-05- Kelat

6.5K 229 4
                                    

"Sayang marah abang ya?" tanya Irfan.

"Tak," jawab isterinya.

Mangkuk berisi kari kepala ikan, diletakkan di atas meja, lebih kuat dari kebiasaannya. Hampir tertumpah kuah kari tersebut. Si isteri kembali ke dapur, mengambil piring berisi ayam goreng rangup kegemarannya. Satu demi satu pinggan, mangkuk, gelas, sudu dan macam-macam lagilah yang diambil olehnya dari dapur ke meja makan. Bukan tak boleh digunakan dulang besar yang dibelinya tempohari, tapi Irfan tahu yang sengaja dia berbuat begitu.

Irfan mendiamkan diri selepas beberapa soalannya dijawab sepatah. Sama ada ya atau tidak. Sebaik isterinya melabuhkan punggung, dia membuka mulut untuk bersuara tetapi isterinya terlebih dahulu telah mengangkat tangan, menantinya membaca doa makan. Selepas doanya diaminkan, isterinya mengambil pinggan di hadapannya, lalu nasi disendukkan. Selepas itu, air pula dituang ke dalam gelasnya.

"Jemput makan abang."

Itulah pada pendapat Irfan, ayat paling panjang yang didengari terbit dari mulut isterinya sebaik dia sampai ke rumah petang tadi.

Irfan merenung wajah isterinya. Walaupun tiada senyuman, tetap cantik. Sejak bernikah, dia tidak sempat membawa isteri tersayang untuk berbulan madu. Pada awalnya sibuk pindah ke rumah baru, kemudian sibuk dengan pendaftaran isterinya ke sekolah baru dan akhirnya dia yang sibuk dengan persediaan sesi persekolahan baru.

Mati hidup semula dia hanya tahu yang dia dan isterinya ditempatkan di sekolah yang sama semasa isterinya menunjukkan surat tawaran ke tingkatan 6. Tetapi salahnya juga kerana merahsiakan.

"Kenapa tak makan? Tak sedap ke?"

Pertanyaan isterinya membuatkan Irfan pantas tunduk lalu menyuap makanan. Takut kalau isteri yang sedang marah, mengambil tindakan di luar kebiasaan untuk melepaskan kemarahannya.

Sesekali Irfan membuka bicara. Tetapi seperti tadi, hanya sepatah saja balasan isterinya. Lalu makan malam mereka, berlalu dengan suasana yang agak kekok. Selesai makan, Irfan membantu isterinya mengemas ruang makan dan mencuci pinggan mangkuk. Selalunya selepas makan, mereka akan duduk berbual di hadapan tv.

"Eh sayang, tak duduk dengan abang ke?" tanya Irfan sedikit kaget sebaik isterinya melangkah menuju ke tangga sebaik meletakkan secawan kopi dan sepinggan buah betik yang dipotong kecil.

Soalannya dibalas jelingan tajam. "Ada kerja rumah nak kena buat. Cikgu Irfan kata esok dia nak. Baru hari pertama sekolah, dah bertimbun kerja."

Irfan tersenyum kelat. Dia bergegas menghabiskan air kopinya. Buah betik yang sedikitpun tidak terusik, dimasukkan ke dalam peti sejuk. Kemudian dia naik ke tingkat atas, masuk ke bilik tidur, mendapati isterinya sedang bersila di atas lantai berhadapan meja kecil yang boleh dilipat kakinya. Buku teks dan buku aktiviti memenuhi ruangan meja itu.

"Nak abang tolong?" pelawanya lembut.

Si isteri mendongak, kemudian tunduk kembali. "Takpe."

Pelawaanya telah ditolak tetapi Irfan tetap mengambil tempat bertentangan dengan isterinya. Sesekali isterinya menarik pangkal rambutnya. Kemudian apa yang ditulisnya akan dipadam, dan ditulis semula.

"Eee teruklah cikgu ni. Hari pertama buatlah sesi suaikenal ke. Ini terus mengajar. Siap bagi kerja rumah lagi. Dahlah aku tak faham matematik ni," rungut isterinya.

Irfan menggigit bibir bawahnya. "Cikgu sayang tu nak gilap balik minda. Maklumlah takut apa yang belajar dulu lupa ke berkarat ke. Kan?"

"Ooo itu sebab dia bagi soalan Matematik tingkatan 4 dan 5 ni ya? Sebab nak gilap balik minda. Macam tu?" tanya isterinya sedikit keras.

"Tapi kalau sayang dah ambil Matematik M ni, mestilah sebab sayang bijak Matematik kan? Antara syaratnya pun kena dapat at least B+ untuk Matematik Tambahan masa SPM dulu. Kerja yang cikgu sayang bagi ni, Matematik Moden je. Mesti sayang boleh buat punya," kata Irfan cuba memberi semangat.

"Abang, saya bukannya marah ada kerja rumah ke apa ke, tapi entah kenapa, tengok muka cikgu tu, saya rasa nak cekik-cekik aje orangnya. Biar tersembul mata dia tu," balas isterinya.

Irfan pantas memegang lehernya apabila isterinya menunjukkan aksi mencekik. Dia menelan liur, cuba menenangkan hati yang makin gementar.

"Meh la abang tolong. Biar cepat siap okay," pujuk Irfan sekali lagi.

Isterinya melepaskan keluhan. "Dulu kalau ada kerja yang saya tak tahu, Ani yang akan tolong buat. Macam tu juga kalau Ani tak tahu, saya akan buat. Abang nak tolongkan?"

Irfan segera menganggukkan kepala walaupun dia sudah tahu ke arah mana perbualan ini akan pergi.

"Kalau macam tu, abang buat." Isterinya menolak buku latihan ke arahnya. "Tulis atas kertas dulu. Nanti saya copy."

Irfan mengaru kepala yang tidak gatal. "Kan lebih baik kalau abang tunjukkan caranya kepada sayang."

Isterinya mengusap dagu sambil dahinya berkerut mempertimbangkan cadangannnya itu. "Ambil masa. Lagi pun bukan takat Ani, ibu pun pernah tolong buatkan kerja rumah Piya dulu. Alah abang ni. Bukannya abang dulu tak pernah jadi student. Bab tiru-meniru bantu-membantu ni adatlah."

"Tapi abang tak pernah meniru," bantah Irfan.

Isterinya menganggukkan kepala. "Kalau macam tu, takpelah abang. Saya buat sendiri, walaupun saya kena tidur lewat malam ni. Abang tidurlah dulu nanti."

Terkebil-kebil mata Irfan. Isterinya tunduk kembali meneruskan kerja. Sedangkan dia hanya mampu tersenyum kelat.

Sayang Cikgu, SayangWhere stories live. Discover now