44

57 3 0
                                    

HARI ini pasti menggembirakan Datuk Suffian sekeluarga. Syafiqah sudah dibenarkan pulang ke rumah. Sebaik sahaja aku sampai di hospital malam tadi, Datin Faridah sudah memaklumkan perkara ini kepadaku. 

Dan bagi aku yang lebih menggembirakan, Syafiqah kini sudah dapat menerima kehadiranku dalam keluarganya. Syafiqah mengalirkan air mata sebaik terpandangkan kelibatku. Mulut comelnya tidak putus-putus meminta maaf atas segala kelakuannya padaku. Jenuh aku memujuknya. Sememangnya aku tidak pernah menyimpan dendam dengannya. Sudahnya, semalaman aku menemaninya di hospital. 

Melihatkan Syafiqah terkial-kial ketika hendak duduk, aku pantas membantunya untuk duduk di sofa. Maklumlah... dengan sebelah tangan dan sebelah kaki yang patah, pasti pergerakannya sukar dan terbatas. 

"Terima kasih, Kak Didi," ucapnya. 

Aku hanya membalas dengan senyuman. Aku menuju ke dapur. 

"Didi nak pergi mana tu?" Terdengar suara Datin Faridah bertanya. 

"Didi pergi buatkan air kejap," beritahuku. 

"Tak usahlah. Nanti Mak Siti buatkan. Mari sini duduk dengan mama." Datin Faridah melarang. Ruang sofa yang kosong di sebelahnya, ditepuk-tepuk tanda meminta aku duduk di sebelahnya. 

Aku akur. Aku labuhkan dududk di sebelahnya. 

"Fiqa, lepas apa yang terjadi ni, papa harap Fiqa jangan bencikan Kak Didi lagi. Kak Didi sayang sangat dengan Fiqa. Fiqa berbaiklah dengan Kak Didi ya?" Datuk Suffian menasihati anak manjanya. 

"Fiqa tahu, pa. Fiqa sedar Fiqa dah banyak buat salah dengan Kak Ida selama ni," sahut Syafiqah perlahan. Matanya kelihatan mula berkaca. 

Syafiq yang duduk di sebelah Syafiqah pantas sahaja mengusap0usap penuh kasih kepala adik perempuannya. 

"Papa, cerita yang lepas tak usahlah kita ungkit lagi ya? Didi tak pernah simpan dalam hati pun. Fiqa tetap adik Didi." Aku cuba meredakan kekesalan di hati Syafiqah. 

"Kak Didi, maafkan Fiqa ya?" ucap Syafiqah. Tulus sekali kedengaran di telingaku. 

Aku tersenyum mendengar kata-kata Syafiqah lalu bangkit beralih duduk di sebelahnya. Tangannya aku capai lalu aku genggam erat. 

"Dahlah tu. Kak Didi tak ambil hati pun. Walau apapun, Fiqa tetap adik Kak Didi." Lembut aku berkata. Penuh manja, Syafiqah melentokkan kepalanya ke bahuku. Alhamdulillah, akhirnya Syafiqah dapat menerimaku. 

***********************************************************************************************

SEBAIK melangkah masuk ke dalam bilikku di banglo mewah ini, tempat yang aku tuju hanyalah satu. Katil!

Penatnya... keluhku sendirian. Terasa tegang semua urat sarafku sebaik sahaja aku membaringkan tubuh ke tilam empuk ini. Seharian menolong Datin Faridah menguruskan kenduri doa selamat atas kesembuhan Syafiqah membuatkan badan rasa macam sudah hendak putus dua. 

Kepenatan yang teramat sangat membuatkan mata terasa hendak lelap. Sebaik sahaja aku hanyut dalam kenikmatan tidur, telingaku disenandungkan dengan lagu 'Baik-baik Sayang' nyanyian Wali Band. Syahdu terasa mendengar lagu tersebut. Namun entah kenapa, tiba-tiba sahaja bertukar rasa bingit. Aku tersedar ke alam nyata. Ceh! Rupa-rupanya telefon bimbitku yang berbunyi. 

Malas rasanya mahu menjawab. Aku buat tak endah. Akhirnya, deringan itu mati begitu sahaja. Baru beberapa ketika, aku kembali tersentak. Dia bunyi lagi! Dengan hati yang sebal aku mencapai telefon bimbitku. 

Hisy, apa punya jenis nombor telefon ni. Pelik benar ni, aku bertanya sendiri sambil menggaru seketika kepala. 

"Helo..." Aku menjawab panggilan. 

"Assalamualaikum," sapa suara di hujung talian. Kenapa aku macam kenal saja dengan suara itu?

"Oii, debab! Kau tidur ke? Aku bagi salam kenapa tak jawab?"

Huh! Patutlah macam kenal. Si mulut nuklear rupanya! Mengganggu ketenteraman awam betullah dia ni. rasa menyesal datang bertimpa-timpa kerana menjawab panggilan tersebut. Kalaulah aku tahu dia...

