DUDUK di antara dua manusia yang sedang berbincang hal bisnes, Zeeqri geleng. Dia ajak mereka berdua ke hotel ini untuk memberi pendapat tentang pakej makanan yang ditawarkan untuk majlisnya nanti, bukan berbicara tentang bisnes.
"Hujung minggu, bro. Lupakan soal bisnes." Zeeqri ketuk-ketuk jemari di atas meja.
Mata beralih-alih kiri dan kanan.
Di sebelah kirinya, Iskandar. Sepupu merangkap MD di Avara Matrix yang dikatakan sedang bermasalah sekarang ini.
Dan di sebelah kanannya pula ialah Rafie, kawan lama merangkap General Manager yang menguruskan semua hal berkaitan operasi syarikat di Avara.
"Tak berjaya?" Suara Rafie menyoal, langsung tak terkesan dengan kata-kata Zeeqri.
Iskandar geleng kepala dengan wajah kecewa.
"Semalam aku sembang dengan Yaya. Katanya Projek Bayu Baiduri hari tu, YMD juga yang dapat." Nama yang disebut Rafie buatkan badan Zeeqri menegak.
Bukan nama projek atau nama syarikat tapi nama orang. Ya! Nama Yaya.
Tiba-tiba dia teringatkan seseorang. Orang yang pernah hadir dalam hidupnya. Hadir yang sekejap tetapi banyak yang manis terlakar.
13 tahun, dia cuba membuang nama itu, cuba melupakan semua kenangan antara mereka. Namun, dia gagal.
Saat ini, bila nama itu disebut di depannya, walaupun oleh orang yang tak ada kaitan langsung dengan kisah silam mereka, ingatan itu bagai busur memanah ke mindanya.
"Mana Yaya tahu?" Iskandar berkerut kening.
Sekali lagi, nama sama disebut tapi kali ini oleh Iskandar pula.
Mata Zeeqri merenung jauh. Ingatan lampau makin jelas terlayar di minda.
"Diya Aliya. Aku panggil kau Yaya, boleh?"
"Kenapa?" Diya berpaling.
"Nama Diya tu, macam tak sesuai dengan kau." Entah kenapa, dia rasa nama Yaya lebih sesuai dengan karakter Diya.
"Suka hatilah." Pasrah dan reda, begitulah Diya selalunya.
"Yaya..." Dia menyeru namun Diya diam membisu.
"Yaya!" Kali ini lebih kuat nadanya.
"Mmm..." Baru Diya bergumam. Mungkin baru perasan tentang namanya yang telah bertukar.
"Sini, aku nak peluk kau sekejap." Tangan menggamit agar Diya datang kepadanya.
Diya senyum dan perlahan melangkah mendekat. Diya yang sentiasa akur dengan setiap arahan dan permintaannya walau dalam keadaan apa sekali pun.
"Knowing Yaya, dia banyak sumber." Suara Rafie yang bergema, menghapus kenangan masa lampau yang berlegar.
Zeeqri geleng kepala. Dunia ini besar. Tak mungkin orang yang sama. 'Yaya' yang dia tinggalkan dulu, bukan di bumi KL, tapi jauh di bumi Kuantan sana.
"Who is Yaya?" Zeeqri tiba-tiba mencelah.
Dua pasang mata serentak terarah padanya.
"Our Assistant Project Manager." Dua suara serentak daripada Rafie dan juga Iskandar memberi jawapan.
"Why?" Iskandar bersuara apabila melihat wajah Zeeqri berkerut.
Zeeqri geleng kepala. Dia pun tak tahu kenapa dia ringan mulut bertanya. Walhal selama ini, dia langsung tak berminat untuk tahu siapa dan apa yang berlaku di Avara.
YOU ARE READING
HENTIKAN WAKTU
RomanceBerkahwin dalam usia yang cukup mentah. Tanpa cinta dan terpaksa. Dulu Zeeqri kata, hatinya bukan untuk Diya. Jadinya, Diya tak perlu tunggu dia. Hari ini, setelah 13 tahun berlalu, tatkala ditemukan kembali, bila Diya sudah berubah menjadi wanita y...