GIBRAN menggaru pipi yang tidak gatal. Tingkah spontan apabila dia tidak berpuas hati. Semua staf sedang menunggu di bilik mesyuarat untuk sesi pembentangan. Hanya Dira yang belum muncul.
"Awak lewat lima minit." Gibran menegur sebaik sahaja Dira melangkah masuk.
Dira tidak berani memandang Gibran. Suara keras itu cukup untuk memberitahunya Gibran sedang marah.
"Saya sedang bercakap dengan awak, Dira Irdina."
"Maaf. Saya ke tandas tadi."
Gibran menjeling tajam. Dia tidak membeli alasan tersebut. Satu yang dia perasan, Dira tidak memakai jam tangan. Gadis itu akan melihat masa pada telefon bimbit. Agaknya sebab itulah Dira selalu lewat.
"Pastikan awak ada idea yang baik. Kalau tak..."
"Kalau tak, apa? Nak pecat saya?" tukas Dira. Geram apabila lelaki itu mengugutnya sekali lagi.
Gibran terkejut. Tidak menyangka Dira berani menjawab. Egonya tercalar apabila semua staf di dalam bilik itu memandangnya.
"Ya. Angkat barang awak dan pergi." Gibran bersuara tegas.
Nampak sombong di mata Dira. Tapi, tidak pada staf lain. Mereka tidak menyalahkan Gibran. Tidak sepatutnya Dira bersikap seperti tadi.
Dira menelan liur. Cemas! Dia tersedar dia mengorek lubang kubur sendiri.
"Encik Gibran, saya yang salah. Tadi saya guna telekung Dira. Itu sebab dia lambat solat." Damia membela Dira.
Memang benar Dira lewat kerana menunggunya selesai bersolat.
Sepi.
Gibran memandang Dira sekilas. Gadis itu memang mencabar kesabarannya.
"Kita mulakan dengan kumpulan awak, Cik Dira," ujar Gibran. Nada suaranya sudah mengendur.
Muadz bangun untuk membuat pembentangan. Namun, Gibran mencadangkan agar Dira yang melakukannya. Sengaja mahu mendera gadis itu.
Muadz nampak serba salah. Dia tidak yakin Dira dapat membentang dengan baik.
Dira menuju ke layar skrin. Komputernya ditinggalkan untuk dikemudikan oleh Muadz. Pembentangan dimulakan.
Sesekali Gibran menggeleng apabila tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan. Tingkah Gibran mengganggu penyampaian Dira, namun dia cuba bertenang.
"Awak tahu apa masalah dengan pengiklanan kita?" Gibran mengajukan soalan.
Dira menggeleng sambil mengetap bibir. Dia menanti jawapan Gibran.
"Poster awak tu! Banyak yang perlu diperbaiki." Gibran mengutuk.
Wajah Dira merah padam. Wafa sembunyi senyum.
"Lepas ni kita akan tengok balik poster-poster yang korang upload di medsos."
Jeda.
Gibran kembali memandang slaid yang terpampang. Dia rasa wajar memberikan sedikit pujian untuk mengambil hati Dira. Eh, dah kenapa nak ambil hati perempuan tu? Gibran sendiri tidak pasti.
"Congrats. Saya suka dengan idea untuk grouping perfume kepada kumpulan tertentu." Gibran mencatat sesuatu pada iPadnya.
Sepi. Semua ahli mesyuarat menunggu arahan seterusnya daripada Gibran. Gibran angkat wajah. Dia memandang Dira. Tiada senyuman pada wajah itu walaupun dia baru memberikan pujian.
"Anything else?" tanya Gibran seraya menjongketkan kening.
Dira menggeleng. Rasa macam diperbodohkan oleh Gibran. Bukannya aku nak sangat berdiri tercongok di sini. Cakaplah awal-awal yang aku boleh duduk, kutuk Dira dalam hati.
