Bab 10

100 0 0
                                    

ZAQRUL mendekati Dinda yang sedang berbaring di sofa panjang di ruang tamu. Semenjak dia luahkan hasrat hati mahu mendirikan rumahtangga buat kali kedua, hingga hari ini sudah seminggu dia dan Dinda bagai orang asing di dalam rumah mereka.Dinda bercakap hanya apabila perlu sahaja. Dinda tidak lagi ramah dan mesra dengannya seperti sebelum ini. Sungguh Zaqrul mula jatuh rindu pada Dinda yang sebelum ini.

"Sayang," Zaqrul duduk di sebelah sofa Dinda.

Pergelangan tangan Dinda cuba diraih. Namun baru sekejap jemarinya menggenggam pergelangan tangan itu, Dinda merentap Terburu-buru Dinda bangun, mahu beredar dari ruang tamu. Zaqrul cekap melelar lengan Dinda. Kali ini pegangannya pada lengan cik isterinya itu diperkemaskan lagi. Menarik tubuh yang nampak kian menyusut itu agar menoleh padanya.

"Dinda..." Dinda membisu. Langsung dia tak sahut.

Sebaliknya anak matanya dilarikan memandang arah lain, mengelak dari bertemu empat mata dengan Zaqrul.

"Jangan mogok dengan abang macam ni. Abang nak jawapan Dinda je. Kalau Dinda tak izinkan, cakap je. Abang..." Hembus keluh panjang.

Ucapan Zaqrul tersangkut seketika. Matanya dipejam rapat. Nampak bayangan senyum Elina dan anak-anaknya yang akhir-akhir ni mengisi ruang sepi hatinya, dia berasa sebak. Namun ketika seraut wajah Dinda pula yang hadir, dia sedar dia tidak boleh mementingkan keingannya sahaja.

"Abang apa?" Dinda menyoal keras. Riak wajahnya juga jelas tegang.

Memandang Zaqrul, Dinda seolah-olah sedang memandang seseorang yang paling dia tidak ingin pandang ketika ini. Pengkhianat! Dulu Zaqrul janji, apa yang terjadi sekalipun, dia akan pelihara cinta mereka. Sekarang ni, apa yang dah jadi?

"Abang akan putuskan hubungan abang dengan dia. Abang akan batalkan rancangan kahwin tu." Polos Zaqrul beri jawapan.
Betul. Itulah yang akan dilakukannya. Biarlah orang cakap dia lelaki pengecut ke, lelaki takut bini ke, hanya dia yang tahu kenapa dia akur pada keputusan Dinda.

"Betul ke akan putuskan?" Provok Dinda bersama cebikan bibir.
Bola matanya dijulingkan ke atas. Dulu, yes dia percaya seratus peratus pada suaminya ini. Namun semenjak ditipu hidup-hidup, sumpah dia rasa macam orang bodoh. Jadinya sekarang, apa je yang keluar dari mulut Zaqrul, dia lebih tak percaya kepada percaya! Zaqrul yang buat dia jadi begini.

"Jangan-jangan janji dibibir je. Diam-diam pergi Siam, kahwin. Dengan Dinda, cakap outstation."Tergores hati Zaqrul dek sinisnya ucapan Dinda.
Namun Zaqrul tidak menyalahkan Dinda. Dinda begini pun, pasti dirinyalah punca utama.
Kerana nafsu dirinya, dia ketepikan hati dan perasaan Dinda.

"Lepaslah." Dinda rentap kasar lengannya dari terus berada dalam genggaman Zaqrul.
Zaqrul hembus keluh berat. Anak rambut yang sedikit terjuntai ke bawah diraup naik.

"Kalau sayang tak percaya cakap abang, jom ikut abang pergi jumpa perempuan tu. Elina namanya. Dinda akan jadi saksi, abang putuskan hubungan dengan dia."
Tawaran Zaqrul disambut Dinda dengan gelak. Dia menggeleng beberapa kali. Tanpa sedar kolam matanya hampir penuh menakung air mata. Sekejap sahaja lagi pasti banjir.

"Sayang pergi bersiap sekarang, ikut abang." Pinta Zaqrul lembut.

Seperti tadi, Dinda masih menggeleng. Putar tubuh membelakangi Zaqrul, beberapa ketika dia memilih membisu.Melihat air muka Zaqrul, dia sedar dia tidak boleh mementingkan diri sendiri. Berkongsi suami dengan perempuan lain, siapalah sanggup. Begitu juga dia. Namun bila mengenang kekurangan dalam diri sendiri, dia mulai sedar tiada gunanya dia menghalang keinginan Zaqrul.

"Abang." Dinda menyeru dalam nada suara bergetar.
Dinda putar tubuh memandang Zaqrul semula. Anak matanya yang berkaca bergerak-gerak mencari sepasang mata Zaqrul.

"Kalau betul abang nak kahwin dengan dia, Dinda izinkan." Lancar,senafas.
Zaqrul terkedu. Melihat pipi Dinda yang mulai basah, Zaqrul nampak sebesar mana pengorbanan Dinda. Dalam tak sedar, hati Zaqrul sebak.

"Dinda izinkan abang kahwin lagi. Mungkin dialah yang layak untuk beri pada abang apa yang Dinda tak pernah mampu beri selama ni. Dinda akan bahagia asalkan abang bahagia."Nampak payah sekali Dinda tuturkan bait-bait kata itu semua.

Sesudahnya Dinda sembamkan wajahnya yang basah ke dada Zaqrul. Kedua belah tangan memeluk Zaqrul erat. Kala merasakan sepasang tangan Zaqrul membalas pelukannya erat, air mata Dinda makin lebat. Selepas ini, bukan selalu Dinda dapat peluk Zaqrul macam ni. Reda tangisan, seka sisa air mata dengan hujung jari, Dinda leraikan pelukan Zaqrul. Wajahnya didongakkan sedikit memandang Zaqrul.

"Ada syarat abang kena penuhi sebelum abang kahwin dengan dia."

"Apa syaratnya sayang?"

"Dinda izinkan abang kahwin lagi. Cuma satu Dinda nak mintak. Dua minggu sebelum abang kahwin, boleh tak abang luangkan masa abang untuk Dinda sepenuhnya tanpa sebarang gangguan. Hanya untuk 5 hari sahaja." Zaqrul kerut dahi mendengar permintaan Dinda.
Ingatkan minta apalah yang dimahukan Dinda.

"Dinda nak masa abang bersama Dinda, selama 5 hari. Masa abang sepenuhnya untuk Dinda. Tak nak sebarang gangguan. Tak kiralah Fiqri ke, perempuan tu ke. Hanya untuk 5 hari je." Dinda ulang lagi ayat tu. Nampak yang Dinda berharap sangat-sangat.

"Boleh ke?" Soal Dinda lagi.

Akhirnya Zaqrul mengangguk. Dia tarik wajah lebih dekat dengannya. Lantas sebuah ciuman dihadiahkan ke ulas bibir Dinda yang separa terbuka.

"Apa saja sayang minta, abang tunaikan." Ucap Zaqrul lagi.Dinda senyum dalam pandangan yang berbalam. 'Andai ini bahagia untukmu duhai suami, aku redha.' Lafaz Dinda dalam hati. Sebak mencengkam perasaannya. Terasa mahu meraung sebenarnya.

UNTUK 5 HARI KAU DAN AKUWhere stories live. Discover now