Watak #1 : Lapisan 1 - Pembentukan Watak

51 7 5
                                    


Kuasai Dunia Fantasimu!

Sebelum mula menulis, kita kena tahu benar dengan watak-watak cerita kita, seperti membesar sama-sama. Ini bertujuan supaya kita tidak melakukan kesalahan seperti tertukar nama, sikap yang tidak konsisten, plot-hole yang disebabkan latar belakang yang kabur dan sebagainya.

Dalam teknik Snowflakes Method yang sedang saya terokai, untuk membentuk watak yang kompleks, ada 3 langkah yang diperlukan. Dalam bab ini, kita akan bercakap tentang langkah pertama iaitu menyenaraikan watak-watak yang akan terlibat dalam cerita.

Pada peringkat awal mengembangkan cerita, semestinya kita akan sudah mempunyai beberapa orang watak. Ada beberapa orang, tetapi di tahap ini, kita masih tidak jelas sama sekali tentang mereka. Menamakan pun mungkin belum terfikir.

Tapi, perkara paling asas yang perlu kita tahu tentang watak kita ialah 4 perkara di bawah.

1 - Apa Peranan Mereka?

Mengetahui peranan watak di dalam cerita anda bermaksud anda tahu watak harus 'berlakon' sebagai siapa. Watak ialah cerita dan cerita ialah tentang watak. Perkara pertama yang kita harus tahu dan tetapkan ialah apa tentang watak yang menggerakkan cerita. Peranan ini boleh jadi spesifik atau masih samar-samar.

Misalnya, anda menetapkan cerita anda tentang kes pembunuhan. Siapa pelakon yang diperlukan dalam cerita ini?

Mungkin...

Seorang gadis yang tidak sengaja menyaksikan jirannya membunuh.

Seorang pemuda tampan yang sebenarnya seorang pembunuh sadis.

Seorang pegawai polis yang bertanggungjawab

Kawan baik gadis itu dan sebagainya.

Mengetahui 'archetype' watak atau jawatan mereka seperti Protagonis, Antagonis, Mentor dan lain-lain juga membantu. Baca catatan saya tentang perkara ini di bab yang seterusnya.

2 - Siapa Nama Mereka?

Dalam dunia nyata. nama kita biasanya tidaklah terlalu menggambarkan siapa kita. Tapi, perkara ini tidak berlaku bagi watak-watak fiksyen. Nama mereka boleh menyembunyikan petunjuk yang lebih besar.

Contohnya, Protagonis anime 'One Piece' yang bernama Monkey D. Luffy. 'Monkey' ialah nama keluarganya. Ini menjadi bukti bahawa Laksamana Madya dalam Tentera Marin, Monkey D. Garp dan Ketua Tentera Revolusi Monkey D. Dragon ada pertalian darah. Dragon ialah ayahnya, dan Garp pula datuknya. Fakta ini terungkap selepas beberapa puluh episod dan menjadi elemen kejutan kepada penonton.

Pilihlah nama untuk watak cerita anda dengan berhati-hati. Dari nama, kita boleh mendapatkan lakaran kasar tentang watak kita. Baca artikel saya mengenai perkara-perkara yang perlu diperhatikan ketika menamakan watak di bab yang seterusnya.

3 - Kenapa Mereka Unik?

Ini ialah ciri-ciri khas, spesifik, kecil yang membezakan satu watak antara satu sama lain. Perincian ini memberikan idea tentang watak yang mana dan membuatkan kita tertarik dengan watak ini.

Elok kaitkan ciri-ciri fizikal seperti (parut, warna kulit, dan lain-lain) dengan personaliti watak. Ciri-ciri yang memberikan impresi dan petunjuk kepada sesuatu yang lebih besar.

Contoh lain,

Levi Ackerman (Attack on Titan) yang germophobia mempunyai tabiat menutup cawannya kerana dia mahu memastikan minumannya tidak dicemari.

Putera Wang-So (Moon Lover: Scarlet Heart Ryeo) mempunyai parut di wajahnya ialah kerana dia hampir ditikam oleh bondanya sendiri semasa kecil.

4 - Di mana mereka tergolong?

Ketika menulis, kita perlu tahu dan boleh menjawab soalan, "Apa yang dia akan lakukan dalam situasi ini?"

Untuk menjawab soalan itu, kita kenalah tahu sesuatu tentang watak yang akan menjawab soalan tersebut. Untungnya, masyarakat sememangnya suka meletakkan orang-orang di dalam kategori. Kategori-kategori inilah yang boleh menjadi jalan pintas untuk kita memberikan personaliti kepada watak-watak fiksyen kita.

Antara teori-teori atau 'personality typology' yang boleh kita rujuk ialah

- Jungian Archetype

- Mayer Briggs' Personality Types (MBTI)

- Moral Alignment

- Enneagram

- Colour Personalities

- Horoscope zodiac sign

- Hogwarts Houses

Semua yang disenaraikan di atas akan mengkelaskan manusia kepada kelas-kelasnya yang tersendiri berdasarkan personalitinya yang tersendiri.

Contohnya, dalam zodiak. Seseorang yang dikatakan mempunyai zodiaki Leo ialah seorang yang tegas dan berani kerana mereka alaminya lahir sebagai pemimpin. Vokalnya seorang Leo menyuarakan pendapatnya kadangkala dilihat terlalu 'bossy'.

Manakala, mereka yang lahir sebagai Capricorn pula orang yang praktikal dan intelektual. Seorang Capricorn sangat penyabar dan tegar bila berhadapan dengan kegagalan tapi mereka cenderung terpengaruh dengan kenegatifan.

Kita boleh gunakan kelas-kelas ini sebagai asas untuk membentuk ciri-ciri personaliti watak. Ini juga boleh menjadi panduan kita menjangka tindak-tanduk watak sepanjang plot cerita bergerak.

Penutup:

Setelah mengetahui keempat-empat perkara yang disebutkan, kita sudah boleh mula menulis draf pertama. Biarkan watak-watak fiksyen kita berkembang seiring perkembangan plot menggunakan petunjuk-petunjuk kecil yang kita tahu tentang mereka. Pada akhir cerita, senarai tentang watak-watak tersebut juga akan berlipat ganda. Jadikan empat perkara yang telah dibincangkan sebagai asas pembentukan watak, tidak kira yang major atau minor.

Semoga Bermanfaat!

Menguasai Dunia Fantasi 101Where stories live. Discover now