1

141 19 5
                                    

" Mama! "

Suasana tenang pagi di rumah banglo itu berubah serta-merta tatkala satu suara menjerit kuat.  Suapan nasi goreng kampung yang masih berasap di hadapan muka tidak jadi masuk ke dalam mulut. Mata tadi hanya terbayangkan keenakkan masakan itu kini terbeliak besar. Tajam mata aku memerhati reaksi mama yang sudah mengurut dada, terkejut dek kerana suara kuat tadi. Ya, suara itu milik aku!

" Astaghfirullah al-azim! Dian! Kamu dah kenapa? Terjerit macam ni depan rezeki? "

Mata mama mencerlung tajam ke arah aku, sakit hati agaknya. Aku kekal tayang wajah masam mencuka, tidak suka dengan apa yang aku baru dengar tadi. Sudu kembali diletakkan atas pinggan. Tiada selera tiba-tiba, " Ma, kenapa Dian pula kena jaga anak Aunty Hana tu? Cari sajalah babysitter. Kenapa Dian? "

Sebaik saja aku tiba di meja makan dan duduk menghadap sarapan, mama tiba-tiba umumkan perkara itu tadi. Disuruh jadi babysitter? Jaga diri sendiri pun aku fail, tau tak? Aku baru je balik dari universiti, sudah penat memerah otak jawab soalan exam. Baru nak berhora-horay dan bercuti tanpa fikir pasal buku, tiba-tiba jadi begini pula. Mama kekal dengan wajah tenang di hadapan aku, menuang teh panas ke dalam cawan sambil mulutnya menerang.

" Dian tak ingat ke mama ada bagitahu kami berdua pergi holiday bulan ni? "

" Ingat, ma. "

Perlahan saja aku menjawab. Terkuis-kuis nasi dalam pinggan, tidak jadi mahu bersuara lagi. Aku masih ingat, sebulan lepas mama beritahu dirinya mahu ikut Aunty Hana ke Bali bulan ini. Aunty Hana uruskan syarikat pelancongan. Jadi, tidak hairan lah kalau dia selalu tiada di rumah. Mama pula, memang hantu berjalan. Aku sibuk di universiti, mama pula melekat saja dengan Aunty Hana. Lepas bercerai dengan papa, hanya aku yang ada buat mama. Satu-satunya ahli keluarga mama kini. Bila aku tiada di rumah, pasti Aunty Hana yang dicari buat teman berbual.

" Hana bagitahu mama dia nak cari babysitter untuk anak bongsu dia. Anak sulung dia busy, jarang ada di rumah. Mama pun cadanglah Dian. Dian pun tengah cuti semester sekarang ni, kan? Apa salahnya? Tidaklah memerap dekat rumah. "

Aku menggeleng laju, masih membantah cadangan karut mama, " Dian jaga diri sendiri pun tak terurus lagi. Nak jaga anak dia? Hancur nanti, ma. " Aku tahu Aunty Hana ada dua orang anak. Namun, aku tidak pernah bertembung dengan anak sulung wanita itu. Hanya 2-3 kali saja aku berjumpa anak bongsu dia yang baru berumur 7 tahun, si Helena. Itu pun sombong nak mampus! Aku senyum, boleh pula dia menjelir lidah pada aku. Hesy!

" Bila lagi nak practice jaga anak? Masa ni lah. Nanti dah ada anak sendiri tidaklah kekok! "

Mujur aku tidak minum atau kunyah apa-apa ketika ini. Perit air liur ditelan. Anak? Jauh sangat mama ni fikir. Umur aku baru 23 tahun, dia dah beria sebut pasal anak. Entahlah. Mungkin mama sunyi. Tiada sesiapa di rumah. Mengharapkan aku ini. Masih berbaki 2 semester sebelum aku graduate. Namun, bayang lelaki yang bakal berdamping dengan aku ini masih samar-samar lagi. Bukan! Gelap gelita, tiada harapan.

" Lepas makan ni, pergi jumpa Hana. Cakap pada dia yang Dian nak jadi babysitter untuk Helena sebulan ni. "

Bila mama dah cakap begitu, siapalah aku ini mahu ingkar. Mama macam berharap sangat aku dapat jaga anak best friend forever till jannah dia itu ketika dia dan Aunty Hana sibuk melancong!

____________________________________

hers.Where stories live. Discover now