TELEFON berdering. Gibran memandang skrin. Dia tersenyum.
"Hai, sayang. I miss you like crazy," sapa Gibran.
Tasnim ketawa bahagia. Dia juga rindukan Gibran. Mereka terpaksa berpisah untuk sementara waktu apabila dia memilih untuk melahirkan bayi sulung mereka di kampung. Dia mahu berpantang di rumah orang tuanya.
Gibran seperti biasa, sibuk memanjang. Tapi, dia tahu, Gibran melakukan semua ini untuk keluarga mereka.
"Abang, Tas dah tengok rumah tu. Cantik gila. Tas suka sangat." Tasnim bercerita.
Gibran senyum. Suara lunak manja Tasnim membuatkan rindu yang bersarang semakin berselirat.
"Oh ya? When can I see it?" tanya Gibran.
Kereta yang dipandu oleh Tasnim sedikit tersasar ke laluan bertentangan. Kedengaran bunyi hon daripada kenderaan yang menghala ke arahnya.
Tasnim melirik pula cermin pandang belakang. Sebuah kereta cuba memotong keretanya. Tasnim memusing stereng ke kiri untuk memberi laluan kepada kereta tersebut. Dia masuk semula ke laluannya.
"Hang on, hang on. Are you driving?" tanya Gibran.
"Very slowly," ujar Tasnim seraya ketawa manja.
Gibran menyeringai. Tasnim memang degil.
"Pull over and call me back," ujar Gibran, lalu mematikan talian. Dia perlu bertegas dengan Tasnim.
Telefon disimpan dalam saku seluarnya.
Pintu bilik diketuk. Wafa melangkah masuk.
"Encik Gibran, mereka semua sedang menunggu," ujar Wafa, merujuk kepada ahli pengurusan baru yang mengambil alih sebuah syarikat.
Gibran angguk seraya tersenyum. Dia mengambil blazer pada penyangkut, lalu disarungkan ke tubuhnya.
Wafa menghampiri. Dia membetulkan tali leher Gibran.
Gibran senyum segaris. Wafa ini memang jenis terlebih prihatin.
"Tahniah, Encik Gibran," ujar Wafa.
Dia berundur setapak ke belakang, mempersilakan Gibran membawa langkah ke bilik mesyuarat. Mesyuarat bagi membincangkan penjualan Uparcel Service, iaitu sebuah syarikat perkhidmatan kurier, kepada Datuk Zamri.
Sekali lagi Gibran tersenyum. Usaha selama lebih setahun akan dituai hasilnya pada hari ini. Dia akan membeli rumah impian Tasnim walaupun rumah itu bukan rumah impiannya. Dia tidak bercadang untuk menetap di pinggir bandar. Yang penting, beli dulu. Nanti-nantilah dia pujuk Tasnim. Selepas isterinya melahirkan anak sulung mereka.
Gibran mengambil tempat di sebelah Datuk Zamri.
Telefonnya berdering lagi. Gibran memilih untuk tidak menjawab. Dia pasti itu adalah panggilan daripada Tasnim. Biarlah dia selesaikan majlis menandatangani perjanjian penjualan saham Uparcel Service dahulu.
GIBRAN menapak ke bilik. Langkah dibawa ke dinding cermin yang melatari dua perempat daripada pejabatnya. Pandangan dibuang ke luar. Menyaksikan kesesakan lalu lintas. Ini adalah hari terakhirnya di bangunan UParcel Service. Esok dia akan terbang ke Kelantan untuk bersama dengan Tasnim.
Teringatkan isterinya itu, Gibran menyeluk poket seluar. Telefon dikeluarkan. Dia tersenyum. Benar. Panggilan yang tidak dijawab tadi adalah daripada Tasnim.
Gibran menunggu panggilannya disambungkan. Tidak berjaya. Dia mencuba lagi. Setelah lima kali percubaannya gagal, dia menghubungi Samad.
"Ayah, Tas dah balik ke? Gib call dia, tapi tak dapat."
Samad memberitahu Gibran yang dia juga sedang cuba menghubungi anaknya itu.
"Kalau ayah dapat contact dia, minta dia call Gib. Nak bincang pasal urusan rumah tu. Gib nak Tas bagi details pasal rumah tu."
Samad tersenyum gembira. "Kira kamu jadi belilah?"
"Insya-Allah, jadi, ayah."
Samad mengucapkan rasa syukur. "Ada panggilan masuk ni. Nanti ayah suruh Tas call kamu."
Gibran angguk. Talian dimatikan. Gibran mencuba sekali lagi. Panggilannya disambung ke voice mail.
"Hey, darling. It's me. I just wanted to hear the sound of your voice," ujar Gibran.
Jeda.
"And to tell you that I love you and I miss you."
Gibran mengerutkan dahi. Entah kenapa, dadanya berdebar-debar. Dah sampai masanya Tasnim bersalin ke?
Wafa masuk bersama sebuah kotak sederhana besar.
"Saya nak kemas barang Encik Gibran," ujar gadis itu.
Gibran angguk. Dia menuju ke mejanya untuk mengambil barang peribadi yang akan dibawa bersamanya. Gibran menanggalkan blazer, lalu disidai atas kerusi. Dia menyingsing lengan kemeja ke paras siku.
Wafa mencuri pandang Gibran. Suka melihat bulu pada lengan lelaki itu. Nampak maskulin.
Gibran mendongak apabila merasa dirinya diperhatikan.
"Boleh tak kalau saya terus kerja dengan Encik Gibran?" Dengan berhati-hati, Wafa menyatakan hasratnya.
Gibran terdiam seketika. "Awak tak nak kerja dengan Datuk Zamri?"
Wafa menggeleng.
"Kalau macam tu, terpulang pada awak. Saya tak kisah. Saya pun dah selesa dengan awak."
"Jadi, saya boleh ikut Encik Gibran?"
"Awak okey ke kalau lepas ni kita kerja di Kelantan?"
Wafa angguk. Dia tak kisah. Asal dapat bersama dengan Gibran. Banyak yang dia belajar dengan lelaki itu. Malah, lelaki itu seorang yang cool. Jarang nak marah-marah.
Gibran angguk. Dia ada membuat kajian terhadap beberapa buah syarikat yang nyawa-nyawa ikan, tetapi masih berpotensi untuk diselamatkan.
Itulah kerjanya. Membeli syarikat bermasalah dengan harga murah dan cuba memulihkan syarikat itu. Setelah berjaya menaikkan profit margin dan mengaut keuntungan, dia akan menjualnya dengan harga yang jauh lebih tinggi.
"Kalau macam tu, pergi kemas barang awak. Yang ini, biar saya kemas sendiri."
Wafa mengoyak sengihan. Dia meninggalkan bilik Gibran.
Telefon berdering. "Gibran, ayah ni."
"Ya, ayah."
"Tas kemalangan."
Gibran tergamam. Tangan yang menyusun barang ke dalam kotak terhenti. "Macam mana keadaan dia?"
Samad tidak mampu berkata-kata lagi. Telefon dihulurkan kepada Adiq, pekerjanya.
Adiq mengambil telefon. Sukar untuk dia mengkhabarkan berita ini. Adiq menghela nafas dalam.
"Isteri Encik Gibran meninggal di tempat kejadian," ujar Adiq.
Gibran terduduk.
"Helo! Helo! Encik Gibran? Helo!" Adiq memanggil.
Adiq menggeleng. Dia mematikan talian, lalu menghulurkan kembali telefon kepada Samad.
