Usai menutup pintu rumah, Bunga sekadar berdiri beranda dengan harapan Faridah akan membatalkan niatnya untuk mengangkut Bunga bersama-sama ke rumah yang jaraknya kurang 10 minit melangkah. Namun, hampa. Faridah tetap berdiri menunggu puteri sulungnya.
"Apa tercegat situ lagi, Bunga Sumayyah?" Faridah mencekak pinggang.
Bunga meletakkan tangannya di antara celahan grill pintu. Kemudian wajah gelabah ditayang sambil tangan cuba ditarik keluar daripada celahan sebesar lautan itu.
"Tolong mak, tangan orang tersepit. Orang rasa orang tak boleh pergi," dalih Bunga dengan tangisan halus.
"Sebelum mak pergi tampar pipi kamu, baik kamu berjalan sendiri," ugut Faridah yang sudah mula geram akan sikap Bunga.
Bunga merengek halus. Kaki dipaksa atur mengikut jejak Faridah.
"Mak, tengok pokok ni tarik Bunga. Bunga rasa pokok pun tak izin Bunga nak pergi sana. Mesti ada benda tak elok nak jadi ni, mak," sangkal Bunga dengan tangisan 2.0 yang penuh dengan kepura-puraan.
Faridah menatap lengan baju Bunga yang tersangkut pada ranting pokok bunga kertasnya dengan pandangan kosong. Haruskah anak ini dilempar ke rumah tujuh kaki dalam atau dilepar ke dalam gaung?
Bunga tersengih lantas dia mencapai lengan Faridah. Tubuh Faridah ditarik untuk sama-sama berjalan ke rumah Wan Leha. Takut pula rasanya melihat wajah Faridah yang tidak diserikan segaris senyum pun di malam hari.
"Bunga gurau aje, mak. Mak jangan buat muka macam tu dah, ya? Hantu dekat hutan sebelah ni pun takut tengok mak. Seram."
Faridah malas layan perangai loyar buruk Bunga. Orang nak cepat, dia boleh pula ajak melayan lawak bodohnya.
Sebaik sahaja melangkah kaki kanan masuk ke dalam rumah itu, lutut Bunga sudah terketar-ketar. Ramainya umat manusia memenuhi kawasan dapur itu. Bagai mahu gugur jantung Bunga saat seorang demi seorang menghulurkan tangan untuk bersalam.
Bunga duduk berkepit dengan Faridah. Lengan baju Faridah dia tarik rapat ke tubuh. Bebola matanya melilau ke sekeliling kawasan. Mak, orang nak balik!
"Ini anak yang mana? Sulung ke?" soal Wan Leha kepada Faridah.
"Ya, baru habis belajar hari ni. Daripada tak ada kerja di rumah tu, Ida angkut dia kemari sekali," balas Faridah dengan senyum lebar.
"Umur berapa dah sekarang?" Wan Leha pandang Bunga yang masih ralit memerhati sekeliling. Takut kalau ada yang tiba-tiba ajak dia berbual.
Faridah cubit lengan Bunga seraya membuatkan anak daranya itu menjerit halus. Mak ni, nak bunuh biar masa kecil. Dah besar ni makin tinggi risiko kena serangan jantung.
"Wan tanya kamu tu."
"Ha? Wan tanya apa tadi?" Bunga tayang sengih kerang busuknya.
"Umur berapa dah sekarang?" Wan Leha ulang sekali lagi soalan yang sama.
"23, wan." Ringkas.
"Muda lagi. Belajar course apa?" Maria, anak Wan Leha menyampuk pula.
Hesy, inilah antara sebab Bunga malas kunjung-mengunjung ke rumah jiran! Banyak sangat soalan yang diaju kalah penemu duga. Kalau boleh, semua kisah dia orang hendak tahu.
Aku tahu aku cantik tapi tak perlulah layan aku macam tak pernah jumpa orang cantik. Bunga sempat bermonolog sendiri.
"Bachelor degree in accounting, mak ngah," jawab Bunga masih dengan sengihannya. Dia rasa panggilannya terhadap Maria tidak salah kerana sejak tadi itulah panggilan yang Maria terima.
YOU ARE READING
Akhiri Derita Ini
RomanceBertemu tanpa sengaja untuk pertama kali telah berjaya membuatkan Bunga Sumayyah menanam rasa benci terhadap sikap Razeen Iman yang biadap. Dia sangka lelaki bandar itu hanya pulang untuk menghadiri kenduri tahlil datuknya ternyata disuruh menjaga n...