BAB 3 -LELAKI

73 7 0
                                    

Mati!

Itu kalimah pertama yang terlintas di benak fikiran seorang Bunga Sumayyah saat melihat ramai pelajar lelaki yang sedang berkumpul di hadapan dewan kuliah yang mereka bakal masuk sebentar lagi. Kalau ikut kebiasaan, tidak pernah lagi kejadian ini berlaku dalam sejarah jadual pembelajaran Bunga.

Bunga nampak rakan perempuan sekelasnya tapi jauh di pelusuk dunia juga sedang bertapa di luar dewan kuliah. Hendak ke sana Bunga wajib meredah lautan pelajar lelaki itu terlebih dahulu atau Bunga perlu pusing satu bangunan itu untuk ke seberang. Ingat dewan kuliah ini kecil sekangkang kera? 

Bunga bukan tidak sukakan lelaki tetapi Bunga malu. Bunga malu hendak berhadapan dengan mana-mana lelaki. Tidak kisahlah pensyarah atau kawan, padanya hampir semua lelaki itu sama. Mereka akan tatap perempuan yang lalu di hadapan mereka macam penjenayah atau lebih tepat macam kucing pandang ikan. Seram!

Dalam kepala Bunga sekarang hanya ada Atul. Hanya Atul satu-satunya insan yang berani menjeling lelaki yang berperangai aneh di dalam kampus ini. Bunga pun tidak pasti dari mana datangnya keberanian gadis sunti itu untuk berkelakuan sedemikian. Kadang Bunga keliru, siapa yang sepatutnya melindungi siapa.

"Bunga, sinilah," panggil Tina sambil melambai-lambai tangan kepada Bunga.

Lutut Bunga semakin longlai. Anggap sajalah Bunga tidak wujud di sini. Sumpah, demi apa pun Bunga tidak akan redah lautan kaum Adam itu. 

Bunga menggeleng sambil menayang wajah simpati. Jari telunjuknya diarahkan kepada kaum lelaki yang masih rancak berbual seperti tiada hari esok.

Tina tertawa. 

Kau gelak? Aku hampir nak sakaratul maut ni, kau ketawakan? Hamun Bunga dalam hati. Perempuan kadang memang tidak faham kaum sendiri.

Setelah penat otaknya berfikir, Bunga sekadar memilih untuk menunggu di situ. Sekejap lagi tamatlah masa luliah pelajar-pelajar yang di dalam sana. Sekejap saja. Kut...

Bunga sekadar berdiri sambil menyepak habuk di lantai. Sambil-sambil matanya melilau ke segenap ruang. Lantas matanya memicing seperti sedang menajamkan penglihatan ke satu arah.

Ya, lelaki yang sama. Bunga yakin, tadi dia melihat seorang lelaki sedang memerhatinya dari jauh. Saat Bunga sedar akan tenungannya, lelaki itu terus hilang daripada pandangan Bunga. Bunga tidak tahu apa kemahuan lelaki itu namun sudah berpuluh kali hal ini terjadi. Bukan saja saat Bunga bersama orang lain, malah saat Bunga sendirian.

Ini salah satu sebab mengapa hampir semua lelaki sama di mata Bunga Sumayyah. Pandangan mereka kadang-kadang sangat menyeramkan. Lantas membuatkan Bunga jadi takut untuk meneruskan hari sambil dikelilingi manusia seperti ini.

"Bunga, jom."

Bunga hampir saja menjerit saat ada insan yang tiba-tiba meraut lengannya. Waktu orang sedang ketakutanlah dia nak main dengan kejutan.

"Tina..." Bunga mengusap dadanya dengan mata yang terpejam. "Kalau mati aku tadi, sia-sia aje kau belajar degree ni. Last-last ke penjara juga." Bunga sedikit mendengus.

Tina sekadar menayang sengih kerang busuknya sambil menarik tubuh Bunga untuk masuk ke dalam dewan kuliah. Mungkin disebabkan terlalu ralit membalas pandangan lelaki misteri, Bunga tidak sedar bahawa kini sudah tiba giliran mereka untuk menggunakan dewan itu.

*****
"Lepastu? Kau nampak tak muka?" soal Atul dengan mulut yang penuh dengan nasi.

Usai saja kelas tengah hari tadi, Bunga terus ajak Atul untuk makan bersama. Maklumlah, jarang waktu rehat mereka bertembung. Dalam seminggu, lebih kurang 2 kali saja mereka makan bersama. Itu yang Bunga tidak suka apabila dia perlu makan bersama orang lain. Nanti orang lain riuh tapi Bunga sekadar tersenyum dan tertawa.

Akhiri Derita IniWhere stories live. Discover now