"Dia tak ubah seperti tak ubah seperti bunga ros yang berduri. Luarannya sahaja dilihat mampu menyakitkan sesiapa yang menyentuh, tapi dalamnya begitu rapuh. Mudah sekali layu dan gugur daunnya."
- Arman
**********
Peti ais yang berpintu dua dibuka. Mengambil beberapa biji telur ayam daripada rak kaca mini. Tak lupa juga botol mayonis yang hampir tamat tempoh. Sejak belakangan ini, dia jarang memasak kerana sibuk dengan aktiviti kokurikulum yang menuntutnya untuk berada di sekolah sehingga jam 4 petang. Kawad kaki jelah yang mampu. Tengok je muka dia, ada ke rupa budak sukan? Asalkan dapat tambah markah PAJSK pun dah bersyukur.
Hayra berjalan menuju ke arah rak troli berwarna hitam. Sempit laluannya akibat terhalang dengan meja panjang di tepi. Tak lain tak bukan mesti kerja mamanya. Kalau dia tak silap, bulan lepas mama baru mengubah kedudukan meja itu di sebelah peti ais. Dan macam mana boleh bergerak ke sini pulak? Mama memang tak ada rasa penat ke, ada je otak bergeliganya mengorek idea untuk alihkan barang supaya tak terlihat begitu bosan.
Roti putih Gardenia diambil beberapa keping. Kegemaran Hayra kot! Lagi-lagi yang perisa Butterscotch, masih boleh diterima tekak walaupun dimakan kosong tanpa jem. Periuk sederhana besar yang berisi air paip ditempatkan pada dapur gas. Api dapur dinyalakan sejurus menenggelamkan telur ke dalam air. Hari ini dia hendak membuat sandwich telur untuk snek petang. Sementara menunggu telur sepenuhnya masak, dia mengeluarkan telefon dari poket dan aplikasi Telegram ditekan.
Menekan satu kotak mesej yang sudah berjumlah lebih 100 hantaran. Digunakan oleh AJK swafoto untuk menghantar foto-foto yang ditangkap setiap kali majlis berlangsung. Mana memori telefonnya tak penuh! Kalau ada mukanya tak mengapalah juga. Satu fail dalam bentuk Google Drive ditekan. Sesaat mata dihidangkan berpuluh-puluh foto seseorang yang begitu dikenali. Ini kan semasa Rheyana memberi ceramah singkat berkaitan kesihatan mental terhadap prestasi diri. Perlu diakui kakaknya semakin terkenal dalam kalangan junior selepas muncul banyak kali di depan.
Terselit cemburu di celah-celah rasa bangga terhadap kejayaan kakaknya. Adakah dia adik yang teruk? Sesungguhnya dia tak mampu membuang rasa jengkel setiap kali melihat murid-murid lain mula menempel dekat dengan Rheyana. Sibuk pula nak jadi adik angkat Rheyana! Hei, aku ni siapa kat sebelah dia? Tunggul yang boleh berjalan?
"Bau apa ni? Macam sedap je."
Tudung saji diangkat. Aroma ikan keli masak lemak cili padi menusuk ke rongga hidung. Bersinar-sinar mata Hayra tatkala mengalihkan pinggan oren yang menindih dia atasnya. Dia terharu kerana mama masih ingat akan janjinya untuk memasakkan lauk itu sebaik sahaja wanita berumur empat puluhan itu pulang dari kursus. Sudah lama dia mengidam, baru hari ni keinginannya termakbul untuk merasai air tangan mama.
Aplikasi Whatsapp dibuka. Mencari peti mesej mama, biarpun dia boleh je jumpa secara depan-depan di bilik tidur utama.
Hayra
Terima kasih tau sebab masakkan lauk kesukaan Hayra. Sayang mama ketat-ketat!
Ting! Satu mesej masuk.
Mama
Ikan keli? Ohh, pagi tadi ayah kamu kata dia dah lama tak makan lauk tu. Itu yang mama terus masak bila balik tadi.
Senyumannya beransur-ansur pudar. Balasan mama dibiarkan tak berjawab. Tekaannya meleset jauh, sememangnya lauk ini bukan dimasak khas untuknya. Tak mampu digambarkan rasa kecewa hatinya. Tapi salah dia juga kerana menanam harapan yang terlalu tinggi.
