Buat kamu yang sedang berusaha menjadi versi terbaik dalam mencintai, terima kasih kerana mencinta dengan hati yang penuh usaha, bukan sekadar rasa.
──────✧✿✧──────
JEMARINYA yang halus menggeletar mengkhianati ketenangan wajah. Matanya tidak lepas dari cincin emas nipis itu, saksi bisu kepada segala janji dan harapan. Setiap ukiran kecil pada cincin itu membawa kenangan. Detik lafaz akad yang menggetarkan dada, malam-malam di mana cinta mereka menjadi bahasa yang tidak pernah memerlukan kata.
Setelah beberapa lama, dengan nafas berat, Nufa meletakkan cincin itu di atas meja kopi. Tangannya menyentuh permukaan meja seketika, mahu menitipkan pesanan terakhir kepada kenangan yang ditinggalkan di situ.
Sayf duduk bertentangan dengan Nufa. Tubuhnya tegap namun kehilangan makna. Matanya tidak lari dari memandang wanita yang pernah dia julang sebagai anugerah Ilahi. Dia ingin melangkah, merapat, merayu agar waktu diputar kembali. Namun, kaki bagai terpaku ke lantai dan lidahnya kelu dalam lautan emosi yang tidak terucap.
Mereka berdiri lalu berhadapan untuk terakhir kali sebagai pasangan suami isteri. Hanya pandangan mata yang berbicara, bahasa paling jujur daripada tutur lisan. Dalam pandangan itu, tersembunyi ribuan kenangan dari detik pertama perkenalan hingga saat ini yang penuh dengan kehilangan.
"Abang cintakan Nufa. Sangat-sangat. Macam mana dengan hidup abang tanpa Nufa nanti?" Suara Sayf kedengaran parau.
Nufa terdiam. Dada berombak menahan tangis yang semakin mendesak keluar. Kalau mampu dia menjerit, dia akan menjerit jika itu dapat melawan takdir yang menggoncang hubungan mereka. Namun, hakikat tak pernah tunduk pada kemahuan manusia.
"Kadang cinta pun tak cukup untuk menyelamatkan apa yang dah lama retak," ujarnya lembut dan perlahan.
Sayf tunduk dan diam. Dia tidak mampu menafikan lagi. Dia sendiri lelah, selama ini diheret antara kasih seorang suami dan ketaatan seorang anak. Bertahun dia cuba menjadi pengimbang, cuba menenangkan dua hati yang sangat dia sayangi tapi akhirnya semua runtuh di atas bahu sendiri.
"Mama nak cucu. Dia nak keturunan sebab abang anak tunggal dia. Satu-satunya anak yang dia ada," suara Nufa cukup jelas untuk menghiris. Matanya tidak lagi memandang Sayf, hanya tertunduk ke lantai memandang kaki.
"Saya tahu mama nak abang bahagia. Nak abang ada zuriat sendiri. Waris darah daging. Seorang cucu yang dia boleh dukung dan banggakan tapi saya minta maaf... saya tak mampu bagi semua tu. Saya tak mampu jadi apa yang orang mahukan. Tak mampu jadi perempuan yang sempurna di mata keluarga abang." Nufa menggenggam jari-jemarinya erat.
"Saya dah cuba," sambungnya. "Saya dah habis air mata. Dah cuba segala jenis ubat, doa, rawatan. Setiap kali suntikan, setiap kali lawatan ke klinik, setiap kali keputusan keluar negatif, saya rasa diri saya makin jauh, makin hilang."
Sayf terpaku seperti terpukul dengan kenyataan yang sudah lama dia tahu tetapi menolak untuk terima. Malam itu, kali pertama Sayf benar-benar melihat Nufa berdiri sebagai seorang pejuang yang luka, bukan hanya isteri yang tabah.
"Saya hadap ubat hormon, suntikan yang sakit, pemeriksaan yang memalukan, malah pandangan orang yang sentiasa bertanya bila nak ada anak. Tubuh saya bukan milik saya sepenuhnya lagi. Tapi dah jadi milik harapan orang lain. Harapan mama, harapan abang, harapan keluarga abang tapi bukan saya." Air mata jatuh di pipi Nufa. Mengalir seperti hujan. Tenang. Berat. Membawa luka yang tak kelihatan. Dibiarkan jatuh seperti jatuhnya dia, rebah dalam sunyi yang tidak ada siapa sudi memeluk.

ANDA SEDANG MEMBACA
Takdir Yang Kembali | Editing
RomantizmDua tahun selepas lafaz yang memisahkan mereka sebagai suami isteri, Sayf dan Nufa bertemu semula di kota Alexandria. Bukan secara kebetulan tetapi kerana takdir yang belum selesai ditulis. "Abang tahu abang tak sempurna tapi kalau Allah masih beri...