47

64 4 0
                                    

HARI pertama memulakan tugas baru, cukup kekok buatku. Apatah lagi, tugas itu terlalu asing bagiku. Sudahlah tiada pengetahuan, pengalaman pun tak ada. Haru-biru hidup aku jadinya. 

Bermula dari menjejakkan kaki pagi ini, aku sudah terasa aneh. Lucunya, aku berlagak seperti biasa melangkah dengan penuh selambanya menuju ke jabatan biasaku. Sebaik sahaja waktu kerja bermula, riuh satu pejabat dengan gelak ketawa dan sindiran mengatakan aku mamai. Paling bising pastinya teman debatku, Saiful. Hanya Izhan yang aku lihat kurang gembira. 

Dengan rasa sedikit malu, aku mengemaskna barang-barang peribadiku. Sampai sahaja ke meja baruku, Syafizi pula mengambil giliran mengutuk aku. 

"Hai, cik debab. Amnesia ke pagi-pagi ni?" sindir Syafizi. 

Aduh, dia ni. Tak boleh ke cakap elok-elok dengan aku? Asal bercakap saja, mesti nak menyakitkan hati. Apa dosa aku pada dia pun tak tahulah. Menyedari aku berada di pejabat, aku sedar tidak sewajarnya aku bergaduh dengan dia. Penuh sopan aku menjawab. 

"Maaf, Abang Fizi. Didi terlupa."

"Apa Abang Fizi, Abang Fizi? Kita kan kat pejabat sekarang. Tolong formal," tegas Syafizi. 

"Formal konon. Dia panggil aku debab tak apa pulak." Aku merungut perlahan. 

"Apa kau cakap?" Terjegil mata Syafizi. 

"Tak. Malam tadi, anjing buat bising, melalak." Selamba aku menjawab.

Syafizi mendengus. "Sekejap lagi masuk jumpa saya."

"Baik, bos."

Sebaik sahaja Syafizi berlalu pergi, aku terusa melepaskan keluhan berat. Mampukah aku bertahan dengan kerenah mulut nuklear itu? Aku mengeluh lagi. 

Dua minit kemudian, aku sudah tercegat di hadapan pintu bos besar. Nak masuk ke tak? Aku mula membuat timbangan. 99.9 peratus hatiku kata jangan masuk. Tapi akalku yang sebanyak 0.01 peratus ni pula kata, masuklah, dia kan bos. Kau kena ikut arahan dia. 

Uhh! Kenapalah akal dan hati selalu tak sependapat? Bikin aku jadi pusing saja. Akhirnya aku membuat keputusan untuk mengetuk pintu biliknya. 

Namun entah macam mana, belum sempat ketukan mencecah pintu, pintu telah terbuka. Genggaman tangan yang sememangnya sudah sedia untuk 'landing time' pada pintu kayu itu, sudah tidak dapat mengelak lagi. Maka, jatuhlah ia tepat pada dagu si mulut nuklear. Dush!

"Arghh!!" Syafizi menjerit sambil menekup dagunya.

Aku tergamam.

"Nak bunuh aku ke, debab?" marah Syafizi berapi-api. 

"O... orang tak sengaja," jawabku tergagap-gagap.

Kenapalah selalu jadi macam ni? Bila dengan dia, ada sahaja yang tak kena terjadi.

"Tak sengaja kepala lutut kau!""Eh, apasal kait-kait dengan kepala lutut saya pula? Saya ketuk tadi pakai tanganlah." Dalam takut-takut, aku sempat lagi buat lawak. Yalah... seronok juga dalam hati sebab dapat tumbuk mulut nuklear ni. 

"Dah... jangan nak buat lawak kat sini. Pergi cari minyak angin ke apap ke. Bengkak pulak dagu aku ni karang." Garang Syafizi memberikan arahan. 

Syafizi masuk kembali ke dalam pejabatnya. Aku hanya menurut perintah. Mencari minyak angin ke apa ke!

Setelah mengambil minyak angin yang sememangnya aku simpan dalam laci, aku bergegas ke bilik Syafizi. Lambat nanti tak pasal-pasal pulak dagu dia jadi dua. Hehehe...

Kali ini aku tidak mengetuk pintu lagi. Terus sahaja aku redah masuk ke dalam. Bukan apa, untuk keselamatan sejagat juga. Manalah tahu, nak dijadikan cerita dia tengah nak buka pintu lagi, baru jadi kes besar. Kena sekali lagi, harus nampak bintanglah kali ini. Hahaha...

Syafizi yang sedang ralit menggosok-gosok dagunya, terkejut apabila aku masuk ke dalam biliknya. Alahai dia ni. Macamlah ada hantu ikut aku dari belakang sampai nak buat muka terkejut macam tu. Tapi entah-entah memang betul ada. Gulp! Berdiri bulu roma aku. 

"Amboi, main redah masuk aje ya? Tak reti nak ketuk pintu dulu?" Laa... marah lagi!

"Bukan tak nak ketuk, takut nanti Abang Fizi, eh silap... takut bos buka pintu, karang terkena lagi." Aku menjawab. 

"Menjawab, menjawab." Terjengil mata Syafizi. 

Eleh, macam lah aku takut sangat tengok mata gaya ikan buntal dia tu. Sikit pun tak hairanlah. 

"Dah bos tanya, saya jawablah." Tanpa serik, aku menjawab lagi. Syafizi mendengus kasar. Aku buat bodoh.

"Mana minyak angin yang saya suruh ambil tu?"

"Ni ha. Tapi maaflah, bos. Minyak angin ke apa ke saya tak ada. Yang ada cuma minyak angin gamat keluaran Haji Omar sahaja. Bolehlah ya, bos. Minyak angin ni pun bagus." Bendul sahaja aku bertutur. 

Sebenarnya, aku sengaja nak menambah darjah kemarahannya. Seronok pula aku rasa apabila dapat membuli si mulut nuklear hari ni. 

"Ohh... kau buat lawak ya?" Syafizi ketawa dalam nada geram. Aku tersengih.

"Sini kau!" Syafizi menggamit aku supaya mendekatinya. 

"Nak buat apa?" Aku tidak berganjak. 

"Banyak tanya pula dia. Aku kata sini, sinilah."

Langkah aku atur menghampirinya. Cuak juga rasanya. Syafizi terus menyuakan dagunya sebaik sahaja aku berdiri dekat dengannya. Diketuk-ketuk jari telunjuk pada dagunya. Aku berkerut dahi tidak faham. 

"Apa?"

"Tolong sapu minyak angin gamat keluaran Haji Omar kau tu kat dagu aku ni," ujar Syafizi sambil tersengih nakal. 

Bulat mataku mendengar arahan tak masuk akal oleh bos baruku ini. "Gatal!"

Botol minyak angin itu aku campakkan ke dadanya. Pantas Syafizi menangkap sambil ketawa terbahak-bahak. Jahat betul dia ni. Asyik nak mengenakan aku saja. Aku terus melangkah keluar. 

"Aku report dengan papa kau tak ikut arahan aku," ugut Syafizi bersama ketawa yang masih belum berhenti. 

Aku berpaling padanya. "Tak takut pun!" Aku jelir lidah padanya tanda meluat sebelum terus keluar. 

Syafizi makin kuat ketawa. Sengaja nak sakitkan hati akulah tu!  

Akhirnya Aku Kahwin by Herna DianaWhere stories live. Discover now