Bab7

93 1 0
                                    

KELUAR dari bilik air, anak mata Dinda terus terpasak pada Zaqrul yang sedang menyandar di kepala katil. Sambil keringkan rambut, Dinda terus merenung seraut wajah itu. Timbul gusar si sudut hatinya. Akhir-akhir ini dia nampak Zaqrul asyik betul dengan handphone. Balik kerja, handphone tak lepas-lepas dari tangannya. Ke hulu ke hilir dengan handphone. Dulu Zaqrul bukan macam ni. Siap boleh tinggal lagi handphone tu. Tapi Zaqrul yang depan Dinda sekarang ni, serius Dinda boleh rasa lelaki ini berbeza dengan sebelumnya.

"Abang," Dinda seru perlahan. Senyap. Tiada sebarang sahutan.

Zaqrul nampak asyik betul. Jemari nampak ligat menaip. Buatkan Dinda jadi teruja ingin melihat paparan pada skrin handphone lelaki itu. Nafas Dinda berombak, berperang dengan perasaan sendiri yang mula terganggu. Dia yakin ada sesuatu yang sedang berlaku ketika ini. Kuat sangat naluri hatinya mengatakan begitu. Siap berpakaian, Dinda mendekati katil. Punggung dilabuh sebelah Zaqrul.

"Abang cakap tadi nak buang air besar? Bukan main lagi suruh Dinda cepat keluar. Tak jadi ke?"Zaqrul langut.
Terkejut ditegur Dinda. Lekas dia simpan telefon dalam poket seluarnya bila tersedar cik isteri sudah berada di sebelah.

"Eh, sayang dah siap?"

"Amboi asyik betul abang dengan handphone tu. Sampai tak perasan Dinda keluar bilik air." Dinda jeling Zaqrul.

Zaqrul bangun dari katil. Dia ambil tuala yang tersangkut di belakang pintu. Langkah terus ditala ke bilik air.Tak lama Zaqrul dalam bilik air. Tahu-tahu lelaki itu sudah siap mandi. Dinda baru nak tarik selimut je. Tidak jadi dia tidur bila melihat Zaqrul yang sudah bersiap. Zaqrul pakai tshirt dan jeans. Tak cukup dengan itu, disemburnya minyak wangi seluruh tubuh sampaikan hidung Dinda dah kembang kempis menghidu wangian itu. Dinda pamer wajah berkerut memandang jarum jam yang tergantung di diding. Lagi lima minit hendak pukul 10.30 malam.

"Abang nak ke mana?"

"Jumpa Fiqri jap. Kat mamak." Dan dan Dinda celapak turun katil.
Tak keruan hatinya tiba-tiba. Lain macam gaya encik suaminya ni. Betul ke jumpa Fiqri? Siap sembur minyak wangi macam mandi lagi dah. Semerbak wangi dalam bilik ni.

"Dinda nak ikut. Boring la asyik duduk sorang di rumah." Zaqrul kerut dahi pandang Dinda yang dah tala langkah ke almari.

"Eh, sayang. Tak payah la ikut. Fiqri ada hal nak bincang berdua dengan abang. Abang jumpa dia kejap je. Sebelum jam 12.00 abang sampai balik." Terhenti gerakan tangan Dinda yang sedang memilih pakaiannya di dalam almari.
Mengecil anak matanya memandang encik suami ketika itu.

"Tak pernah pula sebelum ni Fiqri larang Dinda ikut abang sekali kalau abang jumpa dia." Mula timbul curiga dihati.
Zaqrul seperti selalu, sentiasa pamer riak tenang. Selepas mengenakan jam pada pergelangan tangan kanan, dia mendekati Dinda. Ubun-ubun Dinda dikucup sebelum mahu keluar.

"Minyak wangi apa pulak ni abang pakai? Rasa macam tak pernah lagi abang ada yang bau macam ni." Dinda masih jeling Zaqrul.

Betul, banyak perubahan pada suaminya ketika ini. Dinda yakin sangat ada sesuatu yang dia belum tahu. Zaqrul ambil kunci kereta. Dalam masa yang sama handphone dalam poketnya menjerit.Dinda perhati je tingkah Zaqrul. Handphone tu Zaqrul ambil dari dalam poket. Pandang skrin. Tapi Zaqrul tak jawab. Hanya jemarinya yang bekerja menekan entah button apa entah pada skrin tersebut sebelum handphonenya Zaqrul masukkan ke poket semula. Dinda syak Zaqrul end call dan set silent. Sebab lepas tu handphone Zaqrul terus sepi.

"Kenapa abang tak jawab call?"

"Fiqri tu. Tak menyabar mamat tu sorang. Biarlah dia tunggu." Zaqrul terus keluar bilik.
Dinda mengekori dari belakang. Kalau ikut hati Dinda yang tengah meluap marah masa ni, dia memang nak berkeras ikut juga Zaqrul keluar. Bukan sengaja Dinda tak percayakan Zaqrul, sebelum ni dia okay je. Tapi kali ni,resah hati dia lain sangat.

"Abang ni betul ke jumpa Fiqri? Jangan-jangan skandal?"
Zaqrul yang baru nak masuk ke perut kereta bingkas menoleh pada Dinda yang berdiri di muka pintu. Dia senyum senyum kecil seraya menggeleng. Nafas dihela.

"Sayang tahu tak, skandal abang, sayang je la sorang." Dinda juih bibir.
Eleh, cakap je. Entah-entah sekadar buat sedap halwa telinga dia je.

"Sayang tak percaya ke?"

"Entah la, abang. Benda tak nampak. Lelaki ni banyak akalnya kalau bab perempuan,bab skandal."

"Sayang ni pengaruh drama tv dengan novel sayang baca tu kuat sangat. Jangan fikir yang bukanbukan la. Dalam hati abang, sayang sorang je tahu." Dinda juling mata ke atas.

Kalau sebelum ni, ayat manis Zaqrul ni paling dia suka. Tapi akhir-akhir ni, Zaqrul memang nampak lain macam. Zaqrul taburlah walau selori ayat bergula pun depan Dinda, tetap tak mampu mengusir galau dihati Dinda. Cuma Dinda belum desak Zaqrul cerita terus-terang dekat dia je.

UNTUK 5 HARI KAU DAN AKUWhere stories live. Discover now