MENGHAMPIRI si suami yang sedang termenung jauh dengan mata menala ke kaca TV yang gelap, Diya duduk perlahan.
"Zeeq..."
Seperti terkejut, Zeeqri pantas tegakkan badan dan menoleh. Memandang tepat ke wajah isteri yang baru melabuhkan duduk di sofa sebelah kirinya.
"Saya dah kumpul semua keperluan yang awak nak bawa pergi. Nanti check, takut ada yang tercicir." Sayu suara Diya saat meluahkan ayat tersebut.
Siapa yang tak sayu bila terpaksa mengemas keperluan suami untuk pergi jauh. Pergi yang entah akan kembali atau pergi yang mungkin menjadi penamat pada hubungan mereka.
"Saya nak tanya untuk kali terakhir." Diya bersuara lagi.
Sejak tadi, Zeeqri hanya diam mendengar.
"Sebelum pergi, awak akan lepaskan saya?" Soalan yang sudah berkali-kali ditanya namun jawapan tepat dari bibir Zeeqri tidak juga terluah.
Zeeqri seperti bermain tarik tali. Berdolak dalih sana sini.
"Kau nak ikut aku?" Soalan berbalas soalan.
"Ikut nak buat apa?" Tiba-tiba Diya jadi blur. Zeeqri akan ke UK untuk menyambung pengajian atas kehendak keluarganya.
Apa yang dia boleh buat di sana kalau dia ikut? Tapi dia tak rasa keluarga Zeeqri akan benarkan kalau dia kata mahu sekali pun.
"Teman tidur."
Terdiam terus Diya tatkala mendengar jawapan balas dari Zeeqri. Jawapan tak berperasaan.
"Hanya itu saja kedudukan saya di mata awak, kan?" Ayat sakit hati sendiri Diya luahkan tapi bibir tetap mengukir senyum.
Kali ini Zeeqri pula yang terdiam mendengar kata balas si isteri. Entah, dia tak bermaksud apa-apa pun. Bercakap ikut sedap mulut orang kata. Sejak dulu dia memang begitu. Diya dan semua orang tahu.
Tapi untuk petang ini, dia terkesan melihat perubahan wajah Diya.
"Tadi aku jumpa cikgu Hilman. Dia tanya kau." Zeeqri ubah topik bicara. Baru teringat hal yang satu itu mahu ditanya pada Diya sejak tadi.
"Mana dia tahu kau kahwin dengan aku?" Tambahnya lagi, merenung tepat ke wajah Diya.
"Saya beritahu." Jujur Diya menjawab.
"Bila kau berhubung dengan dia?" Nada terkejut, Zeeqri ajukan soalan lagi. Lagak bagai polis pencen.
"Selalu." Diya mengaku dengan penuh kejujuran.
Beberapa ketika, Zeeqri bagai terdiam. Tak menjangka jawapan itu yang dia akan dengar.
"Aku tak tahu pun." Seolah tak berpuas hati, Zeeqri membalas.
"Awak berminat ke nak tahu hal hidup saya yang tak ada kaitan dengan awak?" Diya balas dengan soalan menyengat.
Sebab itulah ayat Zeeqri saat mereka baru sah sebagai suami isteri dua bulan lepas.
'Aku tak berminat untuk tahu hal peribadi kau, hal keluarga kau dan sewaktu dengannya.' Masih terngiang ayat tersebut di telinga Diya sehingga ke hari ini.
Dan sehingga ke hari ini, keluarga Diya langsung tak tahu yang anak mereka ini sudah bergelar isteri pada lelaki bernama Zeeqri Aidan.
Zeeqri bagai berkeluh perlahan.
"Semua orang tahu, Cikgu Hilman tu suka kau." Sekali lagi Zeeqri beralih topik. Tapi masih berkisar tentang Cikgu Hilman, Cikgu terkacak di sekolah mereka, yang menjadi kegilaan ramai pelajar perempuan.
Tapi untuk tidak memanjang topik tersebut, Diya diam tak membalas. Jika nak dibahaskan kenapa dia menjadi pelajar favourite Cikgu Hilman, banyak yang perlu dikupas.
Diya baru mahu bangkit untuk beredar tetapi Zeeqri memberi isyarat agar duduk di sebelahnya.
