"Perempuan bila kau kata puji cantik, sekejap sahaja dia akan lupa. Sebab dia anggap kau hanya ambil hati dia. Tapi bila kau kutuk dia buruk, sampai mati dia akan ingat."
- Along
**********
Butir-butir peluh mula merenik deras pada dahi Hayra. Kaki sofa yang menindih hujung karpet bulu diangkat beberapa darjah. Pantas tangan meraba-raba bawah karpet dengan penyapu lidi untuk mengeluarkan habuk-habuk yang tersembunyi. Dia mengelap hidung dengan tisu yang tak berhenti merembeskan cecair kuning hijau. Sejak malam semalam dia bersin namun badannya tak menunjukkan tanda-tanda yang dia demam. Padahal dia dah berpantang daripada minum air sejuk atau berais sejak dia mengalami apendiks. Suka sangat makan ais dengan ramen carbonara setiap minggu, mana taknya hospital kata mari.
Seperti inilah rutin harian setiap hari Jumaat. Mereka semua sudah dibahagikan tugas masing-masing mengikut kawasan rumah. Hayra ditugaskan untuk menyapu ruang dalam rumah dan mop lantai. Ada kalanya dia akan memasak sarapan kalau tiada kelas tambahan. Bidai langsir ditarik talinya ke atas. Cahaya yang berlumba-lumba menyuluh masuk telah menerangkan ruang tamu pada waktu pagi walaupun tak dibuka lampu. Dari kejauhan, dia nampak Rheyana sedang menyapu dedaun kering yang gugur ke tanah. Bucida Molineti atau dikenali sebagai pokok doa yang seakan-akan bentuk payung terbalik itu begitu lebat mengugurkan daunnya. Tengok nanti dia tebang je pokok-pokok itu.
Setelah mengemas biliknya dan Rheyana, dia menuju ke bilik along yang bertentangan sahaja. Pintu diketuk-ketuk beberapa kali, sebagai langkah pertama menjadi pelawat yang beradab. Itupun selagi dia mempunyai tahap kesabaran yang tinggi untuk menunggu along membuka pintu. Namun masih tiada sahutan dari dalam. Bila dipulas tombol pintunya, tak berkunci pula.
"Aku masuk tau. Jangan salahkan aku kalau kau bangun, muka kau dah cantik kena solek dengan aku." Hayra siap-siap memberi amaran sebelum melangkah masuk. Tidur mati ke mamat ini?
"Along, kau memang tak reti nak bangun ke? Dah tua-tua pun orang nak kejutkan,"jerit Hayra nyaring pada gegendang telinga kiri along yang sedap tidur di katil walhal matahari sudah naik. Tebal betul tahi telinga along sehingga dia langsung tak berkutik.
"Panasnya bilik. Sebab kaulah ni. Angin penghawa dingin pun dah tak rasa sangat,"rungut along sambil mengipas-ngipas selimutnya dan dia kembali ke alam mimpi.
"Pandailah kau punya angin. Itulah konsep keseimbangan terma masa tingkatan 4 pun kau dah lupa. Penghawa dingin dicipta untuk menyerap haba panas di dalam bilik. Lepas tu, dia akan keluarkan haba ke persekitaran dengan bantuan kipas. Eh, tidur pulak along ni!"
Hampir mengalah Hayra hendak mengejutkan seorang manusia yang bakal memasuki usia 24 tahun dua bulan lagi. Makin digoncang tubuhya, makin nyenyak tidurnya persis bayi baru lahir. Malah dengkuran along semakin kuat kedengaran setelah beberapa kali cubaan menarik selimut supaya tak terus menyelubunginya daripada kedinginan pagi.
"Takyah kacau aku tidurlah, rose. Malam tadi aku tidur lambat tahu tak?" Selimut ditarik kembali membaluti separuh badan yang hanya berkain pelekat. Adiknya tak nampak ke yang dia letih sangat sekarang?
Hayra bercekak pinggang dengan penyapu lidi. "Rose mana kau ni? Cubalah tolong sidai baju kat luar ke. Takpun tolong ayah bancuh racun rumput. Kasihan ayah terbongkok-bongkok bawa tong besar tu."
Dengusan lelah dilepaskan lelaki itu. Rambut diraup kasar ke belakang dengan rahang bergerak-gerak. Panas hati dirinya dipaksa bangun dalam keadaan dia masih mamai. Memang tipikal perempuan suka berleter tak henti-henti ye?