Bunga memandu keretanya keluar dari perkarangan rumah. Pedal minyak ditekan kuat supaya dia segera tiba ke tempat kerja walaupun hatinya tidak tenang ketika ini.
Bunga tahu babaknya untuk hari ini tapi Malaeka yang terlebih risaukan suaminya. Sekarang jantung Bunga yang merasa sakitnya degupan yang bagai tiada penghujung itu. Itulah, garang lagi dengan suami di pagi hari.
Bunga memberhentikan keretanya apabila lampu isyarat menyalakan lampu merah. Tubuhnya disandarkan seketika pada kerusi. Jari telunjuknya naik mengusap bibir tanda dia sedang memikirkan sesuatu.
Saat lampu isyarat bertukar hijau, Bunga membuat pusingan U. Keretanya dipandu ke sebuah farmasi terdekat. Dia beli saja ubat apa yang patut. Kemudian, dia singgah sebentar ke restoran makanan segera untuk membeli bubur ayam.
Saat tiba di rumah, Bunga lantas berlari naik ke kamar. Nafasnya distabilkan terlebih dahulu sebelum menguak pintu kamar. Konon tidak mahu Haider melihatnya terlalu risau.
Bunga meletakkan tas tangan dan beg kertas berisi bubur di tepi meja katil. Dia menatap seketika Haider yang seakan bingung akan kepulangannya. Tangannya kemudian dilekapkan pada dahi Haider.
"Bagi saya rasa dahi awak sekejap," ujar Bunga saat Haider seakan cuba menjauh dari sentuhan Bunga. Tangannya kini beralih pada leher Haider pula. Panas.
Bunga mengatur langkah ke wardrobe. Sebuah termometer dia ambil dari dalam beg sandangnya sebelum dia kembali ke sisi Haider. Lengan baju Haider diselak sebelum termometer diselitkan pada ketiak Haider. Saat termometer itu berbunyi, Bunga lantas melihat bacaan suhunya. Mata Bunga membuntang seketika.
"39 degree celcius, Haider Daniel. Kenapa tak bagi tahu saya yang awak demam?" Bunga menjegilkan matanya. Geram!
"Bukan tadi sayang dah pergi kerja? Ni abang tengah mimpi ke?" Haider mengajukan soalan lain untuk mengelakkan dirinya daripada menjawab soalan Bunga.
"Saya patah balik sebab wujudnya orang yang suka berahsia macam awak ni. Demam pun nak rahsiakan ke? 39 tu bukan angka normal untuk suhu badan manusia, ya?" Bunga menjeling Haider. Selimut kembali ditarik menutupi tubuh Haider yang kesejukan.
"Abang ingat sayang tak akan ambil kisah fasal abang sebab itu abang diam aje. Selalunya sayang bukan berminat sangat nak dengar apa yang abang cakap. Sayang sendiri pernah cakap jangan semakkan kepala sayang dengan masalah abang," luah Haider sebelum dia terbatuk-batuk.
Bunga tidak membalas sebaliknya terus mengatur langkah pergi ke dapur. Sebiji mangkuk dia capai dari dalam kabinet sebelum dituang sedikit air ke dalamnya. Lemon dari dalam peti Bunga hiris kepada beberapa bahagian sebelum memerah jusnya ke dalam mangkuk tadi. Sehelai kain kecil diambil dari dalam kabinet lalu direndam ke dalam air perahan lemon itu.
Bunga tidak terus naik ke kamar sebaliknya berdiri menongkat tubuh pada sinki. Ketika ini bukan Malaeka saja malah Bunga juga risau akan kesihatan Haider. Bunga tahu Haider akan sembuh tapi Bunga juga tahu tahap kesakitan yang Haider sedang alami ketika ini.
"Memanglah aku kata jangan semakkan kepala aku dengan masalah dia tapi sekarang dia tengah sakit. Mampu ke jaga diri sendiri dengan badan yang terketar-ketar macam tu? Selalunya tak kisah pun apa aku cakap, semua dia langgar. Sekarang dia nak ungkit balik semuanya?" Bunga mendengus kegeraman.
"Mungkin kau fikir aku tak sayangkan kau tapi tak adalah sampai aku tak ambil kisah langsung fasal kau. Kalau mati sebab demam panas tadi salah siapa? Tak fasal-fasal aku yang kena sumbat masuk penjara sebab dera suami. Tak cukup dah hancurkan plan hidup aku sekarang nak hancurkan masa depan aku pula?" tokok Bunga.
Bunga meletakkan mangkuk berisi air perahan lemon tadi di atas meja tepi katil. Beg kertas yang berisi bubur Bunga capai dari atas meja solek bersama bungkusan ubat dari dalam tas tangan. Punggungnya kemudian dilabuhkan di sisi Haider.
YOU ARE READING
Akhiri Derita Ini
RomantizmBertemu tanpa sengaja untuk pertama kali telah berjaya membuatkan Bunga Sumayyah menanam rasa benci terhadap sikap Razeen Iman yang biadap. Dia sangka lelaki bandar itu hanya pulang untuk menghadiri kenduri tahlil datuknya ternyata disuruh menjaga n...