17

59 3 0
                                    

SEBAIK selesai mengemaskan dapur selepas makan malam, aku seperti biasa menyediakan minuman kegemaran abah dan umi. Aku bawakan ke ruang hadapan di mana abah dan umi sedang berbual. Televisyen terpasang, tetapi tumpuan mereka tidak di situ. Mereka bagaikan sedang membicarakan sesuatu yang serius. 

"Abah, umi... jemput minum," pelawaku penuh hormat. Air kopi dan jus oren aku letakkan di atas meja sofa berhadapan dengan abah dan umi. 

Abah dan umi hanya mengangguk sekilas padaku, lalu kembali berbual sesama mereka. Apahal yang serius sangat ni? Musykil benar hatiku yang sememangnya ada sedikit sifat menyibuk ni! Tentu saja aku menadah telinga. Bukan apa, manalah tahu kalau-kalau ada kena-mengena dengan aku. 

"Shimah dah tak tahu nak kata apa dah dengan perangai Habsah dengan Hasnah tu, bang. Sakit kepala Shimah ni dibuatnya." Kedengaran umi mengadu kepada abah. 

Ohh... pasal mak uda dengan mak cik rupanya. Habsah tu, mak uda aku. Hasnah tu pula, mak cik aku. Aku rasa aku dah boleh agak kenapa umi nampak macam susah hati sahaja. Ini mesti mak uda dengan mak cik buat perangai gila mereka lagi. 

Kau orang nak tahu gila apa? Gila hartalah tu. Apalah nak jadi dengan dua orang mak saudara aku ni. Tak habis-habis. Masing-masing ada laki pun bukannya nak nasihatkan bini. Dia orang pula yang sama naik dengan bini. Haru sungguh! Umi aku yang anak sulung ni pun buat tak kisah saja. Dia orang berdua pula yang lebih-lebih. Kalau harta cari sendiri tak apalah juga. Ini harta pusaka. Mata ada tanda RM gamaknya!

"Sabarlah, Shimah. Abang pun tak tahu nak kata apa dengan adik Shimah yang dua orang tu. Nak cakap lebih-lebih pun, abang ni cuma abang ipar saja," balas abah. 

"Kenapa ni, umi? Mak uda dengan mak cik buat apa pula kali ni?" Tanpa salam, aku menyampuk percakapan antara abah dan umi. 

"Buat apa lagi? Didi bukan tak tahu perangani kedua-dua mak saudara Didi tu," jawab umi. 

"Pasal harta lagi ke, umi?" Aku bertanya lagi. 

"Yalah. Pasal apa lagi?" balas umi serius. 

"Laa... kan semua dah bahagi. Nak bising apa lagi?"

"Didi bukan tak kenal dengan mak uda dengan mak cik Didi tu. Kalau boleh, semua mereka nak,"  ujar abah pula. 

"Apa lagi yang mereka nak?" 

"Rumah arwah Wan dengan Tok Didilah."

"Rumah tu kan dah bagi kat pak su?" tukasku. 

"Memanglah. Tapi kalau dah tamak tu, eiii... geramlah umi," luah umi. 

Mak uda dengan mak cik aku ni memanglah. Lapar harta sungguh. Kalau diikutkan undang-undang memanglah pak su aku tidak layak untuk mendapat harta dari arwah Wan dan Tok aku. 

Kalau kau orang nak tahu, pak su aku ni cuma anak angkat yang diperlihara oleh Wan dan Tok sejak dia kecil lagi. Tapi pak su aku ni baik sangat. Isteri dia pun baik juga. Tak pernah berkira kalau diminta tolong. Kalau nak dibandingkan budi pak su sekeluarga dengan mak uda dan mak cik, jauh panggang dari api. Macam langit dengan bumi. 

Sebab itulah, umi berkeras mahu rumah pusaka itu diberikan kepada pak su walaupun pak su menolak pada mulanya. Tambahan pula pak su dan isterinya yang tinggal di situ bersama arwah Wan dan Tok, menjaga mereka berdua sehingga habis usia. 

 Memandangkan umi aku anak sulung, mak uda dan mak cik memang tidak berani bersuara ketika umi memutuskan rumah pusaka itu diamanahkan kepada pak su aku. Tapi dari dulu sampai sekarang, mereka tak habis-habis merungut bila berjumpa dengan umi. Kononnya nak cuba racun fikiran umi. Heh! Umi aku tak makan hasutlah. Umi aku makan nasi aje. 

Akhirnya Aku Kahwin by Herna DianaWhere stories live. Discover now