TELEFON bimbitku berbunyi tatkala aku sedang berjalan menuju ke keretaku untuk pulang ke rumah. Kulihat nombor telefon abah yang tertera.
"Assalamualaikum," ucapku.
"Waalaikumsalam. Didi dah habis kerja ke?"
"Dah. Kenapa, abah?"
"Nanti tolong singgah kat farmasi kejap boleh? Tolong beli ubat sakit urat yang abah selalu makan tu. Abah tak laratlah nak keluar," pinta abah.
"Okey. Nanti Didi pergi beli."
Setelah berbicara seketika dengan abah, aku mematikan talian. Kupandu keretaku ke arah lebuh raya supaya lebih cepat sampai ke Seberang Jaya.
Waktu begini sememangnya kereta agak banyak. Sementalah tadi aku keluar dari ofis agak lewat. Aku tiba di Seberang Jaya ketika jam sudah ke angka 7.30 malam. Selesai membeli ubat yang dipesan oleh abah, aku terus pulang.
Sedang aku memandu, tiba-tiba melintas seorang perempuan yang seolah-olah sedang berlari di hadapan keretaku. Terkejut aku dibuatnya. Mujurlah keretaku masih agak jauh. Tanpa aku sangka, ada seorang lelaki sedang mengejar perempuan tersebut kemudiannya. Kali ini, aku tidak sempat mengelak lagi kerana sudah terlalu hampir. Apa lagi, dumm! Dah terlanggar.
Kelam-kabut aku keluar dari kereta. Mujurlah ketika itu kereta aku pandu tidak laju. Aku menghampiri lelaki yang sudah terduduk di atas jalan itu. Ada beberapa orang turut menghampiri.
"Awak okey ke?" Cemas aku bertanya.
Lelaki itu tidak menjawab sebaliknya mengaduh kesakitan. Mukanya berkerut-kerut menahan sakit. Aku mendekatinya. Aku lihat ada luka di tangannya.
"Kenapa awak tiba-tiba melintas tadi? Jomlah," kataku sambil cuba memapahnya.
"Pergi mana?"
"Saya bawa awak pergi kliniklah. Awak cedera tu," jawabku.
"Tak payahlah," bantah lelaki itu.
"Eh, eh... Ada pulak tak payah. Kenalah pi check. Mana tahu nanti ada tulang patah ke, urat terseliuh ke, sendi terkeluar ke... tak ke susah nanti?" Aku berleter.
Beberapa orang yang menghampiri turut menbantu lelaki itu bangun.
"Saya kata tak payah, tak payahlah!" bantah lelaki itu.
"Banyak songehlah awak ni. Jangan cakap banyak. Saya kata jom pi klinik, kena pi klinik," kataku tegas. Aku sebenarnya sudah geram dengan mamat banyak songeh ni. Sakit-sakit pun mengada-ngada lagi. Terdengar lelaki itu mendengus.
Orang ramai membantu memapah lelaki itu masuk ke dalam keretaku. Setelah mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menolong, aku terus menuju ke Hospital Seberang Jaya.
Sampai di hadapan wad kecemasan, lelaki itu terus dibawa ke dalam bilik kecemasan untuk diberikan rawatan. Aku sempat meminta kad pengenalannya untuk membuat pendaftaran. Terus sahaja dompetnya diserahkan kepadaku.
Semasa aku membuka dompetnya untuk mengambil kad pengenalan, aku sempat melihat namanya. Mohd Syafiq bin Suffian. Terus kuserahkan kad pengenalannya kepada jururawat yang bertugas di kaunter pendaftaran.
Memandang dompetnya aku sudah dapat mengagak yang mamat ni orang berada. Kad kredit bersusun di dalam dompetnya. Menyedari tidak baik menyelongkar barangan orang, terus dompetnya aku simpan di dalam beg tangan setelah kad pengenalannya diserahkan kembali kepadaku. Selesai mendaftar, aku kembali ke keretaku untuk diparkirkan di tempat yang telah disediakan.
Siap memarkirkan kereta, aku kembali ke bahagian kecemasan untuk melihat keadaan lelaki itu. Sebelum masuk ke wad kecemasan, aku sempat menelefon abah untuk memaklumkan yang aku akan sampai lewat ke rumah. Aku sempat menceritakan serba sedikit apa yang berlaku kepada abah. Abah yang mulanya kedengaran bimbang akhirnya lega setelah aku memaklumkan kepadanya yang aku tidak apa-apa.
YOU ARE READING
Akhirnya Aku Kahwin by Herna Diana
RomanceSekadar berkongsi. Jika suka sila beli. https://play.google.com/store/books/details/Herna_Diana_Akhirnya_Aku_Kahwin?id=VNRLCgAAQBAJ Didi - gadis comel yang periang. Dia tidak pernah kisah dengan pandangan orang lain yang sering memperlekehkannya. Ba...