"Belajar konsisten? Mudah, perbaiki solat kau."
-Hayra Arman
***********
"Rose, bila gotong-royong kau habis?"
Hayra menoleh ke belakang. Cermin kereta yang diturunkan setengah membolehkan dia nampak pemandunya di dalam. Lelaki itu menolak kaca mata hitam pada batang hidungnya dan menyengetkan badan supaya lebih dekat dengan cermin yang terbuka.
"Dalam pukul 12.30 lebih kurang. Kena tunggu Yana kunci pintu." Rheyana yang sedang mengorek isi begnya untuk mencari kunci perpustakaan dipandang. Kasihan tengok kembarnya turun naik dari tingkat 4 setiap hari. Sebab itulah dia akan bergilir-gilir dengan naib pengerusinya untuk menutup perpustakaan pada waktu petang.
"Jangan lupa makan. Eh, kau tertinggal makanan kau, sunbear,"beritahu along apabila menyedari satu plastik berisi 5 ketul karipap di tempat duduk penumpang. Tangan Rheyana yang penuh dengan barang cepat-cepat menyambut huluran itu.
"Terima kasih, along. Aku dahlah belum sarapan lagi,"omel Rheyana sambil mencemberutkan muka. Nyenyak sangat dia tidur sehingga terlajak waktu bangun. Nasib dia datang bulan, jadi dia tak perlu qada' solat subuh. Oat yang dibancuh oleh Hayra untuknya pun tak bersentuh.
"Kenapa kau pakai topeng muka, rose? Muka kau dah berminyak, lagi banyak jerawat tumbuh kalau tertutup macam tu."
Terkunci mulut Hayra. Sejujurnya dia malu dengan pandangan murid lain. Apa yang mereka akan kata jika melihat muka buruknya yang selama ini berlindung di sebalik topeng muka?
"Er.. tak apalah." Suara Hayra kedengaran seperti tak selesa. Dia tahu along berniat baik, tapi dia Cuma tak mahu soal peribadinya ditegur.
"Along jangan lupa pula tapaukan ramen dari Family Mart. Kau asyik lupa je."
"Yelah, aku memang rancang nak singgah. Dari hari tu kau duk ulang benda yang sama." Faham-faham jelah kalau Rheyana dah buat muka merajuk. Karang tak diikut, mahu sampai ke bulan depan dia tuntut. Adiknya yang seorang ini memang keras kepala sedikit. Dia mahu A, maksudnya A lah.
"Yana! Hayra!"
Laungan nyaring seorang perempuan yang agak biasa pada pendengaran membuatkan Rheyana dan Hayra berpaling muka serentak. Rambut Eunice yang ditocang tinggi bergerak ke kiri dan ke kanan ketika berlari-lari anak aluan mereka.
"Rose, sunbear, aku gerak dulu. Kalau ada apa-apa, telefon aku,"pamit along sebelum menekan hon sebanyak dua kali. Bunyi enjin kereta yang menyalak bingit mengiringi pemergian kereta Axia milik along ke luar kawasan sekolah.
Bahu kedua-dua kembar itu didakap dengan tangan. "Siapa tu? Abang awak ke?"
Hayra tergelak besar melihat Eunice yang tersenyum-senyum seorang diri. Mulalah perangai ulat bulu Eunice keluar. Mentang-mentang along mempunyai kacukan keturunan cina daripada moyang belah mama, Eunice boleh tersangkut hati begitu mudah.
"Kenapa, lawak ke soalan saya?" Eunice menggaru keningnya.
"Tak lawak. Cuma awak akan jadi kakak ipar kami berdua. Ish.. tak naklah sebaya. Nanti kena panggil awak kakak,"seloroh Hayra merasakan keadaan akan menjadi canggung apabila Eunice benar-benar berkahwin dengan abangnya. Tapi tak mungkinlah, tak semua ibu bapa berfikiran terbuka dengan perihal cinta dua agama.
"Aah, rasa macam tua pulak."
"Lepas tu, awak kena tukar agama dulu,"jawab Rheyana yang tadinya hanya berdiam diri. "Bukan sahaja prosedur sebelum nikah perlu ditempuhi, malahan pasangan yang berlainan agama ini perlu berfikir masak-masak tentang masa depan mereka. Bukan senang. Kecualilah pihak yang bukan beragama Islam memang dari awal bergelar mualaf. Sudah mengenali dan mendalami Islam, bukannya mengucap kalimah syahadah semata-mata atas dasar cinta. Kebanyakan pasangan zaman sekarang sebegitu. Kalaulah satu hari mereka bercerai, anak yang dilahirkan pasti dalam untuk memilih agama yang patut dianuti."