DHIA Sofea membantu ibu mertuanya untuk memotong gulungan laksam kepada potongan kecil. Kemudian, laksam yang telah siap dipotong disusun cantik di dalam mangkuk penghidang. Ibu mertuanya, Datin Iffah sedang ligat mengacau kuah laksam di dalam periuk besar. Semerbak ruangan dapur itu dengan aroma kuah laksam yang dimasak olehnya.
"Ibu, ulam-ulam dalam bakul ni nak potong ke? Sofea boleh tolong potongkan."
"Ya Sofea. Sofea potong halus-halus ye kacang panjang, bunga kantan, timun dan daun kesum tu." ujar Datin Iffah sambil tangannya mencapai piring kecil di atas rak pinggan. Kuah laksam disendukkan sedikit ke dalam piring tersebut sebelum langkah kakinya diatur ke arah kitchen island.
"Nah, cuba Sofea rasa kuah laksam ni. Dah okay ke belum atau nak kena tambah apa yang patut."
Piring kecil berisi kuah laksam bertukar tangan dan Dhia Sofea merasa kuah laksam tersebut. Wajah ibu mertuanya yang sedang menanti jawapannya dipandang penuh kasih.
"Sedapnya kuah laksam ibu. Dah cukup rasa lemak, masin dan manis. Kuah pun pekat elok je. Tak macam yang biasa beli dekat kedai, kuah cair sangat tak rasa langsung santan dan ikan." puji Dhia Sofea manakala ibu mertuanya hanya tersenyum senang hati.
"Alhamdulillah, syukurlah menjadi juga kuah laksam ni. Ibu pun dah lama tak masak resepi turun temurun keluarga ibu di Kelantan ni. Rezeki bakal cucu ibu agaknya hari ni ya. Dapat makan kuah laksam yang sedap."
"Terima kasih ibu sebab masakkan laksam ni untuk Sofea. Sofea ni dah menyusahkan ibu pula kena masak makanan yang Sofea mengidam."
"Sama-sama Sofea. Eh, tak adalah susah mana pun nak buat laksam ni. Sofea cakap je nak makan apa, Insya-Allah ibu cuba masak. Semua dah siap hidang kan? Kalau dah, bolehlah kita panggil Izzat dan abah makan sama-sama."
"Er tunggu sekejap ibu! Nanti saja lah kita makan. Sebenarnya Sofea ada nak cakap sesuatu dengan ibu."
Datin Iffah yang sudah bangun untuk berlalu ke arah ruang tamu kembali melabuhkan duduknya di atas kerusi. Wajah satu-satunya menantu perempuannya dipandang dengan penuh tanda tanya.
"Apa dia Sofea, cakaplah. Macam ada hal yang serius je ni."
"Ibu sayangkan Sofea tak?" pertanyaan Dhia Sofea ternyata membuatkan ibu mertuanya tersentak.
"Kenapa Sofea tanya ibu soalan tu? Mestilah ibu sayangkan Sofea. Sofea bukan sahaja menantu ibu, malah ibu dah anggap macam anak ibu sendiri. Tak ada bezanya antara anak-anak dan menantu-menantu ibu, semuanya ibu sayang dengan setulus hati ibu."
"Terima kasih ibu. Sofea pun sayangkan ibu, sama seperti Sofea sayangkan ummi. Terima kasih ibu sebab dah jadi ibu mertua yang terbaik buat Sofea, layan Sofea dengan baik seperti anak ibu sendiri. Terima kasih juga ibu sebab lahirkan abang Izzat dan besarkan dia dengan cukup sempurna sehingga dia mampu menjadi suami yang terbaik buat Sofea."
"Sama-sama Sofea. Ni kenapa ibu tengok Sofea macam sedih je? Sofea ada masalah ke dengan Izzat?"
"Tak, ibu. Kalau ibu nak tahu, abang Izzat tu baik sangat. Dia seorang suami yang sangat bertanggungjawab, romantik, penyayang dan sentiasa jaga Sofea dengan baik sepanjang kehamilan Sofea. Sofea sangat beruntung dapat suami macam abang Izzat tu. "
"Alhamdulillah, lega hati ibu mendengarnya."
"Ibu, apa pendapat ibu tentang adik Sofea, Dhia? Ibu sukakan dia tak? Kalau Dhia jadi menantu ibu, ibu suka tak?"
"Maksud Sofea, Humaira ke? Ibu sukakan Humaira tu. Dia seorang yang lemah lembut dan pandai hormat orang tua. Itulah kalau lah ibu ada seorang lagi anak lelaki, memang ibu jodohkan je dengan Humaira tu."
YOU ARE READING
Dhia...Cintaku
RomanceDemi janjinya kepada arwah kakak tercinta, Dhia Humaira sanggup mengetepikan semua impian masa depannya bagi menjadi seorang ibu buat anak saudaranya, bayi comel yang diberikan nama Irfan Haziq. Seluruh perasaan kasihnya tumpah buat bayi yang telah...