"Itu sebabnya Tuhan tiupkan rasa tak pernah cukup dalam diri hamba. Tanyalah semua orang, takkan ada seorang yang akan berpuas hati dengan apa yang mereka punya. Tak apa, itu sifat semula jadi seorang manusia. Cuma yang membezakan antara satu manusia dengan manusia yang lain adalah pada hatinya. Bagaimana hatinya berfikir untuk mencari jalan keluar daripada belenggu sifat-sifat buruk yang boleh menggugat imannya. Bagaimana hati menggerakkan fungsi kaki dan tangan untuk beribadat kepada Allah. Itu semua bergantung pada hati."
-Rheyana Arman
**********
Akhirnya sampai juga ke tingkat tiga. Kasut sarung cepat dilepaskan dari kaki lalu disusun teratur pada rak besi. Pintu yang menunjukkan tanda-tanda hampir tercabut dari landasannya ditolak kasar. Suis-suis diketik. Sesaat, perpustakaan seluas kantin sekolah itu bertukar terang-benderang disimbahi cahaya lampu. Besar-besar jugak, mereka yang berjumlah lebih kurang 45 orang pun tak larat mengemas. Belum masuk stor dan bilik tayang, alamatnya setahun sekali je dikemas ketika gotong-royong.
Kaunter sirkulasi dihampiri. Tangkas Rheyana menurunkan tandatangan pada bahagian 'disemak oleh' bersebelahan tandatangan ketua harian. Muka surat yang tercatat kehadiran bulanan diselak untuk memgenal pasti pengawas pusat sumber yang bertugas atau sebaliknya. Karang budak-budak ini bukan boleh dipercayai sangat, ada je yang pandai mengelat, padahal tak bertugas pun.
"Pahal panas sangat perpustakaan ni?"
Tudung dikipas-kipas membiarkan angin kipas menyejukkan badan. Leher pun jadilah. Bila terpandang ke dinding, terlupa yang dia belum pasang pendingin hawa lagi. Cepat-cepat ditekan punat ketiga-tiga buah objek kuboid itu. Dia hanya tersenyum manis apabila tempat itu mula mendapat kunjungan beberapa murid menengah atas.
Masalahnya naib pengerusinya masih tak memunculkan diri. Datang pun sekali-sekala. Bila dapat tahu cikgu pusat sumber naik ke atas, barulah terhegeh-hegeh tunjuk muka tak bersalahnya. Kalau bukan disebabkan amanah yang perlu dipikul, dia pun nak lepas tangan. Sabar Rheyana, lagi berapa bulan kau akan bebas selepas lepaskan semua tanggungjawab pada pemgerusi tahun depan.
Rheyana nampak pintu terbuka. Kelihatan Hayra dan di sebelahnya, Eunice yang sedang melenggang kangkung menjinjing botol air besarnya. Selamba gadis Cina itu menarik kerusi dari bawah meja setelah meletakkan botolnya di sisinya.
Bulat mata Rheyana.
"Eunice, kenapa bawa botol air ke dalam? Pergi letak luar sekarang," tegur Rheyana lembut. Tak kiralah kawan rapat atau tak, semua orang dilayan sama rata tanpa pilih kasih.
Tersedar dengan kealpaannya, Eunice bergegas ke luar seperti yang diarahkan. Segan dipandang murid di sekitarnya yang sedang belajar. Tak tahu nak gelak ke apa, tapi dia pasti akan terlupa akan peraturan yang satu itu walaupun sudah lima tahun bersekolah di situ.
"Yana, kertas ganti dah habis. Aku nak tulis kat mana?"soal Hayra sambil menunjukkan isi kotak yang telah kosong. Oleh sebab dia ahli jawatankuasa keceriaan, jadi semalam dia pergi membantu cik May menghias papan kenyataan kelas pada waktu rehat. Keningnya bertaut, bukan ke Rheyana dah fotostat banyak salinan semalam?
Rheyana menepuk dahi. "Adoi, aku dah letak siap-siap kat meja semalam tapi aku lupa nak bawak."
"Banyak fikir kau ni. Tak apa, aku tulis je kat ruang kosong ni." Hayra pasrah, kembarnya pun boleh tahan makan semut. Memo kecil diambil lalu ditulis segala mak nenek maklumat bermula daripada tarikh gantian sehingga tugas yang dilakukan ditulis. Eh, macam cakap dengan cermin je?