Dua tahun sebelum kejadian di kafeteria berdekatan perpustakaan tempat mereka bertemu.
"Weh, kau pergilah try dia."
"Dia budak baik. Cantik pula tu. Kalau dapat dia, memang bonus!"
Sekumpulan pelajar lelaki berbisik-bisik di perpustakaan. Mata mereka semua tertumpu kepada Hana. Gadis yang popularitinya semakin meningkat kerana menjadi affiliate di aplikasi TikTok. Dia juga terkenal juga sesama kalangan pelajar dalam Kelab Teater. Dua rakannya menyiku Ammar untuk cuba mengorat Hana.
"Kalau aku mengorat, confirm dapat. Malaslah!" Ammar tidak menghiraukan cabaran dari rakan-rakannya. Dia tidak bersedia untuk menjalinkan apa-apa hubungan ketika itu.
"Ceh, berlagak. Pergilah cuba. Aku tak rasa dia jenis yang senang." Mereka cuba mencabar kebolehan Ammar.
Ammar bangun dari tempat duduk, kemudian mengemaskan dirinya sebelum bertemu dengan Hana. Walaupun gadis itu agak terkenal, tetapi dia juga dikenali sebagai seorang yang pendiam. Ammar bukanlah dari kelab yang sama, tetapi rakan sebiliknya selalu juga menyebut nama Hana sebagai bahan bualan.
Ammar menarik kerusi meninggalkan satu tempat duduk kosong di antara mereka. Tidak mahu tergesa gesa dalam berkenalan.
"Hai," Ammar menyapa tetapi Hana tidak mendengarnya kerana Hana sedang menaip sesuatu sambil telinganya ditutup dengan fon kepala.
Ammar kemudian mengetuk meja untuk mengalihkan perhatian Hana. Mata mereka bertaut, Hana cepat-cepat menurunkan fon kepalanya.
"Saya?" Hana menunjukkan dirinya sendiri. Dia tidak mengenali lelaki di hadapannya.
"Hana kan?" Ammar berpura pura bertanya untuk meminta kepastian.
"Ha... Ha ah. Kita kenal ke?" Dahinya berkerut cuba mengingat kembali orang yang pernah ditemuinya.
"Tak. Saya yang kenal awak," Ammar menjelaskan.
"Oh. Di mana?"
"From TikTok"
"Ah, I see," Senyumannya janggal tetapi Ammar masih mahu mencuba.
"Can we be friends?" Jejaka itu sudah tidak mahu berbasa-basi. Dia langsung menyatakan sahaja hasratnya.
"Saya Ammar. Dari Fakulti Perniagaan. Saya rasa awak baik dan cantik. Terbukti bila saya nampak awak sendiri depan mata saya." Lelaki itu menongkat dagunya dengan telapak tangan cuba melihat wajah Hana dengan lebih baik. Memberikan senyuman yang kelihatan ikhlas untuk berkawan.
Siapa saja yang tidak sukakan puji-pujian apatah lagi seorang perempuan. Semenjak Hana aktif di TikTok, dia selalu menerima banyak pujian yang membuatkan hatinya berbunga-bunga, tetapi dia akan mula merasa tertekan apabila dirinya mendapat komen yang kurang menyenangkan.
"Ah, alright. Thank you." Hana berasa kekok. Dia tidak tahu bagaimana harus berdepan dengan lelaki di asing di hadapannya. Lagipun, dia tidak pernah berhubung dengan lelaki melainkan urusan penting.
"I'll take that as a yes." Lelaki itu tidak mengalah. Cabarannya belum tamat. Betul kata rakan-rakannya bahawa Hana agak sukar didekati.
"Hah? Yes?"
"Awak cakap 'alright' tadi. Samalah dengan 'yes' untuk soalan saya tadi, kan?"
"Hmm...." Gadis itu masih ragu-ragu dengan permintaan Ammar.
