagi la. Tak sempat enjoy pun lagi. Lepas tu hari pertama Form 6, kerja rumah dah bertimbun. Cikgu Irfan...