TIBA-TIBA terasa ada tangan melingkar di pinggangnya.
Diya diam tak berkutik.
"Sini." Suara garau Zeeqri menyapa anak telinga.
Selama bergelar isteri pada Zeeqri, dia tak pernah membantah. Tak pernah ingkar apa mahunya lelaki ini.
Tapi kali ini, dia cuba untuk melakukannya. Tak beralih walau seinci. Keraskan diri walau tubuhnya sedang ditarik sang suami.
"Nur Diya Aliya." Nama penuhnya diseru dan serentak dengan itu, belakangnya terasa hangat dek haba tubuh Zeeqri yang sudah melekat di belakangnya.
"Tadi kau goda aku. Sekarang kau jual mahal pula."
"Saya tak goda awak." Perlahan Diya membalas. Namun badan masih dikeraskan.
"Tidurlah." Tambahnya sambil tangan menolak lengan si suami agar merenggangkan pautan di pinggangnya.
"Rasa mengantuk aku dah hilang. Kau kena bertanggungjawab." Seperti biasa, bukan Zeeqri namanya kalau dalam semua situasi dia tak salahkan Diya.
Mungkin sebab Diya selalu berlembut, selalu mengalah dan mengikut arahan. Itu yang Zeeqri makin naik lemak.
Tapi kali ini, Diya cuba untuk tidak peduli. Cuba untuk keraskan diri dan tidak mengikut kemahuan Zeeqri.
"Saya mengantuk." Sehabis saja ayat itu terluah di bibir Diya, tubuhnya terus ditarik agar berpusing menghadap ke kanan.
Tarikan yang kuat dan rakus memaksa Diya menurut.
"Aku nak..."
"Tak boleh!" Diya memintas. Walau belum habis ayat Zeeqri, dia tahu apa yang dimahukan oleh si suami.
"Kenapa?" Soalan terlontar dari bibir Zeeqri.
Namun, Diya tidak membalas.
Bila wajah Zeeqri makin mendekat. Bila nafas Zeeqri sudah menampar wajahnya, Diya alihkan kepala ke belakang.
"Zeeq..."
Kringggggg.....
Deringan telefon menamatkan segalanya. Dia bermimpi lagi. Mimpi yang tak pernah mahu pergi dari tidur malamnya.
Sudah bertahun-tahun dia cuba bertahan. Kalau boleh dia tak mahu menyentuh bayang lelaki itu lagi. Tapi rohnya selalu melanggar pantang.
Nafas Diya hela panjang.
Telefon di tepi bantal dicapai dan dilekatkan ke telinga.
"Morning..." Suara yang menyapa di hujung sana buatkan Diya terbangkit pantas.
Terus skrin telefon direnung. Rasanya tadi dia nampak nombor yang tak dikenali. Tapi kenapa suara lelaki ini pula yang menyapa telinga?
"Fadhil?"
Kedengaran tawa kasar berkumandang di hujung sana.
"You tetap kenal suara I."
"You lupa perjanjian kita?" Tegas Diya separuh marah.
Kalau Fadhil guna nombor telefon bimbitnya, pasti Diya akan biarkan saja atau menolak panggilan tersebut. Itu Fadhil memang tahu. Sebab itulah lelaki itu gunakan telefon lain untuk menghubunginya.
"I tak lupa. Tapi berita ni tak boleh tunggu."
"What?" Diya kembali merebahkan badannya.
YOU ARE READING
HENTIKAN WAKTU
RomanceBerkahwin dalam usia yang cukup mentah. Tanpa cinta dan terpaksa. Dulu Zeeqri kata, hatinya bukan untuk Diya. Jadinya, Diya tak perlu tunggu dia. Hari ini, setelah 13 tahun berlalu, tatkala ditemukan kembali, bila Diya sudah berubah menjadi wanita y...