BAB 5

153 8 0
                                    

GIBRAN menutup fail yang mengandungi maklumat peribadi staf. Dira Irdina dalam senarai teratas untuk dia pecat. Tapi, entah kenapa, dia berat hati untuk berbuat demikian. Gibran mengurut dagunya yang berjambang nipis.

Di bahagian kilang, sepuluh orang dipecat. Dia turut memecat dua staf di bahagian makmal. Tapi, kenapa dia tak sampai hati nak pecat Dira? Dia tidak perlukan gadis itu. Dia boleh melantik graphic designer yang bekerja secara separuh masa. Bayaran gaji lebih murah.

Fail dibuka semula. Maklumat Dira diselidik. Gadis itu berumur 24 tahun. Berasal dari utara. Gambar Dira berukuran pasport ditatap. Manis. Tidaklah seketat ketika berhadapan dengannya. Tanpa sedar, Gibran tersenyum.

Teringat pula seloroh Tuan Ali ketika mereka berbincang tentang langkah pengurangan staf di House Of Parfum.

"Kalau Encik Gibran pecat graphic designer, mahu menangis si Muadz tu."

Gibran mencari telefonnya yang berdering. Jumpa di bawah longgokan fail. "Yes, Wafa?"

"Bos tak tidur lagi ke?"

Gibran senyum mendengar pertanyaan gadis itu. "Belum."

"Rehatlah. Tadi pun bos dah balik lambat. Kesihatan nak kena jaga jugak."

"Tahu."

"Jangan fikir nak buat profit aje," tokok Wafa.

"Awak pun tahu target saya. Saya tak minat dengan bisnes ni. Kurang daripada satu tahun, saya akan jual syarikat ni."

"Faham," ujar Wafa seraya mengangguk.

Gibran membeli syarikat House of Parfum kerana malu alah kepada bekas bapa mertuanya. Tuan Ali adalah sepupu kepada Samad, ayah arwah Tasnim.

"Selamat malam, Wafa," ujar Gibran sekali gus mengembalikan fikiran Wafa pada perbualan mereka.

Wafa mengetap bibir sambil menggeleng. Tak boleh nak berbual lama pun, desis hatinya. Kecewa. Sudah dua tahun arwah Tasnim pergi. Selama itulah dia mencuba, namun Gibran terlalu kebal. Hati lelaki itu bagai dibius daripada merasakan cinta.

Gibran mematikan talian. Tidak bernait untuk memanjangkan perbualan. Dia tidak mahu memberi sebarang harapan kepada Wafa.


GIBRAN menelaah laporan tahunan syarikat berhampiran time recorder punch card. Hampir setengah jam dia di situ. Tujuannya adalah memantau waktu stafnya mengetik kad perakam waktu.

Semua staf tiba di pejabat sebelum jam 9.00 pagi kecuali Dira dan Wafa.

Dira tergesa-gesa menuju ke mesin. Dia resah apabila Gibran berdiri di situ sambil berpeluk tubuh. Dia tahu lelaki itu sedang memandangnya.

"Selamat pagi, Encik Gibran." Dira menyapa.

Dia tunduk sedikit tanda hormat. Terpaksalah merendah diri walau saat ini dia benci sangat dengan lelaki itu.

"Awak lewat," tegur Gibran.

Dira memandang jam pada mesin. Jari telunjuknya dituding ke situ. Dia sampai tepat pukul 9.00 pagi. Jangan kata dia lewat.

"Kalau dibandingkan dengan orang lain, awak paling lewat."

Wafa melangkah masuk. Dengan selamba dia menarik kadnya, lalu diketik.

Dira memandang Gibran. Kenapa tidak ditegur perempuan tu? Nampak sangat pilih kasih, desis hati Dira. Dira tidak berpuas hati apabila Wafa melangkah pergi tanpa ditegur.

"Setiausaha Encik Gibran lagi lewat. Kenapa tak tegur dia?" Dira bertanya.

Gibran terkejut. Wah, berani perempuan ini menegurnya.

LELAKIMU KHALIL GIBRANWhere stories live. Discover now