EPILOG

150 6 0
                                    

BUNYI pintu bilik dibuka, mengalihkan tumpuanku daripada skrin laptop. My lovely hubby rupanya. Aku tersenyum padanya yang menghampiriku. Dengan lembut dilabuhkan punggungnya di birai katil, rapat di sebelahku. Tangannya pantas memeluk erat bahuku. Sebuah ciuman hinggap di kepalaku. Aku tersenyum senang. 

"Abang ingatkan dah tidur. Kata tadi letih sangat," ujar Syafizi. 

Sememangnya tadi ketika meminta diri untuk masuk ke dalam bilik, aku terasa amat letih sekali. Penat rasanya kerana siang tadi begitu sibuk melayan tetamu yang datang meraikan perkahwinan Syafiq dengan isterinya, Ain Maisarah. 

Namun aku bersyukur, akhirnya abang kesayanganku melangkah ke alam rumah tangga. Aku rasa bahagia melihat wajahnya yang berseri-seri tadi. Sesungguhnya, dia abangku yang terbaik. Sanggup menangguhkan majlis perkahwinannya yang sepatutnya berlangsung dua tahun lalu. Semuanya gara-gara kemalangan yang menimpa diriku. 

Setelah aku pulih, sekali lagi dia menangguhkan hari bahagianya. Demi mahu menunaikan tanggungjawabnya sebagai abang terlebih dahulu. Dia mahu menyerahkan diriku dalam jagaan seorang suami sebelum dia berumah tangga. Akhirnya, perkahwinan aku dan Syafizi yang berlangsung dahulu. 

Atas sebab itulah, aku beria-ia mahu menguruskan majlis perkahwinan Syafiq. Dari barang hantaran sehinggalah ke majlis perkahwinannya, semuanya aku uruskan. Syukurlah, suamiku dan Syafiqah banyak membantuku. Alhamdulillah... melihat kegembiraan Syafiq dan isterinya hari ini, aku berasa puas. Hilang segala penatku. 

Oh ya! Tentu kau orang semua tertanya-tanya, apa sudah jadi dengan minah 'ekceli' kan? Gara-gara dia naik hantu hari tu, aku pula ditimpa malapetaka. 

Syafiq dan Syafizi terus mengambil tindakan undang-undang ke atas Hasliza dan teman lelakinya kerana menyerangku sehingga mengakibatkan kemalangan yang hampir-hampir meragut nyawaku. 

Akibat kemalangan tersebut aku mengalami koma selama sebulan lebih. Kata Syafiq, menurut doktor keadaan aku amat kritikal ketika itu. Kepalaku cedera sehingga mengalami sedikit keretakan di tengkorak. Sebelah kakiku patah dan yang paling teruk, hatiku rosak akibat tertusuk tulang rusuk yang patah sehingga aku menanggung komplikasi yang bukan sedikit. 

Mujurlah Syafizi sudi mendermakan separuh hatinya padaku. Alhamdulillah... dengan izin ALLAH, tubuhku tidak menolak hatinya. Mungkin sudah ketentuan ILAHI, ada keserasian antara kami. Budinya itu menyelamatkan aku daripada terus menderita kerana komplikasi hati akibat kemalangan itu. 

Ketika menjalani proses pemulihan, perbicaraan ke atas Hasliza dan teman lelakinya dilangsungkan. Aku turut sama hadir kerana keteranganku diperlukan di mahkamah. 

Namun, kuasa ALLAH melebihi segalanya. Ketika melihat wajah keruh dan pilu ayah dan ibu Hasliza, hatiku diselubungi rasa tidak sampai hati. Entah kenapa, aku merasa kasihan melihat kesedihan yang terpancar di wajah kedua-dua insan tua itu. Aku tahu Hasliza adalah harapan mereka. 

Pulang ke rumah setelah selesai perbicaraan hari itu, aku terus berbincang dengan keluargaku. Aku nyatakan kepada mereka hasratku untuk menarik balik kes tersebut. Mulanya keluargaku membantah niatku. Lebih-lebih lagi Syafizi. Jenuh juga aku memujuk mereka. 

Puas berbincang, akhirnya mereka menerima keputusanku. Sebetulnya, aku bersyukur kerana ALLAH masih memberikan peluang kepadaku untuk terus bernafas. Dan kerana ini aku terfikir, jika ALLAH Yang Maha Berkuasa, masih memberi peluang kepada hamba-NYA, siapalah aku hamba yang kerdil ini. 

Hasliza terun menerpa ke arahku sebaik sahaja perbicaraan ditamatkan dan kes ditutup. Tidak henti-henti mulutnya memohon kemaafan daripadaku. Dan pada hari itulah, terbongkarnya kisah kenapa dia sering mencari pasal denganku. 

Rupa-rupanya dia menyimpan dendam lama ketika kami masih di alam persekolahan dulu. Aku pun tidak sedar rupanya kami satu sekolah dulu. Biasalah, peredaran masa kadang-kadang mengubah penampilan kita. 

Akhirnya Aku Kahwin by Herna DianaWhere stories live. Discover now