Suasana di rumah Melati agak riuh kerana ada majlis kecil, makan-makan hanya untuk ahli keluarga yang besar berkumpul. Melati hanya duduk di dapur setelah bertegur sapa dengan ahli keluarga yang lain. Tugasnya membasuh pinggan mangkuk, isi lauk pauk yang telah habis dan sebagainya. Melati lebih selesa duduk bersendirian di dapur, jauh daripada ahli keluarga yang kerana dia tidak begitu pandai berkomunikasi dan lebih selesa mendiamkan diri. Namun begitu, telinganya tajam mendengar segala perbualan di ruang tamu.
"Dania, sampai pun kamu" kata puan Halimah iaitu mama Melati kepada sepupunya Dania. Melati dan Dania sebaya cuma Dania sudah bekerja kerana dia tidak mahu melanjutkan pelajaran. Mereka berdua juga kurang rapat dengan satu sama lain. Melati bukan tidak suka kepada Dania cuma dia tidak selesa kerana ada saja benda yang Dania ingin cari pasal dengan dia serta dia rasa yang mama lebih sayangkan Dania daripada dirinya.
"Mestilah. Dania dah lama tau tak jumpa bonda, rindu pula. Tadi ada kerja sikit. Dania ada bawa kawan sekali, tak apa kan?" kata Dania. Bonda ialah nama panggilan mama kepada ahli keluarga yang lain terutamanya sepupu-sepupu Melati.
"Ish kamu ini, kan bonda dah kata jemput je sesiapa yang nak datang" kata mama. "Ini dah makan ke belum? Mesti penat lepas kerja tadi, pergi makan".
Melati mengeluh kecil. "Anak dia ini yang daripada pagi menolong sampai tak sempat nak makan, tak ada pula dia nak tanya dah makan ke belum" kata Melati perlahan. Melati dapat rasa yang hatinya terasa berat dengan kesedihan.
Tidak lama kemudian, puan Halimah masuk ke dapur sambil membawa periuk.
"Mama nak isi apa itu? Sini, Melati isikan" kata Melati yang kini bangun daripada kerusi meja makan dan menuju ke puan Halimah di kaunter dapur.
"Tak apa, mama boleh buat. Dania itu nak makan gulai ayam tapi dah tinggal sikit" kata puan Halimah sambil mengisi gulai ayam ke dalam periuk yang dibawa.
"Mama dah makan ke belum? Kalau belum, pergilah makan dulu. Melati boleh tolong" kata Melati.
"Belum. Ini mama nak makan dengan Dania lah ni" kata puan Halimah. Melati terdiam. Sesudah mengisi gulai ayam ke dalam periuk, puan Halimah lantas membawa periuk itu ke ruang tamu semula. Melati duduk semula di kerusi makan. Matanya mula berkaca dan dadanya berombak, menahan rasa sedih. Melati menepuk bahu perlahan sambil mengambil nafas panjang dan hembus untuk menenangkan dirinya.
"Melati, kenapa duduk seorang diri dekat dapur ini?" tanya makngah yang baru masuk ke dapur dan pergi ke sinki untuk membasuh cawan. Makngah merupakan ibu kepada Dania, sepupunya.
"Tak, senang kalau nak kena isi lauk atau basuh pinggan-pinggan kotor nanti" kata Melati. Makngah duduk di kerusi berhadapan dengannya di meja makan dan memberikan Melati senyuman kecil.
"Melati dah makan ke belum ini?" tanya Makngah. Rasa sedih yang sudah reda, kembali lagi. Melati menggelengkan kepala perlahan sambil tersenyum kecil.
"Ya Allah! Tak makan lagi? Pergi makan, makngah boleh jaga dekat dapur".
"Tak apa makngah, nanti kejap lagi Melati makan. Tak lapar pun lagi ini" kata Melati perlahan. Dia diam-diam menarik nafas panjang dan hembus untuk menenangkan dirinya.
"Makngah ambilkan. Melati nak makan apa? Tak apa, makngah ambil je apa-apa nanti kalau Melati tak habis, kita habiskan sama-sama" kata makngah yang lantas bangun daripada kerusi dan menuju ke ruang tamu untuk mengambil makanan. Air mata Melati jatuh ke pipinya lantas dia mengesat air matanya dan minum secawan air putih untuk menenangkan diri,
Tidak lama kemudian, makngah kembali semula ke dapur sambil membawa dua pinggan yang mengandungi makanan dan meletakkan di atas meja makan. Satu pinggan berisi nasi putih, gulai ayam, ayam kunyit, sayur campur dan sambal belacan. Walaupun ada lauk-pauk daging tetapi makngah tahu yang Melati tidak gemar akan daging seperti daging lembu atau daging kambing, Melati cuma makan ayam atau ikan. Satu pinggan lagi berisi kuih-muih.
Makngah duduk di sebelah Melati. "Makan, makngah ambil je apa yang makngah rasa kamu suka".
"Terima kasih, makngah" kata Melati dengan senyuman kecil. Melati mencapai pinggan berisi nasi putih serta lauk dan mula menjamah. Melati dan makngah sambung berborak kecil di dapur buat seketika.
YOU ARE READING
Hancur
RomanceKisah kehidupan Melati Adara dan juga Afi Fahri. Melati Adara merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik. Afi juga merupakan anak sulung dan mempunyai seorang adik lelaki. Hancur menceritakan tentang lika-liku kehidupan Melati dan Afi...