-02- Pengantin

7.1K 224 1
                                    

Safiyyah bersimpuh di atas kusyen besar yang disediakan. Wajahnya cuba dimaniskan tapi dia yakin, serinya tak kelihatan. Ani di sebelahnya tersengeh-sengeh mengalahkan kerang busuk. Kipas yang sepatutnya digunakan untuk mengipas dirinya, digunakan oleh Ani untuk menutup sebahagian wajahnya lalu mengintai keadaan sekeliling.

"Ko ni tak macam bakal student perubatan. Macam James Bond dah aku tengok," tegur Safiyyah.

Ani menjeling ke arahnya. "Aku nak la juga tengok kot ada yang aku berkenan. Aku pun nak nikah juga."

Safiyyah mencubit paha Ani. Ani menepis tangannya lalu menjegilkan matanya. Safiyyah sengaja buat tak nampak. Hatinya tak keruan. Inilah harinya. Hari dia akan menjadi milik orang lain secara sah.

Safiyyah turut melihat sekeliling. Kedudukan mereka sedikit terlindung dari ruang utama. Dia membetulkan lipatan baju kurung moden berwarna putih suci yang menjadi pilihan ibunya. Untuk pihak perempuan pula, ibunya memilih warna merah jambu lembut. Abangnya, yang menjadi walinya selepas kematian ayah, membetulkan songkok di atas kepala. Ahli keluarganya yang lain, sibuk dengan tugas masing-masing.

"Kau nampak pengantin lelaki?" bisik Safiyyah.

Ani memanjangkan leher. "Aku nampak belakang dia saja. Tengok dari belakang, nampak sasa."

"Itu je?" Safiyyah mengerutkan dahi.

"Dah itu je yang aku nampak. Dia dah duduk depan tok kadi masa kita berbual tadi. Lagi pun apa kes aku nak tengok bakal suami ko lama-lama," balas Ani.

"Kau tak nampak muka dia?" tanya Safiyyah lagi.

"Kan aku kata aku nampak belakang dia saja." Ani mengerut dahi. "Kau tu duduk diam-diam. Kang dia datang untuk acara batal air sembahyang, kau akan tau juga muka dia macam mana."

Hati Safiyyah makin gerutu. Sepanjang tempoh pertunangan, walaupun puas didesak ibu, tidak tergerak sikitpun untuk dia bertemu bakal suaminya itu. Tapi menurut ibu, bakal suaminya pernah melihatnya dalam satu majlis. Safiyyah ingin menggaru kepala, tetapi tidak mahu tudungnya senget. Mahu terbeliak mata Ani kalau dirinya tidak sempurna.

"Angkat tangan. Doa," bisik Ani tiba-tiba.

Aik, sudah selesai upacara akad nikah. Ini bermakna...

"Hmm okay jarang aku tengok tapi syabas sebab suami kau memang the best la. Ko dah wudukkan tadi?" tanya Ani.

Safiyyah mengerut dahi. Apa kaitan pula soalan Ani dengan upacara batal air sembahyang ni?

"Huh?"

"Suami kau nak solat sunat selepas akad nikah. Dia dah masuk ke bilik pengantin dah. Okay, bangun dengan sopan, ikut aku," jawab Ani perlahan.

Safiyyah bangun, dengan bantuan Ani. Kebas kakinya kerana bersimpuh agak lama. Dia menurut langkah Ani ke bilik pengantin. Suaminya telah pun berdiri menghadap kiblat. Dua sejadah telah dihamparkan, dan satu adalah untuknya. Safiyyah panik.

"Usolli sunnata ba'dan nikahi rak'ataini lillahi Ta'ala"Allahu Akbar. Sahaja aku solat sunat sesudah nikah dua rakaat kerana Allah Ta'ala," bisik Ani. "Rakaat pertama baca surah Al-Fatihah dan Al-Kafirrun. Rakaat kedua baca surah Al-Fatihah dan Al-Ikhlas. Lepas tu kau ikut saja langkah suami kau."

"Itu je?" bisik Safiyyah dengan nada cemas.

"Hmm maybe dia akan buat sujud syukur lepas doa. Kalau ya, kau niat sahaja aku sujud syukur kerana Allah Ta'ala. Pastu jangan lupa bersyukur dalam hati dapat suami. Okay tarik nafas. Jangan panik," balas Ani.

Ani menolak Safiyyah perlahan masuk ke dalam bilik pengantin. Seperti arahan Ani, Safiyyah menurut langkah suaminya selaku Imam. Selepas sujud syukur, mereka berdua duduk memberi salam. Kemudian suaminya menoleh ke arahnya, meletakkan sebelah tangannya di atas ubun-ubun Safiyyah lalu berdoa.