"Just friend? Please? Saya janji kalau dalam sebulan awak tak selesa dengan saya, lepas tu saya tak akan ganggu awak lagi." Ammar separuh merayu cuba melengkapkan misinya.
"I guess we can try," Hana teragak-agak menjawab.
"Yes! Boleh saya dapatkan nombor telefon awak?" Mustahil mereka dapat berhubung dengan lebih dekat jika Ammar gagal untuk mendapatkan nombor telefon Hana. Dia cuba sehabis baik untuk tidak kelihatan terburu-buru dalam mengenali Hana.
Akhirnya, Hana memberikan nombor telefonnya. Tidak mampu menolak permintaan Ammar.
"Terima kasih awak. Nanti saya chat awak okey? Saya pergi dulu. Jaga diri, Hana." Kata-katanya yang manis bergula buat Hana rasa selesa. Setelah itu, Ammar terus meninggalkan Hana dan terus menuju ke meja tempat tiga rakannya berkumpul.
Dia menayangkan telefon pintarnya. Bangga kerana berjaya mendapat nombor telefon Hana dari tuan badan sendiri.
"Sheesh. Mantaplah, Ammar!!!" Bahu Ammar ditepuk tepuk rakannya bangga. Masing masing mereka tersengih
"Aku dah cakap, kan? Tapi kitorang kawan je dulu." Bangga dengan pencapaiannya, Ammar tersenyum sinis dengan mengangkat keningnya.
"Laju kau buat kerja."
Mereka bertiga memuji-muji Ammar dengan kejayaan pertamanya. Tidak menyangka pertemuan mereka boleh jadi secepat itu.
"Ammar kut..." Dia berbangga dengan dirinya sendiri.
Hari demi hari berlalu, Ammar tidak pernah gagal untuk menghantar mesej pada Hana. Dia cuba memahami cara dan kehendak Hana. Lama kelamaan, gadis itu seakan-akan sudah terperangkap dalam mainannya. Dalam masa yang sama, mereka makin selesa bersama.
Ammar selalu memuji Hana. Kadangkala dia menyertai siaran langsung yang Hana buat dan memberi hadiah. Tidak dilupakan dengan memberi komen yang manis pada setiap video yang Hana kongsikan.
Menginjak hari, Ammar mula menghubungi Hana hampir setiap malam, bermain permainan video malah mula keluar bersama.
"Saya rasa, saya nak kita jadi lebih dari sekadar kawan..." Ammar menyatakan hasratnya ketika mereka bertemu. Dia juga membawa sekuntum bunga.
"I think...." Kelihatan seperti Hana masih ragu-ragu dengan keputusannya sama seperti sebelumnya tetapi Ammar cepat memintas.
"Please? We can try...." Sekali lagi juga Ammar merayu. Matanya tiba tiba kelihatan bundar seperti anak kucing.
"Baiklah. Saya terima." Bunga yang dipegang Ammar kini beralih ke tangan Hana. Mereka berdua berkongsi senyuman dan bermulalah semua episod di mana Ammar mula menunjukkan sisinya yang lain.
Kadangkala dia merajuk jika merasakan dirinya diabaikan, lalu Hana akan dipersalahkan. Selama mereka berhubungan, Hana sahaja yang akan menutur maaf meskipun kadangkala Ammar yang salah. Bukan itu sahaja, dia disuruh mendedahkan hubungan mereka kerana Ammar tidak mahu ada sesiapa mendekati Hana. Oleh sebab perasaan sayang sudahpun terbina, maka Hana turuti sahaja.
Hana tidak pernah membantah. Jarang sekali untuk dirinya berkata tidak. Kebiasaannya dia perlu memberi penjelasan yang panjang lebar, sehinggalah maafnya diterima. Pernah juga dia tidak dihiraukan Ammar selama dua hari kerana salah faham yang terjadi.
Akhirnya, Hana cuma boleh bersabar dengan jalan yang dipilih. Dia tidak pernah menyesali tetapi keadaan itu sering kali membuatkan fikiran Hana terganggu.