"Sini." Sofa di sebelahnya, Zeeqri tepuk perlahan.
Dan sering kalinya permintaan Zeeqri tidak pernah dibantah oleh Diya. Duduknya beralih tempat.
Tiba-tiba Zeeqri rebahkan badannya dan kepala berbantalkan paha Diya. Mata dipejam rapat.
"Tadi sebelum balik, aku jumpa Fadhil dan..." Bicara Zeeqri mati di situ.
Matanya dibuka. Bertentang dengan sinar mata Diya.
"Elina?" Diya sambung ayat Zeeqri dengan soalan.
Namun, Zeeqri diam dan kembali menutup matanya.
Saat itu Diya tahu, kenapa Zeeqri sejak tadi termenung jauh dan nampak gelisah. Kisah Cikgu Hilman hanyalah topik selingan untuk menutup kisah Fadhil dan Elina.
Ya! Fadhil dan Elina itu adalah dua nama yang menyebabkan mereka berdua terjebak dalam perkahwinan ini.
"Katalah suatu hari nanti, Elina dan Fadhil berpisah. Awak masih akan terima..."
"Aku tak tahu!" Pantas saja Zeqqri memintas sebelum sempat Diya habiskan ayatnya.
Sepantas itu juga, Zeeqri bangkit dari perbaringan dan duduk menunduk dengan dua siku menongkat di lutut. Jemari kiri dan kanan saling bertaut.
Situasi itu memberi maksud yang topik tersebut harus dihentikan di situ.
"Okeylah! Saya nak bersiap." Diya cuba bergerak bangkit tetapi pergerakannya terhenti apabila lengannya dipegang Zeeqri.
Badan Zeeqri berpusing ke kanan, ke arah Diya yang sedang merenungnya.
"Boleh tak kalau kau tak pergi kerja malam ni?" Bukan memaksa tapi itu seperti satu permintaan yang dibuat oleh Zeeqri.
Diam sesaat, Diya geleng kepala.
"Awak pun tahu, kerja tu satu keperluan buat saya." Lembut saja Diya menolak permintaan Zeeqri.
Dia sudah bekerja di 7-E sejak tamat peperiksaan SPM. Sejak mereka belum bergelar suami isteri lagi. Zeeqri tahu dan ramai yang tahu, dia bekerja menanggung keperluan diri sendiri dan juga membantu keluarga.
"Aku bayar gaji kau untuk hari ini."
Sekali lagi Diya geleng kepala.
"Saya tahu awak banyak duit, tapi saya tak nak duit awak." Pegangan Zeeqri cuba dileraikan.
"Yang banyak duit tu keluarga aku, bukan aku." Tak peduli dengan keengganan Diya memenuhi permintaannya, Zeeqri merapatkan kedudukan.
Tanpa amaran, tubuh Diya dipeluk dari sisi dan dagunya dilabuhkan ke bahu si isteri.
Mata kembali terpejam.
"Kau ni, selalu wangi." Zeeqri bergumam.
"Sebab tu aku kata, kau selalu goda aku." Tambahnya lagi.
Untuk kali ketiga, Diya geleng kepala. Zeeqri kalau kepalanya sedang berserabut, beginilah tingkahnya.
Kalau awal dulu, Diya suka bila Zeeqri mahu bermanja begini. Dia fikir suatu hari nanti, Zeeqri mungkin boleh lupakan Elina.
Tapi saat ini, Diya yakin yang Elina itu tak mungkin pernah hilang dari ingatan seorang Zeeqri.
Dia ini mungkin hanya tempat Zeeqri melampiaskan nafsu sahaja. Tak ubah seperti perempuan simpanan halal, yang didambakan ketika perlukan belaian.
Yanglainnya, dia ini tak pernah berharga di mata Zeeqri. Tak mungkin hati Zeeqriakan beralih walau untuk seribu tahun lagi.
YOU ARE READING
HENTIKAN WAKTU
RomanceBerkahwin dalam usia yang cukup mentah. Tanpa cinta dan terpaksa. Dulu Zeeqri kata, hatinya bukan untuk Diya. Jadinya, Diya tak perlu tunggu dia. Hari ini, setelah 13 tahun berlalu, tatkala ditemukan kembali, bila Diya sudah berubah menjadi wanita y...