DHIA Humaira mengeluarkan satu persatu bagasi dan barang miliknya dari bonet kereta Honda CR-V hitam milik bapanya dengan dibantu oleh kakaknya, Dhia Sofea. Memandangkan cuti semesternya selama 2 bulan telah pun berakhir, maka pada hari itu Dhia Humaira kembali semula ke kampusnya di UiTM Jengka, Pahang. Kali ini, bapanya yang menghantar Dhia Humaira dengan ditemani oleh ibu dan juga kakaknya.
"Ni je ke semua barang-barang Dhia? Ada lagi ke tak yang terlupa ambil? Kalau tertinggal dalam kereta, jenuh walid nak datang hantar dari Shah Alam ke Jengka ni."
"Ya, ni je walid. Tak ada dah kot yang tertinggal. Dhia naik ke bilik dulu ya, hantarkan barang-barang Dhia ni. "
Encik Daaim hanya mengangguk sementara Dhia Humaira dan kakaknya melangkah ke arah hostel kediaman Dhia Humaira. Mujurlah pada semester ini, Dhia Humaira dapat menginap di bilik di aras satu, jadi tidak perlulah dia mendaki tangga yang tinggi untuk ke biliknya.
Setibanya di bilik yang bertanda 1025, Dhia Humaira memasukkan kunci bilik yang diberikan kepadanya sewaktu pendaftaran tadi. Tombol pintu dipulas perlahan sebelum dia melangkah masuk ke dalam bilik hostel yang boleh memuatkan 4 orang pelajar itu. Dhia Humaira menyelak langsir dan membuka semua tingkap untuk membolehkan udara segar dari luar menerobos masuk. Dhia Sofea pula sudah membuka bagasi milik adiknya dan membantu menggantung pakaian adiknya di dalam locker.
"Luas juga ya bilik ni. Katil pun bukan jenis yang double decker. Memang selesa lah ya korang duduk di sini. Rakan sebilik Dhia semua course yang sama dengan Dhia ke?"
"Ada seorang yang course sama dengan Dhia, Hawani. Lagi dua orang tu course account."
"Oh okay lah tu. Ada juga kawan yang boleh study sama-sama." ujar Dhia Sofea sambil tangannya ligat memasang cadar pada katil Dhia Humaira.
"Ya akak. Eh akak tak payahlah tolong Dhia kemas semua barang-barang ni. Nanti lama pula walid tunggu. Lambat pula nak gerak balik ke Shah Alam. Tak apa, Dhia boleh kemas sendiri nanti." tegah Dhia Humaira apabila melihat kakaknya ingin menyusun barang di atas meja belajarnya pula.
"Sorry, akak pula yang terlebih excited macam akak nak masuk asrama. Jomlah kita turun ke bawah dekat ummi dan walid."
Dhia Humaira menapak menghampiri Encik Daaim dan Puan Durrah yang sedang menunggunya dan Dhia Sofea di gazebo. Dhia Humaira duduk di sebelah ibunya dan melentokkan kepalanya manja di bahu ibunya.
"Kenapa ni sayang?" soal Puan Durrah sambil tangannya mengelus lembut kepala Dhia Humaira yang berlapik tudung bawal bercorak abstrak berwarna maroon.
"Dhia tak puas lagi lah cuti dan duduk dekat rumah tu. Dah kena balik Jengka. Dhia tak puas lagi makan semua masakan ummi, manja-manja dengan ummi dan walid. Nanti bila dah start kuliah, lambat lagi lah Dhia boleh balik ke rumah." tutur Dhia Humaira bersama cebikan di bibir mungilnya yang semulajadi kemerahan.
"Laa, dah namanya Dhia masih belajar. Memanglah kena masuk universiti balik bila dah habis cuti semester. Sabarlah Dhia, tak lama pun. Nanti cuti pertengahan semester, Dhia balik ke rumah lagi kan. Sebab masa tu Kak Sofea nak kahwin. Alah tak lama pun, dalam 2 bulan je lagi." pujuk Puan Durrah.
"Betul cakap ummi tu Dhia. Masa ni lah Dhia kena berkorban dan belajar berjauhan dengan keluarga. Takkan asyik nak berkepit dan duduk bawah ketiak ummi dan walid je. Kalau Dhia rindu kami, Insya-Allah walid janji akan datang sekali sekala lawat Dhia dekat sini. Dhia kenalah cekalkan hati, kuatkan semangat. Dhia kena belajar bersungguh-sungguh, habiskan diploma Dhia dengan cemerlang. Banggakan walid dan ummi dengan kejayaan Dhia. Walid tahu anak bongsu kesayangan walid ni pintar dan kuat orangnya."
"Insya-Allah walid. Dhia janji akan belajar dengan bersungguh-sungguh sepanjang berada di sini. Walid dan ummi doakan Dhia tau."
"Insya-Allah kami sentiasa doakan anak-anak kami. Okaylah Dhia, walid minta diri dulu untuk pulang ke Shah Alam. Dhia jaga diri elok-elok tau. Ingat pesan walid, jangan tinggalkan solat dan mengaji."
YOU ARE READING
Dhia...Cintaku
RomanceDemi janjinya kepada arwah kakak tercinta, Dhia Humaira sanggup mengetepikan semua impian masa depannya bagi menjadi seorang ibu buat anak saudaranya, bayi comel yang diberikan nama Irfan Haziq. Seluruh perasaan kasihnya tumpah buat bayi yang telah...