BAB 9

15 0 0
                                    

"Aku tak tahu kau manusia atau apa? Kau tanya kenapa aku berubah, sedangkan kau tak sedar yang kau punca aku bertukar sehingga begini. Manusia ada dua sebab dia bertukar sikap. Sama ada diri sendiri ataupun manusia toksik di sekelilingnya. Dan hari ni baru aku tahu yang aku berubah disebabkan manusia yang bermuka dua."

- Rheyana Arman


***********


"Ni buku kau ke, Natalia?" Rheyana terkejut besar. Sebuah buku nota mini yang tertindih di bawah bekas pensel ditarik keluar dan ditunjuk pada Natalia.

Natalia yang sedang leka bergelak ketawa dengan rakannya tersentak. Dia menoleh. "Nak apa?"tanya Natalia sambil menggulungkan hujung rambutnya.

Kaki dihentak ke lantai. Geram dia bukan kepalang sekarang. Jangan sampai meja plastik ini terbalik angkara tangannya pula. Nasib banyak rakan sekelas lain sudah pulang dan ada yang sudah turun ke tingkat bawah.

"Mana kau dapat jawapan ni?"

"Jadi?" Natalia mendengus kasar. Dia tak gemar betul sikap Rheyana yang suka menyibuk tepi kain orang.

"Jadi kau tanya? Kau sedar tak apa kau buat? Soalan dalam buku ni sama dengan soalan dalam peperiksaan."

"Aa.. soalan tu aku ambil dari buku latihan kakak aku. Sebab tu sebelum peperiksaan, aku ada bincang dengan Laura." Natalia bermain tarik tali. "Aku pilih soalan secara rawak. Tak sangka pula soalan tu keluar."

Ternganga luas mulut Rheyana mendengarnya. Natalia masih nekad untuk menegakkan benang yang basah walaupun sudah terang-terang jelas yang Natalia sudah memperoleh soalan bocor terlebih dahulu.

"Kau ingat aku ni kanak-kanak? Senang kena tipu? Senang kena perdaya dengan mudah?"provok Rheyana sambil mencebik bibir. Senang benar Natalia memberikan alasan kali ini. Muak berhadapan dengan orang seperti ini.

Natalia meliarkan mata ke sekeliling, melihat keadaan sekeliling. Tangan diseluk ke dalam poket seluar sukan. Selamba dia duduk di kerusi tanpa mengendahkan renungan tajam Rheyana kepadanya.

"Aku tak cakap apa-apa. Kau yang cakap sendiri."

"Serius sikit boleh tak? Aku sakit hatilah dengan kau ni." Rahang bergerak-gerak menahan geram. Hampir sahaja dia mengangkat tangan untuk melayangkan sebiji penumbuk ke muka Natalia yang sedang mentertawakannya.

Dia tengah buat lawak ke?!

"Aku seriuslah ni. Ada kaitan ke soalan ni dengan kau?" Natalia senyum senget lalu menyilang dua kakinya. "Cikgu tuisyen aku yang bagi. Lagipun aku dah suruh Hayra bagitahu kau apa yang keluar,"kata Natalia sengaja mencucuk jarum secara halus. Pasti

"Bila masa? Hayra kata dia tak bercakap dengan kau pun."

"Tak ada ke?"

"Yelah!" Rheyana menyinsing lengan baju hingga ke siku. "Sebiji soalan dalam buku ni. Sekurang-kurangnya kalau kau pilih soalan yang cikgu tuisyen beri, akan ada soalan yang tak masuk dalam peperiksaan kalau ikut logik. Ini masalahnya betul-betul sama!"

"Aku pun tak tahu keluar. Cikgu aku kan gubal soalan Matematik Tambahan untuk daerah. Aku cuma baca jelah apa yang dia beri. Aku ingat nak beritahu kau tapi aku nampak kau tengah sibuk ajar Eunice. Jadi aku malas nak ganggu." Natalia beralasan lagi. Dia mula menconteng sehelai kertas kajang yang tak digunakan tadi. Air liur diteguk takut-takut. Bimbang tembelangnya yang tersimpan kemas pecah.

AduwwanWhere stories live. Discover now