Safiyyah melangkah lemah ke bilik guru. Selain darinya hanya ada dua lagi pelajar yang turut mendapat nota Jumpa Saya dari Cikgu Irfan. Tapi dari mereka bertiga, hanya dia seorang yang paling teruk keputusannya. Munif dan Dewi riang berbual di hadapannya.
Mereka sampai di bilik guru, bergerak bersama ke meja Cikgu Irfan. Safiyyah melihat sekeliling. Inilah kali pertama dia masuk ke sini. Cikgu Irfan ada di tempatnya sedang berbual dengan Cikgu Ros, seorang lagi cikgu baru di sekolah itu yang turut mengajar tingkatan 6, matapelajaran Kimia dan Fizik.
"Assalamualaikum cikgu," tegur Munif.
"Wa'alaikumsalam." Cikgu Irfan melemparkan senyuman kepada Cikgu Ros sebelum berpaling ke arah mereka. "Awak tahu kan kenapa awak bertiga ada di sini sekarang?"
"Tahu cikgu," jawab mereka serentak.
"Bagus, saya sebolehnya tak mahu ulas panjang berkenaan hal ni." Cikgu Irfan menghulurkan lembaran kerja ke arah mereka. "Ambil ni. Hari Jumaat ni serah pada saya. Kalau ada yang tak faham, boleh jumpa saya lepas sekolah. Faham?"
"Faham cikgu," kata mereka.
"Bagus, kamu boleh pulang sekarang," balas Cikgu Irfan.
Munif dan Dewi segera bergerak meninggalkan meja Cikgu Irfan selepas mengucapkan terima kasih. Hanya Safiyyah yang sengaja melambatkan langkahnya. Sesekali dia menjeling ke arah Cikgu Irfan yang sudah menyambung semual perbualannya dengan Cikgu Ros. Terdetik riak cemburu di wajah Safiyyah tetapi cepat-cepat dipadamkan. Dia melangkah keluar, menuju ke skuternya.
"Cikgu Irfan dan Cikgu Ros tu nampak sweetkan bersama."
Safiyyah menoleh ke arah Dewi yang sedang berbual dengan Munif.
"Entah, manalah aku tahu. Tapi memang sepadanlah. Bagai pinang dibelah dua," balas Munif.
"Ye kan? Sama cantik, sama padan. Dua-dua cikgu. Dua-dua muda. Dua-dua bujang," kata Dewi.
Safiyyah tersedak mendengar kata-kata Dewi. "Cikgu Irfan bujang lagi?"
"Entah aku tak tahu. Tapi di Insta dia ada pic dia dan famili dia saja. Tak ada pula pic orang tersayang," jawab Dewi.
"Insta?"
"Instagram. Kau ni macam hidup zaman batu pula. Satu kelas dah follow Cikgu Irfan," balas Munif.
Terkebil-kebil mata Safiyyah. "Oh ya? Tak tahu pula aku."
"Eloklah kau tak tahu. Kang marah pula suami kau kalau kau follow lelaki bujang walaupun cikgu sendiri." Munif menyarung helmetnya. "Okaylah girls, aku gerak dulu."
Mereka melambai ke arah Munif.
"Ada picture apa di Insta Cikgu Irfan?" tanya Safiyyah.
Dewi memandangnya dengan ekor mata. "Pic dia dengan famili dia. Ada juga dengan kawan-kawan dia. Lepas tu pic dia di destinasi pelancongan. Loaded juga famili Cikgu Irfan kalau tengok dari gaya hidup diorang."
Safiyyah hanya tersengeh mendengar kata-kata Dewi. "Ya? Baguslah tu."
"Pelik pula aku tengok kau. Aku pun nak gerak dulu. Jumpa esok." Dewi menghidupkan motosikalnya meninggalkan Safiyyah.
Safiyyah melepaskan keluhan. Dia mencapai helmetnya. Tiba-tiba matanya menangkap kelibat manusia di tempat letak kereta. Cikgu Irfan sedang membantu Cikgu Ros mengangkat buku ke kereta. Kedua-duanya tersenyum gembira dan sesekali Cikgu Ros ketawa selepas Cikgu Irfan berkata sesuatu.
"Betul kata Munif dan Dewi. Mereka memang sepadan. Sama cantik sama pandai. Entah apalah yang ibu fikirkan masa dia jodohkan aku dulu. Tak cantik, tak pandai."
Safiyyah menyarung helmet. Dia menghidupkan skuternya dan masa itulah matanya melihat sekali lagi ke arah dua insan itu. Hampir terhenti nafasnya. Cikgu Irfan sedang memandang ke arahnya. Safiyyah cuba senyum tapi dia yakit senyumannya kelat, sekelat hatinya sekarang. Dia mengangkat tangan ke arah mereka apabila Cikgu Ros turut memandang ke arahnya. Pantas dia meninggalkan perkarangan sekolah.
