Bab 6

1.3K 99 12
                                    

LANGIT menangis.

Dan kesannya, bumi basah. Tapi, pelangi selepas hujan yang selalu menjadi omongan tidak pula nampak di langit sana.

Langkah Diya penuh hati-hati agar tidak memijak lopak air.

Namun begitu, sejauh mana kita berhati-hati sekali pun, jika orang lain tidak menghormati hukum alam, tetap juga kita akan terkena tempiasnya.

Kereta yang meluncur laju, melanggar lopak air di depannya, memercikkan air kotor ke seluruh muka dan pakaiannya.

Diya terus kaku di tepi jalan. Memerhatikan kereta ferrari hitam meluncur laju.

Gigi dikacip rapat tanda geram sambil tangan naik meraup wajah yang basah.

Menunduk memandang diri sendiri, kepala digeleng laju. Blouse putih yang dipakainya basah dengan warna kehitaman.

Malangnya hari ini dia tidak memakai kut seperti selalunya.

"Cik okey ke?" Tiba-tiba ada suara menegur.

Diya berpaling. Nampak seorang remaja lelaki sedang melangkah ke arahnya. Di tangan kanannya terpegang sebiji helmet.

Tak tahu dari mana datang, tiba-tiba sudah berdiri di sebelahnya. Mungkin remaja ini nampak apa yang berlaku tadi.

Hari itu, dia masuk pejabat sudah agak lewat. Selepas waktu makan tengah hari kerana ada hal penting di tapak projek di Shah Alam.

Malas untuk memanjat ruang parkir di tingkat tiga bangunan pejabat, dia memarkir saja kereta di ruang terbuka seberang jalan depan bangunan pejabatnya.

Tak sangka pula ini yang harus ditempuh.

"Pegang kejap." Helmet dihulur ke arah Diya, minta dipegang.

Teragak-agak Diya menyambut.

Remaja lelaki tersebut terus membuka jaket hitam yang dipakainya.

Dari wajah remaja ini, nampak masih terlalu muda. Sangat-sangat muda. Tapi budak-budak sekarang, lebih dewasa dari usia sebenar.

"Nampak seksi. Guna jaket ni." Remaja tersebut menghulurkan jaketnya ke arah Diya.

Dan kemudian, meminta kembali helmetnya yang Diya pegang.

"Terima kasih." Diya terus sarungkan jaket ke tubuhnya.

Rasa segan bila budak remaja penuh berani berkata yang dia nampak seksi.

Jika berdepan dengan lelaki matang, Diya tak pernah rasa segan begini. Dia sentiasa tahu untuk mempersembahkan dirinya sebagai wanita yang tak perlukan sebarang pertolongan.

Tapi tak tahu kenapa bila berdepan dengan remaja ini, Diya jadi kalah.

"Nama apa?" Tak tahu kenapa, Diya begitu ramah bertanya.

"Firhat." Bibir tersenyum saat menyebut nama sendiri.

Senyum yang manis. Diya memuji. Tapi nampak sangat muda. Macam tak logik bawa motor sendiri. Mungkin ada orang lain yang membawanya.

Dalam berfikir itu, tiba-tiba mata Diya jatuh pada lengan remaja tersebut.

"Tanda lahir ke?" Ringan pula mulutnya bertanya sambil menunjuk ke arah tompok kelabu di lengan Firhat.

"Yap." Firhat gosok bisep kirinya yang bertanda. Sudah terbiasa dengan soalan yang sebegitu.

Tapi bagi Diya, tanda itu mengingatkan dia pada seseorang.

HENTIKAN WAKTUWhere stories live. Discover now