Melati tiba di sebuah kafe bernama 'Kafe Embun' tidak jauh daripada kawasan kejiranan. Dia mendapat tahu tentang kafe itupun setelah dia membuat carian di Google kerana dia ingin cuba membuat assignment di kafe. Melati meletakkan beg di meja bersebelahan dengan tingkap dan berjalan menuju ke kaunter untuk membuat pesanan. Melati melihat menu yang ada di atas kaunter untuk seketika.
"Hai, boleh bagi saya satu Cappucino panas dan juga 1 slice kek carrot" kata Melati tanpa melihat kepada pekerja di belakang kaunter itu.
"Itu sahaja?" tanya pekerja itu. Melati lantas mengalihkan pandangan kepada pekerja itu apabila dia mengecam suara yang dia dengar. Dia melihat Afi Fahri sedang memandangnya. Afi memakai baju putih serta apron berwarna coklat di sekeliling pinggangnya. Melati menggelengkan kepalanya dan berdehem kecil.
"Yep, itu sahaja" balas Melati perlahan, hatinya berdegup kencang."Semua sekali RM12" kata Afi. Melati menghulurkan 2 keping not berwarna merah dan hijau. Afi menghulurkan resit kepadanya.
"Nanti saya akan hantar ke meja" kata Afi. Melati menganggukkan kepala dan mengucapkan terima kasih. Dia lantas berpusing dan menuju ke mejanya."Ini kalau aku tiba-tiba pergi tak ke macam pelik tapi kalau nak pergi... dah order dan bayar dah pun" kata Melati perlahan kepada dirinya. Melati mengeluh dan dia meletakkan tangan di dada untuk menenangkan diri. "Dalam banyak-banyak tempat, kenapalah kena terserempak dengan dia dekat sini juga.
Melati mengeluh kecil dan mengeluarkan laptop, buku dan pen daripada dalam beg. Dia mula membuat assignment sambil sesekali melihat pemandangan di luar tingkap kafe itu. Tidak lama kemudian, Afi menghantar pesanannya. Cappuccino, kek carrot dan satu kotak kecil yang mengandungi kek cawan.
"Terima kasih tapi saya tak pesan yang ini" kata Melati sambil meletakkan kembali kotak kecil di dalam dulang yang dipegang oleh Afi. Afi mengambil kotak kecil itu dan meletakkan kembali di atas meja Melati. Melati melihat Afi dengan pandangan yang keliru.
"Saya belanja sebagai tanda terima kasih sebab bagi saya kongsi meja dengan awak tempoh hari" kata Afi dengan riak wajah yang kosong."Oh tapi sa-"
"Saya ikhlas, saya pergi dulu" kata Afi dan lantas berlalu pergi. Melati berasa sedikit geram kerana dia tidak habis bercakap lagi, Afi sudah pergi. Dia membelek kotak kecil itu, melihat kek cawan yang ada di dalam. Senyuman kecil terukir di bibirnya. Dia meletakkan kotak itu dan kembali membuat assignment sambil menikmati secawan cappucino panas dan sepotong kek carrot yang dia pesan.—--------------
Setelah hampir 2 jam berada di kafe, Melati mengemas barang-barangnya. Dia memandang ke arah kaunter dan melihat Afi sedang mengambil pesanan pelanggan. Afi memandangnya sementara pelanggan itu sedang mencari sesuatu di dalam beg. Melati lantas mengalihkan pandangan ke tempat lain apabila Afi ternampak dia sedang memandang ke arahnya.
Melati menggalas beg dia yang berwarna merah jambu di bahu sebelah kanan dan memegang kotak kecil berisi kek cawan dengan kemas di tangan kirinya. Dia bangun daripada kerusi dan menuju ke pintu untuk keluar. Tiba di depan pintu, Melati menghentikan langkahnya. Dia mengambil beberapa pek kecil mengandungi coklat daripada dalam beg dan berjalan menuju ke kaunter.
