“Harees, awak setuju ke dengan cadangan orang tua kita?” soal Hasya sambil memandang ke langit yang sedang dihiasi dengan taburan bintang bergemerlapan.
Harees melihat sekilas wajah Hasya yang sedang ralit memandang ke arah langit. Dia kemudian mendongak sama.
“Why not? Perkahwinan itu perkara yang baik. Tak salah pun kalau aku ikut. Kenapa? Kau masih tak boleh move on dengan ex-boyfriend kau tu ke?”
Hasya terus memutarkan bebola matanya ke atas. Oh, tak sangka Harees masih ingat lagi tentang perkara tersebut. Sudah tentu Harees masih ingat bagaimana wajah buruknya yang beria menangis selepas ditinggalkan oleh Anas. Harapnya Harees faham yang dia menangis bukan kerana sedih tapi kerana marahkan Anas.
“Ah, tak ada maknanya. Dia tak berbaloi pun untuk diratapi. Cumanya, kita berdua tak pernah bercinta. Berbaloi ke untuk kita teruskan perkahwinan macam ni?”
“Bagi aku, cinta itu boleh hadir pada bila-bila masa sahaja, Adira. Lepas kahwin pun boleh. Itu pun bergantung kat kau, kalau kau rasa kau tak boleh move on, kau boleh je beritahu diorang.”
Hasya terdiam sebentar. Sesaat dia menoleh ke sebelah kanan. Serta-merta terkedu sebaik sahaja matanya dihidangkan dengan wajah kacak Harees dari sisi. Namun dia segera berdeham bagi menenangkan rasa gelodak di hati.
“Emm, sejujurnya saya sendiri tak pasti dengan kata hati saya. Saya cuma rasa tak adil untuk awak kalau saya terima perkahwinan ini.”
Terjungkit sebelah kening milik Harees sambil menantikan bicara lanjut daripada gadis itu.
“Lagipun, saya rasa diri saya ni cuma mempergunakan awak untuk lupakan dia. Awak tak rasa ke yang saya ni pentingkan diri?”
“Then, gunakan aku kalau itu yang boleh buat kau lupakan dia. Dia pun dah banyak sakitkan hati kau, tak guna kalau kau kenangkan dia lagi. Lelaki curang macam tu tak layak untuk kau.”
Harees menghela nafas sebentar sebelum menyambung semula bicara.“Walaupun kita berdua bukan pasangan lovey-dovey macam typical pasangan yang bercinta hingga ke jinjang pelamin, tapi aku akan berusaha untuk tidak buat kau rasa tersakiti. Tapi seandainya kau rasa tak mampu untuk teruskan perkahwinan ini, kau beritahu aku. Kita sama-sama cari jalan penyelesaian yang terbaik. Kau pun berhak untuk bahagia, Adira.”
Hasya mengangguk perlahan. Dalam diam, kata-kata Harees telah berjaya mententeramkan hatinya dan membuang tanggapan negatif Hasya pada diri sendiri.
“Thanks, Harees. I will try my best. Tapi boleh tak saya nak tanya awak sesuatu?”
Sekali lagi Harees mengangkat kedua belah keningnya, tanda menyuruh Hasya meneruskan bicaranya.
“Kenapa awak sanggup kahwin dengan saya sedangkan awak tak pernah kenal saya siapa. Kali pertama kita berjumpa pun disebabkan kebetulan saja.”
Harees sempat mengulumkan senyuman sebelum dia bangun dari duduknya dan memutarkan tubuh membelakangkan Hasya.
“Kau pasti itu kali pertama kita berjumpa?”
“Hah? Apa yang awak cakap?” Suara Harees yang agak tenggelam timbul itu menyukarkan Hasya untuk mendengar penuh yang dikatakan oleh lelaki itu.
Ketawa halus meletus daripada mulut Harees. Dia sudah pun berlalu pergi meninggalkan Hasya yang masih terpinga-pinga.
YOU ARE READING
ANTOLOGI CINTA, MUSIM LURUH - TERBIT
RomanceCinta, Musim Luruh. Menghimpunkan lima cerita pendek daripada lima penulis berbeza namun mempunyai satu tema yang sama iaitu musim luruh. 1) Qaseh Terindah Buat Thaqif oleh nasyanur 2) Fall, in Love oleh snowdream 3) Between You & Me oleh Ema Raima...