28

58 4 1
                                    

SETELAH empat hari bercuti, hari ini aku memulakan tugas semula. Kalau diikutkan, Syafiq menyuruh aku bercuti sehingga hari raya nanti. Tapi aku memilih untuk datang kerja. Bukan sahaja memikirkan kerjaku yang menimbun, tetapi kerana aku tidak mahu berterusan termenung mengenangkan arwah abah dan umi. 

Hatiku masih belum kuat. Air mataku mudah sahaja mengalir apabila duduk bersendirian. Sekurang-kurangnya apabila aku sibukkan diri dengan kerja, kurang sedikit keresahan hati. 

Kehadiran aku pagi ini ternyata mengejutkan Izhan dan kawan-kawan yang lain. Tentulah mereka menyangka aku akan terus bercuti sehingga lepas hari raya. 

"Didi, kenapa tak sambung cuti?" tanya Izhan sebaik masuk ke pejabat. 

"Tak apalah, Abang Iz. Kerja Didi ni pun dah menimbun ni," jawabku. 

"Kerja tu Abang Iz boleh tolong buat. Didi dah okey ke? Kalau tak, ambillah cuti rehat kat rumah."

"Didi okey. Duduk kat rumah pun sunyi aje. Baik Didi datang kerja," ujarku sedikit sebak. 

Itulah aku kini. Mudah sangat terasa hiba. Ternyata hati aku masih rapuh. Izhan pula seakan memahami keadaan aku, hanya mendiamkan diri. Dia tidak lagi mengganggu aku dan membiarkan sahaja aku membuat kerjaku.

"Eh! Didi dah datang kerja ke?" soal Rohaida yang tiba-tiba muncul di situ. Aku membalas dengan senyuman kecil. 

"Didi dah okey ke?" tanya Rohaida lagi. Aku angguk perlahan. 

Aku terus menumpukan perhatian pada kerjaku. Sungguh, aku tidak berminat untuk membicarakan soal-soal lain ketika ini. Saiful juga seakan memahami keadaan aku yang masih dalam kesedihan. Tiada usikan-usikan nakal daripadanya. Sedang aku ralit dengan kerjaku, telefon di mejaku berdering. Pantas aku angkat. 

"Helo..." ucapku. 

"Didi?"

"Ya..."

"Didi datang kerja ke?" Hmm... abang kesayangan aku rupanya. Alaqmat kena syarahlah kejap lagi. Aku diam. 

"Kan abang dah suruh cuti sampai raya ni? Kenapa datang jugak? Degil cakap abang ya?"

Haa... kan aku dah kata. Mesti kena syarah punyalah. 

"Didi okey. Lagipun kerja Didi banyak tak siap ni."

"Didi ni. Cuba dengar cakap abang. Abang..."

"Nanti kita bincang ya?" pintaku memotong cakapnya. 

Syafiq terdiam. 

"Abang telefon kenapa?"

"Abang nak cari Izhan. Dia ada?" tanya Syafiq menerangkan tujuannya menelefon. 

"Ada. Kejap ek?" Aku memanggil Izhan. Aku unjukkan gagang telefon kepadanya. 

"Siapa?" tanya Izhan. 

"Encik Syafiq."

Izhan pantas menyambut telefon yang kuhulurkan. Aku kembali menyambung kerjaku. Hmm... kalau kau orang nak tahu, sebaik aku masuk kerja pagi ni, telinga aku sudah disapa dengan khabar yang hubungan sebenar aku dengan Syafiq dah mula tersebar di kilang ni. Alahai...

Setelah bercakap seketika dengan Syafiq, Izhan menyerahkan gagang telefon kepadaku. Terangkat keningku. 

"Encik Syafiq nak cakap dengan Didi," beritahu Izhan. Aku pantas menyambut.

"Ya, ada apa?"

"Didi datang bilik abang kejap." Dia buat dah!

"Hmm... yalah." Aku menjawab malas. Gagang aku letakkan kembali. 

Akhirnya Aku Kahwin by Herna DianaWhere stories live. Discover now