BAB 35

41 5 0
                                    

MUSIM Peperiksaan Akhir Semester masih berbaki seminggu lagi tetapi hari itu, hari kertas terakhir untuk pelajar semester pertama Sains Alam Sekitar. Sebaik saja mata pen usai mengisi ruang jawapan, Sephia Jane menyemak semula jawapannya yang lain. Sebelum detik 30 minit terakhir mula dihitung, dia bangun dari kerusi dan meninggalkan dewan peperiksaan bersama barangan peribadi yang disimpan dalam beg miliknya.

            Dia melabuhkan punggung di anak tangga. Wajah dibenamkan ke telapak tangannya. Jarinya meregang, mengenggam rambutnya yang terasa kasar bila disentuh. Keluhan berat dia hembuskan. Menjadi antara yang terawal meninggalkan dewan peperiksaan tak membawa apa-apa maksud yang baik; dia cuma tak tahu jawapan sebenar kepada semua soalan. Jadinya, dia jawab saja ikut logik akal yang tak boleh digunapakai dalam menjawab peperiksaan untuk subjek teras kursusnya.

            "Phia!"

            Sephia melepaskan rambutnya. Jari telunjuk tersangkut sekejap di skala dua kerana rambut keriting halusnya yang berpintal. Dia mendongak setelah meleraikan jari dari rambutnya. Seorang gadis bertudung bawal kelabu dengan corak bunga hitam mempersilakan diri sendiri untuk duduk di sampingnya. Siapa lagi kalau bukan Izara, yang juga menduduki peperiksaan akhir semesternya di salah satu dewan kuliah berhampiran.

            "Hai!" Sapa Izara, senang hati.

            "Hai." Balas Sephia, nadanya menjunam.

            "Seorang je ke? Janice belum habis jawab lagi eh?"

            Sephia sekadar mengangguk, mengiyakan pertanyaan gadis itu. Izara pun terangguk-angguk faham. Tetapi melihat dari raut wajahnya yang sedang tersenyum riang seperti orang mabuk asmara itu, sepertinya keberadaan Janice di mana tidak terlalu penting buatnya. Sekadar berbasa-basi dengan soalan tadi.

            "Phia," Izara tiba-tiba menoleh dan menatap Sephia. "You... ada cakap apa-apa kat Nael ke?"

            "Cakap apa?" Sephia mengerutkan dahi. Jangankan berbual soal Izara, saling menyapa pun tak lagi. Dia dah Nael sudah lama asing.

            "Tak adalah. You pun tahukan cara Nael layan I selama ni? Dari awal kitorang bercinta, asyik I je yang kena usaha itu ini."

            Sephia tertunduk. Dia tak mengiyakan, juga tak menidakkan. Sejujurnya, dia tak mahu masuk campur urusan orang lain meskipun orang lain itu ialah Nael, rakannya dari kecil dan Izara.

            "Tapi tahu tak? Hari ni kitorang nak keluar pergi date and guess what? Nael yang plan semua! Dari tempat kitorang nak pergi, apa yang kitorang nak buat and I just have to show up."

            Sephia berakhir dengan terpaksa menahan keluhannya. Bukan kerana dia cemburu mendengar Nael akhirnya mula membuka hati buat Izara, tetapi kerana ada sebahagian dari dirinya berharap sesudah menjawab peperiksaan hari itu, dia dan Nusayr juga dapat keluar berdua meraikan pengakhiran semester pertamanya. Dia cemburu; tapi bukan kerana Nael dan Izara, tetapi kerana dia dan Nusayr tak dapat melakukan yang sama kerana dibatasi hubungan yang ambigu tanpa gelaran yang jelas.

            "Eloklah tu." Komen Sephia ringkas, malas berbual sebenarnya.

            "Eh, Nael dah sampai!" Getus Izara, bingkas bangun.

Sephia menoleh ke arah Izara mengarahkan tubuhnya. Di sana, ada seorang jejaka yang memandu kereta Volkswagen Golf GTI memberi isyarat lampu kerana mahu berhenti sebentar. Cerminnya yang gelap tak diturunkan, tetapi Sephia tak perlu melihat wajah siapa yang sedang memandu kereta itu. Dia sudah menghafal setiap ciri mukanya.

