Mereka bangun awal pagi untuk mengemas barang-barang perkhemahan kerana hari terakhir itu akan difokuskan untuk aktiviti lasak. Hari itu akan jadi hari yang sukar untuk Hana kerana dia tidak menggemari aktiviti lasak. Staminanya juga tidaklah cukup kuat kerana sudah beberapa tahun dia tidak melakukan aktiviti berat. Dia yakin badannya akan sakit-sakit keesokannya. Untungnya semester telah berakhir dan dia boleh rehat sebanyak yang dia mahu.
"Penatlah..." Hana tercungap-cungap mendaki bukit. Dia dan Massara menjadi orang yang paling akhir, manakala Fazrul terpaksa mengekori mereka di belakang. Dia mendengar sahaja dua gadis di hadapannya yang asyik merungut.
Mereka perlu mendaki lebih tinggi supaya dapat melakukan aktiviti flying fox untuk turun ke kaki bukit. Untungnya mereka tidak perlu turun menggunakan kaki sendiri kerana Hana sudah sangat keletihan.
"Sekejap je lagi ni," Massara memberi sokongan. Dia sendiri tidak boleh merungut kerana dia yang pandai-pandai meletakkan nama Hana, dan mengajaknya menyertai perkhemahan tersebut.
Ranting kayu besar dipatahkan dan dijadikan tongkat untuk membantunya menyeimbangkan tubuh.
"Macam lama lagi je ni..." Gadis itu tidak habis-habis merungut. Seluar hitam yang dipakainya sudahpun terkena tanah yang basah dengan embun. Namun, cuaca masih baik dan hari tidak hujan sepanjang mereka berkhemah.
"Hah, dah nak sampai dah tu! Kejap je lagi ni." Massara teruja sebaik melihat batang besi yang tinggi terpacak beberapa meter dari trek pendakian. Mereka sudah hampir sampai ke tempat yang dituju.
Tiba-tiba Hana berhenti sebentar sambil mengatur bernafas.
"Hana okay tak ni? Nak rehat dulu ke?" tanya Fazrul prihatin.
"Eh takpe, okay je ni. Faz boleh jalan dulu..." katanya, kemudian memberi isyarat kepada Fazrul agar bergerak dahulu. Dari tadi Fazrul tidak bercakap banyak sepanjang mengawasi mereka dari belakang.
"Sure ke ni okay?" ujar Fazrul sedikit risau dan kasihan melihat gadis itu masih tercungap-cungap.
"Yes, I'm sure!" jawab Hana dengan yakin.
"Betul ni? Serious?" tanya Fazrul untuk kesekian kalinya. Dia hanya ingin mendapatkan kepastian dari Hana.
"Thank you," ujar Hana saat Fazrul melintasinya. Dia sedikit lega melihat Fazrul yang sudah banyak bersuara.
Setelah puas Hana berehat, dia terus mengambil langkah memulakan semula perjalanannya dengan laju bagi menyaingi pelajar yang lain.
Selang beberapa minit dia berjalan, dia mulai nampak bayang sekumpulan pelajar lain dihadapnnya. Dia semakin melajukan lagi langkahnya mengejar kumpulan tersebut.
Mereka berjalan ke kawasan lapang dan berkumpul di situ. Renjer hutan yang membawa mereka kemudian memberi taklimat tentang keselamatan kerana perjalanan flying fox itu agak panjang.
Kata renjer, mereka boleh menikmati air terjun saat turun di bawah sambil berkelah. Semua makanan pun sudah disediakan.
"Okay, dekat bawah nanti, awak semua boleh mandi air terjun, yang nak berkelah pun boleh. Makanan semua dah tersedia dekat bawah. Jadi tolong jaga diri masing-masing dan diminta semua berhati-hati semasa mandi air terjun. Faham semua? Kata renjer yang mengendalikan mereka. Hana sendiri tersengih-sengih mendengarnya. Dia bahagia apabila mendengar perkataan makanan dan tidak sabar untuk terjun.
Barang perkhemahan yang dibawa juga sudah dikemaskan dan ditinggalkan di tapak perkhemahan. Sementara mereka berkelah, orang lain yang akan mengutipnya untuk dibawa turun menggunakan kenderaan supaya mereka dapat melakukan aktiviti lain dengan mudah.