"Terima kasih" kata Melati perlahan dan meletakkan empat pek kecil mengandungi coklat. Belum sempat Afi berkata apa-apa, Melati lantas berlari kecil dan meninggalkan kafe. Afi tersenyum kecil dan mengambil coklat yang diletakkan oleh Melati di atas kaunter dan memasukkan ke dalam poket seluarnya.—------------
Melati tiba di rumah dan lantas masuk ke dalam bilik. Dia meletakkan beg dan kotak kecil di atas meja dan melemparkan badannya ke atas katil. Dia menekup mukanya ke bantal dan kakinya bergerak-gerak di udara. Melati berasa malu serta sedikit gembira apabila teringat kejadian di kafe sebentar tadi. Hatinya berdegup kencang, mukanya berubah menjadi sedikit merah.
"Ouch!" jerit Melati apabila dia terasa sesuatu dilemparkan ke kepalanya. Dia lantas mengangkat kepala dan melihat adiknya, Cempaka Adni yang sedang berdiri sambil memeluk tubuh di sebelah katilnya. Melati lantas duduk dan melihat adiknya dengan pandangan yang tidak puas hati.
"Ish! Dahlah masuk bilik akak tak reti nak bagi salam atau ketuk pintu!" kata Melati dengan nada yang sedikit marah.
"Eh, orang dah ketuk eh tadi. Kakak itu yang tak dengar. Apa yang dia berangan pun tak tahulah" kata Cempaka dan duduk di atas katil kakaknya. Melati memandang Cempaka dengan kening yang terangkat sedikit.
"Kau nak apa?" tanya Melati."Lapar" rengek Cempaka dan baring di atas katil Melati. Belum sempat Melati membalas, Lily juga masuk ke dalam bilik dan baring di atas Cempaka.
"Lily pun lapar" kata Lily. Cempaka menolak badan Lily tapi sedikit pun Lily tidak berganjak."Ish, adik sanalah! Beratlah kau!" kata Cempaka. Lily berpura-pura tidak dengar apa yang dikatakan oleh Cempaka dan memeluk Cempaka. Melati hanya mampu menggelengkan kepala melihat gelagat adik-adiknya itu.
"Kakak, tolong masak mee goreng yang kakak selalu buat itu, pleaseee" kata Cempaka. Lily menganggukkan kepala, tanda setuju.
"Pergilah masak sendiri, dah habis sekolah pun tak pandai masak ke? Macam mana kau survive dekat hostel?" soal Melati kepada Cempaka. Cempaka Adni, berumur 18 tahun yang kini sedang melanjutkan pelajaran diploma di dalam bidang fesyen di sebuah universiti di Putrajaya. Cempaka duduk di hostel dan pulang pada setiap hujung minggu, dia tidak boleh berjauhan lama daripada keluarganya.
Cempaka mencebik apabila mendengar ayat kakaknya itu. Dia menolak Lily kuat sehingga Lily terjatuh daripada katil. Lily mengaduh kesakitan sambil mengusap pahanya.
"Mama bagi duit belanja so orang tak masaklah!" jawab Cempaka sambil memeluk tubuh, memandang kakaknya."Amboi, senang hidup kau ya" kata Melati.
"Tolonglah kak, orang lapar ini nanti kalau Cempaka dengan Lily mati kelaparan macam mana?" kata Cempaka sambil menarik-narik lengan Melati. Lily mengangguk tanda setuju dan lantas naik semula ke katil menarik sebelah lagi lengan Melati. Melati mengeluh kecil.
"Iyalah" kata Melati pasrah. "Tapi kau berdua kena basuh kuali semua lepas akak habis masak".
Cempaka dan Lily mengangguk. "Deal!" kata mereka berdua dengan nada teruja. Melati menjeling mereka dan lantas bangun daripada katil menuju ke dapur. Cempaka dan Lily juga bangun daripada katil mengikut kakak sulung mereka ke dapur.
YOU ARE READING
Hancur
RomanceKisah kehidupan Melati Adara dan juga Afi Fahri. Melati Adara merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik. Afi juga merupakan anak sulung dan mempunyai seorang adik lelaki. Hancur menceritakan tentang lika-liku kehidupan Melati dan Afi...