.യ.AKU menoleh ke kiri dan kanan untuk memastikan yang tiada orang yang memerhatikanku. Okey line clear! Terjengket-jengket aku menghampiri pintu rumah. Huhu nak balik rumah sendiri pun dah macam perompak.
Baru sahaja aku hendak memulas tombol pintu, pintu sudah pun terkuak dari dalam. Wajah abi menyapa kornea mata. Terlompat sedikit aku dibuatnya.
"Qila? Baru sekarang abi nampak batang hidung kamu. Sibuk sangat ke kerja?" Abi menghulurkan tangannya. Cepat-cepat aku tunduk menyalamnya.
"Err... Haah sibuk sikit kebelakangan ni. Itu yang Qila tak balik dua, tiga hari lepas." Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Tipu sunat sekali sekala takpe kan? Alah, raya nanti aku minta maaflah!
"Eh masuklah, panas dekat luar ni. Umi dengan yang lain tengah makan kat dapur. Pergilah makan sekali." Abi menarik lenganku masuk ke dalam. Nasib baik aq dah buka kasut.
"Abi tak nak makan sekali ke?" Soalku.
"Abi dah makan tadi. Ni abi nak kena pergi sekolah pula. Ada latihan sukan esok. Abi pergi dulu."
Aku menghantar pemergian abi dengan sorotan mata. Aku letak helmet di atas meja sebelum mengorak langkah ke dapur.
Sebaik sahaja tiba di dapur, bau yang sangat menggiurkan menyapa rongga hidung. Aku mengelap sedikit hujung bibir yang sudah mula berair.
Seakan-akan sedar yang dirinya sedang diperhatikan, umi mengangkat wajahnya sebelum matanya bertemu dengan milikku. Aku ukirkan senyum manis di bibir.
"Qila! Kenapa balik tak cakap? Meh duduk makan sekali. Sedap ni makan panas-panas." Pelawa umi. Aku mengangguk sekali sebelum bergerak ke singki. Usai membasuh tangan, aku menarik kerusi disebelah Darwish.
"Qila balik dengan apa?" Soal abang ke duaku, Faqih. Aku menghabiskan dahulu kunyahanku sebelum menjawab soalannya. "Dengan motorlah."
"Motor? Panas terik macam ni? Kenapa tak call angah dulu, boleh angah datang ambil."
"Malaslah nak susahkan angah. Dah biasa balik time-time macam ni." Aku menyambung suapan yang terhenti.
"Mana pula abi ni? Cakap nak makan sekali." Umi meliaukan matanya ke sekeliling. Risau benar dekat suami kesayangannya itu.
"Abi cakap dia nak pergi rumah bini muda dia." Baru sahaja aku nak gelak, pahaku sudah dipulas umi. Menggelupur aku dibuatnya.
"Aduhh orang gurau je umi! Abi cakap dia ada latihan sukan dekat sekolah tadi." Ucapku sambil menggosok peha yang mula pedih.
"Kerja apa semua okay?"
"Hmm okay."
"Makan minum?"
"Okay."
"Kalimi okay?"
Hampir tersembur makanan di dalam mulut. Nasib baik aku sudah telan. Aku menyepak kuat kaki Darwish. Bergegar meja makan dibuatnya. Baru sahaja aku mahu membuka mulut, umi menjeling tajam ke arah aku dan Darwish. Auto kunci mulut rapat-rapat.
"Apa ni bergaduh depan rezeki! Macam budak-budak! Kamu tu anak sulung Darwish, contoh kepada adik-adik kamu. Ini tidak, yang tua sekali paling kuat buat perangai."
Muka Darwish sudah mencuka manakala aku sedang sedaya upaya menahan diri daripada tergelak. Tak pasal-pasal dengan aku kena nanti.
"Hah Qila, apa senyum-senyum? Kamu pun dua kali lima sahaja dengan abang kamu ni. Cuba kamu tengok si Artief ni, helok je perangainya. Apa nak jadilah dengan anak-anak aku ni." Panjang lebar umi membebel.
YOU ARE READING
Dr Sengal
Romance𝐍𝐮𝐫𝐮𝐥 𝐒𝐲𝐚𝐪𝐢𝐥𝐚, seorang gadis biasa sahaja. Pertemuan yang tidak disangka dengan seorang doktor bermata hazel telah membuat dia jatuh cinta pandang pertama. Selama dua minggu dia berusaha untuk menambat hati jejaka itu, namun semuanya sia...