“Jadi, apa keputusan kamu?”
“Hasya buat keputusan untuk terima offer tu.”
Encik Ehsan mengangguk tanda faham.“Oleh sebab kamu dah buat keputusan macam tu, jadi abah harap kamu pun dapat terima tentang apa yang abah ingin sampaikan kepada kamu.”
Pandangan Hasya jatuh ke atas riba sambil menunggu kata-kata selanjutnya daripada si ayah.“Memandangkan kamu akan tinggal di sini lebih lama lagi, abah nak kamu berkahwin dengan calon pilihan abah.”
Hasya terkedu. Matanya terus memandang ke arah ayahnya. Melihatkan wajah Encik Ehsan yang sedikit pun tidak tercalit dengan sebarang senyuman, maka fahamlah Hasya bahawa Encik Ehsan benar-benar serius dengan apa yang diperkatakannya sebentar tadi.
“Ta… tapi abah, Hasya tak bersedia lagi untuk berkahwin.”
“Kamu dah lebih daripada bersedia, Hasya. Lagipun kamu tinggal di sini seorang diri membuatkan kami berdua selalu risau akan keselamatan kamu. Kamu tu perempuan. Duduk kat negara orang pula tu. Sekurang-kurangnya, kalau kamu berkahwin ada juga yang boleh tolong jagakan kamu.”
Puan Habibah hanya mendiamkan diri. Dia tidak berniat untuk masuk campur hal dua beranak itu. Pada mulanya dia juga tidak bersetuju dengan niat suaminya itu namun apabila difikirkan semula, semua ini demi keselamatan Hasya juga meskipun Hasya mampu untuk berdikari.
Hasya memandang sekilas wajah Puan Habibah yang hanya mengukirkan senyuman kepadanya sambil mengangguk kecil. Hasya mula mengeluh dalam diam.
Dia bukannya tidak mahu berkahwin, tetapi dia sendiri pun sedang dalam fasa merawat hatinya yang telah retak seribu akibat perbuatan Anas. Lagi pula, mahukah lelaki pilihan ayahnya itu menerima dirinya yang tidak seberapa ini?
“Tapi, calon pilihan abah tu nak ke terima Hasya? Hasya ni biasa-biasa aje. Tiada apa yang istimewa pun.”
Apabila masuk bab kahwin, keyakinan Hasya terus jatuh menjunam. Fikirnya, dia ini bukannya gadis pilihan mana-mana lelaki. Sudah namanya lelaki, mestilah tertarik dengan gadis yang bercirikan soft girl sebagaimana Anas tertarik dengan Dina yang lemah lembut itu.
“Tak apa, Hasya. Esok kita bertiga pergi jumpa family diorang. Boleh berkenal-kenalan sebelum kita bincangkan tentang hal perkahwinan kamu berdua dengan lebih lanjut.”
Bulat terus mata Hasya sambil menatap pandangan Encik Ehsan. Tak sangka abahnya sudah bertindak sejauh ini. Ingatkan sekadar kata-kata di mulut sahaja.
“Diorang semua ada kat sini?”
Encik Ehsan mengangguk.
“Bakal bapa mertua kamu tu kawan lama abah. Dia pun bekerja kat sini, di pejabat kedutaan Malaysia. Kami dah lama merancang untuk satukan kamu berdua. Tetapi disebabkan kamu terus bekerja lepas tamat belajar, maka rancangan itu terpaksa abah tangguhkan. Tapi abah rasa, mungkin inilah masa yang sesuai untuk teruskan kembali rancangan itu.”
Puan Habibah terus meraih tangan lembut Hasya sambil mengusap tangan tersebut.
“Insya-Allah, mama pun rasa ini yang terbaik untuk Hasya. Lega hati mama kalau ada yang jagakan kamu sepanjang kamu tinggal di sini. Mama dan abah pun tak adalah susah hati memikirkan kamu. Boleh ya, Hasya?”
Satu keluhan bersama senyuman segaris diberikan kepada kedua orang tuanya. Nampaknya, terpaksa jugalah Hasya menerima saja cadangan Encik Ehsan itu.
Nak membantah? Dia sendiri tiada alasan yang kukuh untuk tidak menerima cadangan tersebut.
Double triple malang betul, kau ni Hasya.
YOU ARE READING
ANTOLOGI CINTA, MUSIM LURUH - TERBIT
RomanceCinta, Musim Luruh. Menghimpunkan lima cerita pendek daripada lima penulis berbeza namun mempunyai satu tema yang sama iaitu musim luruh. 1) Qaseh Terindah Buat Thaqif oleh nasyanur 2) Fall, in Love oleh snowdream 3) Between You & Me oleh Ema Raima...