Plot #1 - Mengembangkan Premis (3 Act Structure)

48 9 0
                                    

Kuasai dunia fantasimu!

Daripada premis yang hanya terdiri daripada satu ayat tunggal tadi, di tahap ini kita akan mengembangkannya menjadi tiga perenggan. Apabila mengembangkan premis cerita, saya suka membayangkannya 3 babak.

Pertama, letakkan watak utama di atas pokok yang tinggi. Kemudian, baling watak itu dengan tiga biji batu. Akhir sekali, ajari dia cara untuk untuk. Apa yang saya maksudkan sebenarnya? Mari saya terangkan!

1. Letak watak di atas pokok (Setup)
Letakkan watak di dalam situasi atau dia sudah sedia ada dalam masalah. Ini ialah setup cerita.

2. Baling dengan 3 biji batu (Complications)
Dari situasi itu, tambah lagi masalah-masalah yang lain. Tambah kegetirannya. Bagai sudah jatuh tertimpa tangga.

3. Ajar dia cara untuk turun (Resolve)
Dari sini, barulah kamu berikan dia penyelesaian kepada masalahnya. Biasanya, di bahagian inilah kita boleh menyampaikan pengajaran.

Masih tak faham? Baca contoh di bawah. Ambil perhatian pada perkataan yang ditebalkan.

PREMIS:
"Seorang pendekar muda berhadapan hukuman kerana mahu membela sahabatnya yang dituduh derhaka."

Lihat poin-poin penting dalam satu ayat ini:

● 'seorang pendekar muda'

● 'berhadapan hukuman'

● 'membela sahabatnya'

● 'dituduh derhaka'

Ayat ini sudah meletakkan watak utama dalam satu situasi. Hanya menceritakan sedikit tentang watak utama, tanpa menambah kejadian-kejadian lain yang berlaku sepanjang cerita.

Pada tahap ini, kembangkan dari satu ayat tadi menjadi tiga perenggan.

Perenggan 1 : Setup ■
Watak kita sudah berada dalam situasi 'atas pokok', iaitu masalah yang dihadapinya. Dalam perenggan ini ceritakan latar tempat dan sedikit latar belakang watak.

Latar:
Di sebuah negeri kecil yang bernama Inderagana.

● Watak:
Nadim, seorang pendekar muda telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi Satria yang terkuat yang digelar Panglima Utama. Dia sentiasa berlatih dengan sahabat baiknya, Iskandar untuk mencapai cita-cita masing-masing.

Perenggan 2 : 3 Bencana ■
Sekarang, kita mesti menambah kesusahannya dengan 'membalingnya dengan batu'. Dalam perenggan tersebut tambah 3 bencana besar yang dihadapi oleh watak utama.

Bencana 1: [Tindakan watak utama yang menyebabkan keadaan lebih rumit]
Iskandar tiba-tiba berubah sikap sehingga mereka bertengkar, bertarung dan masing-masing mengalami cedera teruk. Nadim kemudian merasa bersalah apabila tidak cuba memahami masalah Iskandar.

Bencana 2: [Tindakan watak utama yang cuba menyelesaikan masalah tetapi menemui kegagalan pertama, menyukarkan segala-galanya]
Iskandar telah mengingkari perintah dengan lari ke laut, menjadikannya orang yang dilabel penderhaka. Nadim memohon pada Panglima utama jika dia dapat mengejar Iskandar, Iskandar akan diampunkan. Sayangnya, pengejaran itu gagal dan Nadim kehilangan peluangnya untuk membela sahabatnya itu.

Bencana 3 : [tindakan yang dilakukan watak utama yang menuju ke penamat]
Nadim senyap-senyap menyelinap masuk ke dalam istana untuk menyiasat hal yang menyebabkan Iskandar berubah sikap. Di situ dia mengetahui perkara sebenar dan mengetahui satu lagi rahsia yang besar. Akibatnya, dia tertangkap oleh hulubalang istana lalu dipaksa menghadap sultan dan Panglima utama.

■ Perenggan 3 : Penamat
Tulis akibat atau 'aftermath' dari tindakan watak utama yang sebelumnya.
Kalau ikutkan undang-undang, Nadim akan dihukum pancung kerana perbuatannya itu. Namun, dia diserahkan sultan kepada Panglima utama untuk tindakan lanjut. Panglima Utama hanya memenjarakan Nadim. Ketika dipenjara, Panglima Utama secara rahsia membebaskan Nadim tapi Nadim harus melaksanakan satu misi gelap. Nadim selamat, buat masa ini.

Siap!

SAMPEL CERITA
"Seorang pendekar muda berhadapan hukuman kerana mahu membela sahabatnya yang dituduh derhaka."

Di sebuah negeri kecil yang bernama Inderagana, tersebutlah kisah tentang Nadim, seorang pendekar muda telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi Satria yang terkuat yang digelar Panglima utama. Dia sentiasa berlatih dengan sahabat baiknya, Iskandar untuk mencapai cita-cita masing-masing.

Iskandar tiba-tiba berubah sikap sehingga mereka bertengkar, bertarung dan masing-masing mengalami cedera teruk. Nadim kemudian merasa bersalah apabila tidak cuba memahami masalah Iskandar.

Iskandar telah mengingkari perintah dengan lari ke laut, menjadikannya orang yang dilabel penderhaka. Nadim memohon pada Panglima utama jika dia dapat mengejar Iskandar, Iskandar akan diampunkan. Sayangnya, pengejaran itu gagal dan Nadim kehilangan peluangnya untuk membela sahabatnya itu.

Nadim senyap-senyap menyelinap masuk ke dalam istana untuk menyiasat hal yang menyebabkan Iskandar berubah sikap. Di situ dia mengetahui perkara sebenar dan mengetahui satu lagi rahsia yang besar. Akibatnya, dia tertangkap oleh hulubalang istana lalu dipaksa menghadap sultan dan Panglima utama.

Kalau ikutkan undang-undang, Nadim akan dihukum pancung kerana perbuatannya itu. Namun, dia diserahkan sultan kepada Panglima utama untuk tindakan lanjut. Panglima utama hanya memenjarakan Nadim. Ketika dipenjara, Panglima utama secara rahsia membebaskan Nadim tapi Nadim harus melaksanakan satu misi gelap. Nadim selamat, buat masa ini.

Mudah bukan memikirkan jalan cerita?

■LATIHAN PRAKTIKAL■
Kembangkan premis anda yang semalam menjadi tiga rangka besar menggunakan panduan dan contoh yang telah diberikan.

TIGA RANGKA BESAR

Latar: _________________________________

A. Situasi Atau Masalah (Setup)
_________________________________________________________________

B. 3 Konflik (Complications)
_________________________________.
_________________________________.
_________________________________.

C. Penyelesaian Konflik
__________________________________________________________________

Semoga bermanfaat!☘️☘️☘️

Menguasai Dunia Fantasi 101Where stories live. Discover now