SELESAI menunaikan solat Isyak, aku duduk di atas sejadah dan mula mengaji. Mahu mendekatkan diri kepada Allah dan mahu mengumpul amalam sebagai persediaan menunggu mati. Mati itu tidak tunggu masa dan mati tidak akan menunggu kita. Disebabkan itulah, kita selayaknya memperbanyakkan amalan supaya ada bekalan yang dibawa nanti.
Dua jam berlalu dan aku menutup kitab suci Al-Quran sebelum meletakkan nya di atas almari yang agak tinggi. Aku membuka telekung dan meletakkannya di dalam almari kembali. Sekarang sudah jam 11 malam. Adakah masih ada tetamu di bawah?
Aku tidak tahu memandangkan aku tidak pernah hadiri majlis sebegini jadi aku tidak tahu pukul berapa majlis begini akan tamat. Aku menggapai tudung sarung yang tersimpan kemas di dalam almari sebelum pintu bilik dibuka perlahan-lahan. Aku mengeluarkan kepala dan mengintai kiri dan kanan untuk pastikan tiada sesiapa di situ.
Apabila pasti tiada manusia lain selain aku di tingkat atas, aku membuka pintu bilik seluasnya dan melangkah keluar. Aku berjalan menuju ke arah tangga untuk turun ke dapur memandangkan aku tengah lapar. Mataku kemudiannya mati pada seorang wanita yang baru keluar dari bilik air yang tidak jauh dari tempat aku berdiri.
"Eh? Ayla?"
Bagai nak terkeluar anak mataku bila aku lihat Puan Sri Maria ada di sini. Macam mana aku boleh lupa? Wanita itu ialah mak cik yang telah tolong ajar aku cara nak pilih ikan minggu lalu!
"Eh, puan Maria." Tegur ku sopan.
Aku tidak jadi turun. Aku melangkah ke arahnya dan menggapai tangan lembutnya untuk bersalam. Walaupun sudah berusia, tangannya tetap lembut seperti bayi! Mesti sangat dijaga oleh si suami!
"Ya Allah. Tak sangka dapat jumpa Ayla dekat sini. And, please my dear, jangan panggil puan Maria. Panggil auntie je. Nak panggil mak cik pun tak apa. Tapi, kuat betul takdir nak satukan kita. Mungkin ini tandanya Ayla ada jodoh dengan anak auntie!" Selamba sahaja dia menyatakan pendapat.
Aku pula dah macam tertelan butir nangka.
Puan Sri Maria ni masih tak habis-habis nak promosikan anak dia pada aku ke? Menyesal pula aku keluar dari bilik. Tapi, aku tak tahu pula Puan Sri Maria ni kenalan abah! Hadoi!
"Hahaha... Auntie ni kawan abah ke?" Aku bertanya dengan berhati-hati.
"Abah? Oh, Tan Sri Mokhtar?"
Aku angguk.
"Suami auntie geng sekepala dengan Mokhtar. Jadi, Ayla boleh cakap auntie ni pun geng mereka jugalah. Tapi, Ayla ni anak tiri Mokhtar ya? Anak Liza?" Soalnya lembut.
Aku angguk lagi. Belakang leher yang berlapik tudung itu digaru. Segan.
"Oh, jadi kamulah anak tiri dia yang misteri tu." Dia ketawa sedangkan aku sudah terkebil-kebil di situ.
"Misteri?"
"Yelah, semua orang tahu yang Mokhtar ada tiga anak tiri. Tapi, hanya dua orang yang diperkenalkan kepada kami. Rupanya yang seorang lagi sedang menyorok." Dia mengusik.
Aku pula hanya pura-pura ketawa.
Malu juga sebenarnya bila jumpa di sini. Aku tahu di mana kedudukan aku jadi aku rasa sangat segan untuk tunjukkan diri.
"Hehehe... Urm, masih ramai ke orang dekat bawah sana, auntie?"
Aku menukar topik perbualan.
Aku ni tengah kebuluran.
Nak makan.
Rasanya, mesti masih ada sedikit makanan di bawah. Tak akan semua dah habis kan? Sebab kalau semua dah habis, aku cuma akan naik tidur jelah. Malas nak kecoh-kecoh atau menyusahkan sesiapa di malam hari ni dan aku pun malas nak keluar malam-malam buta macam ni semata-mata nak makan.
YOU ARE READING
Pemilik Hati Adam Fateh
Romance"Saya orang melayu, jadi jangan cakap guna bahasa mat salleh dengan saya." Sewaktu Ayla Dania dalam perjalanan pulang dari kerja, dia terlibat dalam satu kemalangan kecil yang menyebabkan dia bertemu dengan lelaki itu. Walaupun lelaki tu jelas-jelas...