Ting! Ting!
Bunyi loceng yang hadir dari pintu bengkel membuatkan Nicholas menoleh ke pintu. Kerjanya dibiarkan seketika. Dia lantas bangun dan bergerak ke kaunter hadapan sambil mengesat tangannya pada apron yang dipakai.
Hari ini merupakan hari yang serba tenang, semua yang dipelan berjalan dengan lancar. Hatinya turut berasa tenang dan damai. Setelah kembali ke Kota Flightwest, tiada kekecohan yang berlaku lagi. Dia juga tidak perlu memikirkan pelbagai perkara mengenai The Protectors.
Dan dia berdoa, agar insan yang hadir ke bengkelnya bakal membawa tuah untuknya hari ini.
Elok sahaja dia menyelak langsir untuk ke bahagian hadapan bengkel, terpaparnya dua wajah yang amat dia kenali.
Raeya Leotric.
Helena Merlyn. Turut dikenali sebagai Ny.
Dua remaja itu sedang tersengih padanya sehingga menampakkan gigi. Entah apa yang berada di fikiran mereka berdua, Nicholas terasa merinding kerana tidak dapat membaca fikiran mereka. Sejak-sejak Ny bersama Raeya, gadis itu mula menunjukkan perangai sebenarnya.
Nakal. Seperti Raeya.
Keras kepala. Seperti Raeya.
Panjang akal. Seperti Raeya.
Atau pun sebenarnya... Gadis itu telah dipengaruhi jejaka itu?
"Ha, ada apa datang sini? Sikit-sikit muka kau orang je." Tegur Nicholas, berdiri di belakang kaunter.
Raeya dan Ny memandang satu sama lain. Kemudian, Raeya berjalan terlebih dahulu sehinggalah dia betul-betul di hadapan kaunter. "Datuk, kami datang sini ada hajat." Katanya berbasa-basi.
Nicholas menjongketkan kening sebelah. "Biasanya, kalau kamu datang sini dengan hajat, ending dia mesti tidak baik." Tegasnya, berpeluk tubuh. "Tengoklah apa jadi sebelum ni. Hanya kerana sehelai pelepah emas." Ayat terakhir itu disebutnya satu-persatu bersama jari telunjuk yang dilayang-layangkan.
"Tapi datuk, kali ini kami mahu beli senjata saja." Ny berkata sambil menunjukkan wajah comel. "Sudah jelas lagi bersuluh yang senjata kami sangat tidak sesuai untuk digunakan sewaktu medan peperangan. Errr, kecuali saya, saya guna busur panah."
Wajah dua remaja itu dipandang Nicholas silih berganti. "Bayarannya?"
"Pelepah Emas kamilah!" Balas Raeya riang seperti perkara itu tidak salah.
"Banyaklah kau!" Marah Nicholas dengan nada tinggi. "Aku tak akan terima apa-apa dalam bentuk selain wang kita."
"Alah...." Ny dan Raeya merengek serentak.
"Keluar sekarang!"
☆:::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::☆
Pintu kayu Kota Aveast dibuka untuk pengembara yang hadir bagi menjelajahnya. Raeya dan Ny bersemangat melangkah, kini tujuan mereka adalah untuk ke kedai makan Aveast yakni sebuah tavern, tempat Catrain dan Melaine bekerja.
Sebaik sahaja mereka membuka pintu kedai makan tersebut, gegendang mereka dihidang dengan alunan suara Melaine yang lunak. Bau juadah yang enak turut menerpa hidung. Dari jauh, mereka dapat lihat Catrain yang sibuk ke hulu ke hilir bagi melayan pelanggan yang datang.
"Hey, lama tak jumpa!" Tegur Catrain apabila matanya terpandangkan Raeya dan Ny yang tercegat di pintu. "Lord Raeya, Lady Helena." Tegurnya penuh hormat.
YOU ARE READING
Pelepah Emas
FantasyNoctu Aviary, terbahagi kepada empat kota utama. Kota Flightwest, Kota Northwing, Kota Aveast dan Kota Feasouther. Penghuninya bukan biasa-biasa, mereka mengamalkan teras alchemy yang berbeza-beza. Apa yang istimewanya tentang dunia ini adalah setia...