"ASSALAMUALAIKUM si cantik," sapa Han sebaik kakinya melangkah masuk kedalam taman rumah.
Datin Lana yang sedang memberi ikan koi makan di kolam taman rumah itu menoleh kearah si anak. Bagai disimbah cahaya, wajah yang makin dimamah usia itu berseri dengan senyuman maha besar. Mimpi ke ni?
"Han!" Dia terus meluru kearah Han dan memeluk tubuh si anak.
"Apa khabar mama?"
"Baik, semakin menua dan Han tak nampak proses penuaan mama dalam masa 8 tahun ni kan?" Soal Datin Lana. Lebih kepada memerli.
"Ma, janganlah cakap macam tu. Han minta maaf"
Datin Lana tersenyum dan menarik Han masuk.
"Yan, tunggu package mama nak sampai tak lama lagi," sempat dia memesan kearah Iryan yang sedang duduk diatas bangku sambil melihat dua beranak berjejak kasih.
Senyuman diwajah Iryan mati mendengar arahan mamanya. "Lah, nak masuk juga" rungut Iryan.
"Tunggulah untuk mama! Mama nak manja-manja dengan seorang yang dah lupa jalan balik rumah ni," balas Datin Lana sambil menjeling wajah anaknya.
Das lagi satu kali!
"Okay... okay." Balas Iryan seraya menyambung tugas mamanya memberi ikan makan yang terhenti separuh jalan tadi.
Datin Lana masuk kedalam rumah sambil berpimpin tangan dengan Irhan.
"Bik, tolong potongkan kek indulgence yang Kath bawa tadi," pesan Datin Lana kepada pembantu rumah yang baru melepasi dia.
Tegak mata Irhan memandang mamanya sebaik sebaris nama itu menyapa ruang pendengarannya. Lamanya tak dengar nama itu disebut didepannya. Kathrine. Kath.
"Baik puan,"
"Han balik sini, ada plan nak balik terus ke atau sekejap je?" Soal Datin Lana. Pelik bila ibu sendiri tak tahu rancangan anak dalam bab-bab begini. Mana tidaknya, setiap kali dia tanya soal itu Han mesti mengelak. Tak mahu sangatlah tu jumpa Kath sampai tak teringin dah nak balik rumah.
Kenapa Kath? Kath aje sebab Han tak nak balik. Han sendiri yang mengaku sebelum dia lari dulu. Dia kenal Kath, Kath bukannya gadis tak baik. Baik! Cantik! Bijak! Rugi besar Han sebab bodoh dalam menilai.
"Balik sana balik se..."
"Memang nak tunggu mama mati dulu baru nak balik sini dan jaga mama ke?" Soal Datin Lana tiba-tiba berubah emosi. Dia tak dapat kawal, bukan ini jawapan yang dia anggap keluar dari mulut Han bila 8 tahun langsung tak balik rumah. Sampai bila dia nak beri muka?
Dulu, sewaktu dia bersetuju untuk akur akan permintaan Han mahu belajar di UK atas sebab tak rela dengan perkahwinan, dia anggap Han pergi hanya untuk sementara. Han tak pernah berpisah jauh darinya. Makan dan pakai Han semua disediakan jadi dia fikir Han tak akan boleh survive hidup sendiri.
Disebabkan dipersetujui keluarga Kath juga dia berlapang dada lepaskan Han pergi.
Tapi dia salah, Han dah buktikan Han mampu hidup sendiri. Dia pula yang menyesal dan habis daya nak pujuk Han pulang. Dulu, dia juga menaruh harapan pada kata-kata arwah ibu mertuanya.
Mana ada manusia yang tak akan rasa jatuh cinta bila 8 tahun bersama. Dia anggap amarah Han, benci Han dan keputusan Han akan memakan lelaki itu kembali... lelaki itu akan pulang dan terima Kathrine Adhara sebagai isteri dan hidup bahagia selamanya.
Ternyata tidak!
Tak fasal-fasal hidup anak dara orang merana disebabkan Han. Ya, Kathrine Adhara merana. Memang gadis itu tak pernah cakap atau merungut isu digantung tak bertali begini tapi siapa aje yang tak merana bila usia yang sepatutnya dia dah dapat rasa nikmat berkekasih dan bercinta terhalang dek statusnya sebagai isteri orang.