BAB 33

929 17 0
                                    

KEDIAMAN milik Encik Daaim pada hujung minggu itu kelihatan meriah apabila kesemua anak, menantu dan cucunya berkumpul. Bibir tuanya mengukirkan senyuman bahagia dan ucapan syukur tidak berhenti-henti meniti di bibirnya kerana dapat meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Memandangkan kedua-dua orang anaknya sudah berumahtangga dan tinggal berasingan, maka agak jarang mereka sekeluarga dapat berkumpul sebegini melainkan pada hari raya atau cuti tertentu sahaja.

Matanya ditebarkan ke tengah ruang keluarga di mana ketiga-tiga orang cucunya sedang leka bermain di antara satu sama lain. Suasana di ruang itu turut diserikan dengan suara Irfan Haziq yang sakan berceloteh entah apa dengan kakak-kakak sepupunya. Anak sulungnya, Dani Mikhail turut berada di situ mengawasi anak-anaknya dan Irfan Haziq bermain, manakala di sofa berangkai tiga pula, menantunya Izzat Haris sedang terbaring lesu. Sesekali dapat dilihat menantunya itu memicit kepalanya yang dirasakan berdenyut. Sudah lebih tiga hari menantu lelakinya itu diserang pening kepala dan hati Encik Daaim jatuh kasihan melihat keadaan Izzat Haris itu. Kaum wanita pula sedang sibuk di dapur menyediakan juadah minum petang.

"Kenapa dengan Izzat tu, walid? Abang long tengok macam sakit teruk je. Asyik pening kepala dan muntah memanjang. Muka dia tu tak bermaya langsung." soal Dani Mikhail dengan nada penuh kehairanan melihat tingkah adik iparnya itu.

"Entahlah abang long. Walid pun tak pasti Izzat ni sakit apa. Nak cakap kena keracunan makanan, bukan pula. Doktor dah sahkan yang Izzat tak terkena keracunan makanan semasa walid bawa dia ke klinik semalam."

"Izzat mengandung ke apa ni?  Asyik terbaring lemah je, mengalahkan orang mengandung."

"Agak-agaklah sikit, abang long. Takkanlah Izzat yang lelaki ni pula yang mengandung. Izzat ni mengandungi lemak tepu ada lah." gumam Izzat Haris lemah dengan matanya yang terpejam rapat.

Perbualan mereka terhenti apabila kelibat Dhia Humaira, Puan Durrah dan Nurin Karmila menghampiri ruang keluarga tersebut dengan dulang-dulang berisi juadah minum petang. Tanpa berlengah, mereka bertiga terus menghidangkan juadah tersebut di atas meja.

"Jemput minum walid, abang." ujar Nurin Karmila dengan senyuman manis setelah selesai menuangkan teh ke dalam cawan. Puan Durrah pula memotong kek coklat lembap yang dibakar oleh Dhia Humaira tadi.

"Mana anak mama? Nak makan ke tak? Princess-princess maksu pun taknak makan ke? Maksu ada buat kek coklat. Lepas tu ada cekodok pisang dengan keropok lekor cheese. "

"Yeay! Sedapnya maksu! Jom adik dengan baby, kita pergi makan dulu. Nanti kita sambung main lagi." ujar Najwa Adriana seraya menyimpan permainan di dalam bakul.

Irfan Haziq yang baru sahaja pandai bertatih berjalan terkedek-kedek ke arah Dhia Humaira. Sesekali kedengaran gelak tawanya apabila dikejar oleh dua orang sepupunya, Najwa Adriana dan Najla Adeeba. Namun belum pun sampai di separuh jalan, Irfan Haziq terjatuh. Najwa Adriana menghampiri bayi itu dan ingin mendukungnya namun tangisan Irfan Haziq mula kedengaran memenuhi ruang.

"Kakak! Jangan kacau baby tu. Biar je baby jalan sendiri. Baby tak suka tu orang kacau dia." ujar Dani Mikhail kepada anak sulungnya.

"Ma...ma..." mulut Irfan Haziq tidak berhenti-henti menyeru nama panggilannya buat Dhia Humaira.

"Ya sayang. Dah, cepat bangun. Jalan beberapa langkah je lagi, lepas tu sampai lah dekat mama."

"Cepat! Cepat baby! Mama ada dekat depan tu. Sedikit je lagi baby kena jalan. Cepat ikut kakak."

Puan Durrah dan Encik Daaim tersenyum simpul memerhatikan gelagat cucu-cucu kesayangan mereka. Dhia Humaira pula menghampiri sofa yang diduduki oleh suaminya dan bersimpuh di sisi sofa tersebut. Wajah Izzat Haris direnung penuh kasihan.

Dhia...CintakuWhere stories live. Discover now