"Oii!" Syafizi menjerit nyaring. 

Pantas telefon bimbit aku jauhkan dari telinga. Mangkuk tandas punya mamat. Nyaris cedera parah gegendang telinga aku dibuatnya, hamunku. 

"Apa jerit-jerit ni? Gila ke?" Aku melepaskan marah. Terdengar Syafizi ketawa terbahak-bahak. 

"Uih... marahnya dia." Syafizi makin galak ketawa. Saja nak naikkan darah akulah tu. 

"Ni apa hal telefon orang malam-malam buta ni? Kacau aje orang nak tidur." Aku meluahkan rasa tidak puas hati. 

"Sebab aku tahu kau dah tidurlah aku telefon. Saja aku nak kacau kau."

"Abang Fizi ni tak ada kerja lain ke? Kenapa asyik nak kacau Didi aje?" soalku tegas. 

"Ini pun kerja juga. And you know what, debab? Kacau kau, ganggu ketenteraman kau merupakan hobi terbaru aku."

Ya ALLAH. Macam ni punya orang pun ada ke? Kacau aku, ganggu ketenteraman aku, hobi dia? Hantu punya mulut nuklear!

"Menyampahlah Didi dengan Abang Fizi ni. Dah tu suka-suka hati saja telefon orang. Mana dapat nombor telefon Didi ni?" Garang aku bertanya. Terdengar lagi ketawa jahatnya meletus. 

Eii... tak lenguh ke mulut dia asyik ketawa sahaja. Kejang mulut tu tak boleh tutup baru padan muka! Aku menyumpah di dalam hati. 

"Hek eleh. Apa? Kau ingat kau tu keturunan puteri-puteri raja ke? Nombor telefon private sampai orang tak boleh nak kesan."

Marahku semakin membara. Asal dia buka mulut saja, ayat yang keluar pasti menyakitkan hati aku. Aku bersedia untuk membalas serangan. Namun, baru sahaja aku hendak membuka mulut, terdengar sambungan serangannya. 

"Aku ni jenis kalau dah aku suka, sampai ke lubang cacing pun aku akan dapatkan. Dan disebabkan mengganggu ketenteraman kau merupakan hobi terbaru dan menjadi kesukaan aku, aku boleh gunakan apa saja cara untuk merealisasikan hobi aku. Kau faham tak?"

Ya ALLAH... rasanya hendak saja aku menjerit melepaskan geram aku dengan si mulut nuklear sorang ni. Tapi bila memikirkan terkejut beruk pula seisi rumah ni apabila tiba-tiba mendengar jeritan, aku mematikan hasrat. 

"Abang Fizi ingat Didi ni mainan ke nak dijadikan hobi segala bagai hah?"

"Suka hati akulah. Tak lama lagi aku akan balik ke Malaysia. So, bersedialah untuk terus diganggu oleh aku."

Aku tidak betah bertahan lagi. Marahku sudah sampai ke kepala. "Didi menyampah dengan Abang Fizi. Meluat, meluat, meluat!" Sepenuh hati, aku katakan padanya. 

Tindak balas yang aku terima daripada luahan aku itu hanyalah ketawa yang semakin jahat aku rasakan. Pantas aku mematikan talian. 

Bodoh punya mamat nuklear. Sanggup telefon jauh-jauh habiskan duit semata-mata nak kacau aku. Dah tak ada benda sangat nak dibuat gamaknya. 

Seketika kemudian, telefonku berbunyi lagi. Kali ini menandakan ada mesej yang masuk. Aku pantas membacanya. 

Oit, debab! Seronok betul dapat kacau kau. Happy sesangat. Yang pasti aku akan teruskan hobi aku yang amat menarik ini. Hahaha... Oh ya, kau jangan nak meluat-luat sangat dengan aku, debab. Nanti kau jatuh suka dengan aku macam mana? Tak pasal-pasal nanti kau paksa aku kahwin dengan kau. Hahaha... maklumlah orang handsome macam aku ni memang ramai yang minat nak buat laki. Hahahaha... Bye debab! Muahhh...

Aku terus mencampakkan telefon bimbitku. Sakitnya hati ALLAH sahaja yang tahu. 

Perasan nak mampus! Dia ingat dia lawa sangat? Muka macam buah kedondong kecut, ada hati perasan handsome. Boleh jalanlah!

Yang aku ni pun satu, dah tahu mulut nuklear tu memang suka sakitkan hati, yang aku pergi layan otak biul dia tu kenapa? Saja nak cari penyakit. Eii... Kadang-kadang aku pun tak faham dengan diri aku ni. 

Ah! Lantak kaulah mulut nuklear. Kau nak buat hobi apa sekalipun, kau punya pasal. Daripada fikirkan perangai kau yang tak ada faedah tu, baik aku tidur lagi best!

Akhirnya Aku Kahwin by Herna DianaWhere stories live. Discover now