            "Phia,"

            Sephia tersentak. Dia menoleh ke hadapan. Persekitarannya telah berubah. Ruang lapang di luar dewan peperiksaan kini berdinding kuning seolah dicalit dengan urna pasir di pantai. Hiasan dalam yang bercirikan rumah di mediterranean itu bukan sebab mengapa dia sedang terkebil-kebil. Melainkan dua pasang mata yang sedang menatapnya dengan kerisauan bersarang di hati.

            Iyalah. Ibu bapa mana saja yang tak risau bila anak yang periang tiba-tiba berubah menjadi seseorang yang pendiam?

            "Phia okay ke?"

            "O-Okay," Jawabnya, tergagap-gagap kerana diri sendiri pun tak yakin. "Phia tak lapar lagilah. Boleh tak kalau mama simpankan sikit makan untuk Phia? Nanti Phia lapar, Phia turun makan." Pintanya, sengaja menokok tambah di belakang walhal hati jelas-jelas berkata dia tak berselera langsung untuk makan.

            "Phi—" Belum sempat Puan Michie menghabiskan bicaranya, Sephia sudah meminta diri. Encik Sopian terus meletakkan tangan di bahu isterinya, menghentikan wanita itu daripada membuntuti Sephia. "Tapi Phia—"

            "Nanti bila dah bersedia, Phia ceritalah." Cantas Encik Sopian, nadanya tenang saja tetapi ketegasan katanya terasa.

            Di atas, Sephia menutup rapat pintu kamar tidurnya. Tubuh yang lelah direbahkan pada kerusi. Badan dihalakan ke meja belajarnya, di mana ada kalendar terletak. Ada tinta merah yang membulat tarikh hari itu, tetapi bukan kerana hari itu dia ada kertas peperiksaan; tapi kerana hari itu, hari terakhir Amar Nusayr di Malaysia.

            Sephia menoleh ke jurnal yang diletakkan di bawah cahaya lampu meja. Tulang belakang jurnal mula merekah kerana ketebalan yang bertambah dengan setiap resit, pembungkus makanan, bahkan tisu yang diselit di setiap lembaran entri. Matanya kosong, jiwanya juga sama. Dia bagaikan jasad berongga dengan roh entah menerawang ke mana. Barangkali sudah sampai di Afrika Selatan, menanti ketibaan Amar Nusayr di bandara.

            Kata orang, jika rasa suka berlanjutan lebih daripada empat bulan, ada kemungkinan rasa suka itu sebenarnya cinta. Termasuk tahun itu, sudah lapan tahun berlalu sejak dia terjatuh suka dengan jejaka yang mesra dipanggil Nusayr. Meski ada tahun-tahun yang berlalu tanpa mendengar suaranya, Sephia akui, rasa suka yang juga mungkin cinta itu sentiasa ada. Tetapi sampai bila?

            Mereka pernah melalui fasa tak menghubungi satu sama lain seolah-olah daripada awal lagi, hanya sekadar orang asing. Sephia mengerti mengapa. Dia masih hingusan, Nusayr sibuk mengejar cita-cita. Nusayr masih mengejar cita-cita; dan dia akan ditinggalkan lagi. Siapa tahu, mungkin di mata Nusayr, dia masih budak hingusan yang sama seperti lapan tahun lalu. Hanya anak jiran yang datang untuk menimba ilmu matapelajaran sains kerana ada peperiksaan besar yang perlu dihadapi.

            Sebenarnya, apa yang Nusayr cari? Siapa yang Sephia harus jadi untuk Nusayr memandangnya layak seorang wanita, bukan budak kecil yang menjengkelkan dengan soalan kebudak-budakkannya? Peribadi yang baik? Rupa bak bidadari? Kecerdasan otak yang hadir sendirinya meski tanpa usaha? Apa yang Nusayr mahu?

            Apa lagi yang tak cukup?

            "Dahlah Phia." Gadis yang rambut berpintalnya jatuh menutup muka itu tertawa tewas. "Kau bukan orang yang dia cari. Sampai bila-bila pun memang tak akan jadi orang yang dia cari."

            Nafas dikumpul dan jurnal tebal itu dicapai. Lalu tanpa dibelek, jurnal sengaja dijatuhkan ke dalam bakul sampah di tepi meja belajarnya. Tak lagi menoleh ke belakang.

OVERRATEDWhere stories live. Discover now