"Biarlah aku menangis sekarang. Aku lebih rela menangis kerana letih belajar daripada menangis kekesalan di kemudian hari kerana diherdik, dicemuh, dan rasa diperbodohkan."
- Rheyana Arman
**********
Tahun baru, maknanya semangat pun diberi nafas baru. Naiknya ke tingkatan 5, segala persekitaran yang dipenuhi gelak ketawa mula bertukar kepada era yang agak menakutkan bagi semua pelajar. Termasuk sepasang kembar bernama Rheyana dan Hayra yang terkenal dengan kepandaian mereka dalam pelajaran. Anak harapan katakan, terpaksalah mereka berhempas pulas mempertahankan keputusan yang kadang-kadang ada naik turun.
Penat? Penat lagi menadah telinga mendengar bebelan mama dan ayah.
Bagi Rheyana, belajar mana pernah senang. Dia tahu sakitnya erti kebodohan. Bukan omong kosong, tapi sudah banyak contoh yang boleh diambil pengajaran. Bukti yang terdekat tika peperiksaan tahun lepas. Terlalu fokuskan pada topik semasa, sampai dia terlupa ulang kaji yang asas. Memang bukan Rheyana sahaja yang cuai, bahkan hampir satu kelas kecundang pada soalan yang serupa.
Namun apa bezanya Rheyana dengan mereka semua? Buat kesalahan kerana cuai bukankah sama sahaja dengan orang yang tak tahu apa-apa? Begitu juga dengan Hayra, dia percaya bahawa persaingan sentiasa wujud. Tak kiralah di mana, situasi yang seperti apa, semua manusia sanggup bersaing untuk menjaga kepentingan mereka. Ditempatkan sekelas dengan murid berlainan bangsa tahun menyedarkannya untuk keluar dari zon selesa.
Sesi persekolahan dibuka tirainya dengan banyak aktiviti di dalam dan luar kelas. Namun tiada satu pun yang menarik perhatian gadis 17 tahun itu. Bosan. Seolah aktiviti yang dirancang khusus untuk murid yang baru masuk alam persekolahan. Macam budak darjah satu je main lukis-lukis. Apa kejadahnya penat bermain dengan warna akhirnya dihabuan dengan satu paket Kitkat je?
Rheyana lega kerana dia tak buat bersungguh-sungguh ketika disuruh melukis tadi. Satu habuk persediaan pun tak dibuat dari rumah. Orang lain sibuk menjaja contoh lukisan yang dicetak dari Internet, siap ada yang datang dengan lukisan penuh lagi. Bukan malas tapi sudah tak berbakat, takkan nak paksa pula sehingga mampu lukis secantik pelukis profesional?
Sebaris perkataan yang tertera pada iklan nipis ditenung penuh fokus. 'Memori', tema lukisan yang ditetapkan. Lama Rheyana menggaru kepala sebelum melangkah tak bermaya ke mejanya semula. Betul-betul di tepi pintu bahagian tengah kelas.
Malam semalam, Rheyana sudah berkira-kira untuk duduk semeja dengan Hayra. Senang buka meja dan berbincang kerana mereka memang sekepala, sehati dan sejiwa. Ceh.. Proses mengenali kawan baharu bukanlah mudah. Lagipun kalau dia mempunyai sebarang masalah, dia boleh luahkan pada Hayra bila- bila masa. Namun entah kenapa tahun ini guru kelas mereka menetapkan peraturan baharu, pasangan berlainan bangsa untuk setiap meja. Mungkin mahu mengelakkan kami saling berpuak dan buat hal masing-masing.
"Awak tengah lukis apa, Eunice? Dari tadi saya tengok awak lukis mata tak siap-siap." Rheyana memanjangkan leher untuk mengintai perubahan lukisan rakan semejanya. Nak tengok banyak tak yang gadis genit bertocang kuda itu berjaya siapkan sejak setengah jam ini.
Eunice menggeleng. Dia berundur ke belakang, memberi ruang kepada untuk menjadi penyiasat tak berbayar buat seketika.
"Tinggal sedikit je lagi. Kejap lagi baru saya mula warna,"jawab Eunice bersahaja lalu mencapai pengasah pensel di poket beg. Dipusing-pusing mata pensel ke dalam ruang kosong pengasah sehingga tajam.
"Gambar pakwe ke? Tu ada gambar lelaki!"
Lengan Eunice yang berlapik baju pinafore ditepuk oleh Adlya perlahan. Namun cukup kuat untuk membuatkan pensel warna biru yang dipegang Eunice terpelanting jatuh ke lantai dek terkejut. Hasilnya, satu garisan tak ubah seperti ular kena palu terbentuk cantik pada permukaan kertas.