Tapi Safiyyah tak terus pulang ke rumah. Dia berhenti di hadapan banglo tiga tingkat milik keluarganya. Arwah ayah bina rumah ini dengan niat agar anak-anak dan bakal-bakal cucunya dapat tinggal sebumbung. Tetapi sebaik bernikah, mereka bertiga beradik keluar membina kehidupan sendiri. Sekarang hanya ibu, Mak Tom dan Pak Mat saja yang ada.
"Assalamualaikum ibu," kata Safiyyah lalu mencium tangan ibu.
"Wa'alaikumsalam. Eh sorang saja? Mana Irfan?" tanya ibu.
"Di tempat kerja lagi," jawab Safiyyah.
"Langkah kanan Piya hari ni. Mak Tom buat karipap kegemaran Piya," balas ibunya.
"Hmmm."
"Muram aje anak ibu. Kenapa?" Ibunya menarik Piya untuk duduk di taman bersebelahan kolam ikan.
Safiyyah melepaskan satu lagi keluhan. "Piya rasa, Piya tak layak jadi isteri Abang Irfan ibu. Dia tu lengkap semuanya. Tapi ibu tengoklah Piya. Tak cantik, tak pandai pula tu."
Ibu yang sedang meneguk teh o panas, tersedak mendengar kata-kata Safiyyah. "Kenapa Piya fikir macam tu pula?"
"Sebab betul," jawab Safiyyah.
Ibu meletakkan cawan kembali ke atas piring. Kedua-dua tangannya digenggam oleh ibu. "Piya, siapa kata Piya tak cantik? Piya nak tahu berapa banyak lamaran yang terpaksa ibu tolak sebelum Piya nikah dulu?"
Safiyyah terkejut. Dia tak pernah tahu akan hal itu. Tak ada sesiapa yang pernah memaklumkan kepadanya. Safiyyah menganggukkan kepala.
"Banyak sangat. Datin Rahimah, Puan Sri Mary dan beberapa nama lagi. Semua nak Piya jadi menantu diorang. Sebab Piya cantik, manis, lemah-lembut, sopan-santun, pandai buat kerja rumah," jawab ibu.
"Tapi Piya bodoh dalam pelajaran," kata Safiyyah perlahan.
Ibunya menggeleng-gelengkan kepala. "Piya ni. Piya bukan bodoh. Cuma salah ambil jurusan saja. Dari awal lagi ibu kata Sains tu bukan untuk Piya. Tapi Piya degil. Tak nak berpisah dengan Ani kononnya. Haa kan berpisah juga sekarang."
Safiyyah menunduk. Ada benar juga kata ibu. Dulu Ani yang beria-ia masuk ke Jurusan Sains dan dia hanya menurut. Dia sendiri tidak tahu akan minatnya. Apa yang ingin dicapainya di masa depan.
Safiyyah mengeluarkan lembaran kerja yang diberikan oleh Cikgu Irfan. "Ibu boleh tolong Piya?"
Si ibu memandangnya penuh kasih sayang. "Piya, ibu bukan tak nak tolong sayang. Tapi dah sampai masanya Piya berdikari. Belajar bukan setakat untuk lulus saja sayang. Ia lebih dari tu. Ambil ibu sebagai contoh. Lepas kahwin, ibu jadi suri rumahtangga sepenuh masa. Ibu juga yang bantu Piya, abang dan kakak dengan kerja rumah. Itu dah menunjukkan yang semua Piya pelajari tu berguna."
Safiyyah terdiam. Lembaran kerja dimasukkan semula ke dalam beg. Sekali lagi dia malu sendiri. Selama ini memang dia belajar hanya untuk lulus. Selepas itu semua yang dipelajari, lupa begitu saja.
"Piya janji Piya akan usaha kuat lagi ibu," kata Safiyyah.
Ibu menepuk-nepuk bahunya. "Itulah anak ibu. Sekarang kita minum dulu. Lepas tu Piya kena balik. Karang risau pula suami di rumah."
Safiyyah menganggukkan kepala. Mulai hari ini dia mesti berubah. Bukan hanya untuk dirinya tapi untuk semua orang yang menyayanginya.
YOU ARE READING
Sayang Cikgu, Sayang
Romance[A Novelette] Kenapa setiap kali nak mengeratkan hubungan persahabatan, pernikahan yang dicadangkan? Apa tak boleh buat family day ke? Saya muda lagi la. Tak sempat enjoy pun lagi. Lepas tu hari pertama Form 6, kerja rumah dah bertimbun. Cikgu Irfan...