Selesai doa, suaminya terus bangun keluar dari bilik pengantin. Ani yang menunggu di luar bilik, masuk mendapatkannya.

"Upacara batal air sembahyang pula," kata Ani.

"Tadi tak batal ke?" tanya Safiyyah pula.

Ani mengerutkan dahi. "Tak bersentuhan kulit dengan kulitkan? Dia letak tangan atas ubun-ubun kau tadi pun atas tudung kau kan?"

Safiyyah cuba memikirkan kembali. Dalam keadaan tubuhnya bergerak secara auto-pilot ni, sukar untuk dia mengingat kembali apa yang telah berlaku.

"Hmm takpe jangan risau. Kita keluar dulu. Ko ikut je aku. Ko jangan panik. Kang aku pun panik," kata Ani selepas agak lama Safiyyah membisu.

Sekali lagi Safiyyah menurut langkah Ani. Ani membantunya duduk di atas pelamin. Bajunya dikemaskan oleh Ani lalu sahabat baiknya itu mengangkat jari tanda bagus kepadanya. Jurukamera yang diupah oleh ibunya, tidak henti-henti merakamkam setiap detik. Nasib baik kamera digital, kalau kamera lama, entah berapa gulung filem yang sudah digunakan.

"Senyum Pie, suami ko datang dah tu," bisik Ani tiba-tiba.

Jantung Safiyyah berdegup makin kencang. Mahu pengsan dibuatnya begini. Matanya tunduk ke riba. Dia cuba memperlahankan nafasnya yang dirasakan makin laju. Matanya menangkap susuk tubuh manusia yang kemudiannya duduk bersebelahan dengannya di atas bangku panjang itu. Satu tangan dihulurkan tetapi Safiyyah kaku. Ani yang menyelamatkan keadaan dengan mencapai tangannya lalu dihulurkan ke dalam tangan yang menanti.

Sebentuk cincin platinum bertahtakan berlian disarungkan ke jari manisnya. Ibarat robot yang dikawal oleh satu kuasa asing, Safiyyah menundukkan kepala lalu mencium tangan suaminya. Dari sisi mata, dia dapat melihat sinar lampu kamera, berkelip-kelip merakamkan detik itu. Inilah saatnya, kata Safiyyah di dalam hati.

Safiyyah mengangkat kepalanya. Tetapi matanya terarah kepada dagu sang suami. Janggut nipis menghiasi dagu itu. Sebuah kucupan dihadiahkan oleh suaminya ke dahinya dan sinar kamera sedari tadi tidak berhenti.

Okay, apa pula lepas ni?

Safiyyah memberi isyarat mata ke arah Ani. Ani menjegilkan mata ke arahnya lalu membalas isyarat menyuruhnya terus duduk di situ. Dengan arahan dari jurukamera dan bantuan Ani, berpuluh-puluh aksi dirakamkan. Mula-mula berdua sahaja dengan suaminya, kemudian dengan ahli keluarga kedua-dua belah pihak, selepas itu dengan sahabat-handai dan akhir sekali dengan tetamu yang turut tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengan pengantin baru. Selesai bergambar, suaminya bangun, menuju keluar rumah.

"Okay, upacara akad nikah dah selesai. Okay, jom tukar baju dulu," kata Ani.

"Huh?"

Ani melepaskan satu keluhan. "Kau ni boleh blur pula. Lepas ni kita ada makan beradab tau. Tapi sebelum tu, tukar baju dulu. Salah kau juga kan nak buat akad nikah dan kenduri serentak. Haa ikut aku ya makcik."

"Makcik?"

Ani menoleh ke arahnya. Mereka beriringan menuju ke bilik pengantin. "Kau dah jadi isteri orang. Memang tahap makcik-makcik gitu."

Safiyyah menjeling tajam ke arah sahabat baiknya. "Pandailah ko."

"Sebab aku pandailah aku nak jadi doktor." Ani menjelir lidahnya sedikit. "Okay, mak andam ko dah tunggu tu. Aku tunggu kat luar ek."

Ani menutup pintu, meninggalkan Safiyyah bersama seorang wanita sebaya ibunya. Satu senyuman nipis dilemparkan ke arah wanita itu yang sudah bersedia dengan satu persalinan baju pengantin berwarna kuning keemasan, juga pilihan ibunya.

Sayang Cikgu, SayangWhere stories live. Discover now