JASMINE baru keluar dari ruang Muslimat surau taman perumahannya lalu berjalan beriringan dengan Mak Cik Gayah dan jemaah lain. Kelihatan sudah ramai jemaah lelaki dan budak-budak beratur mengambil nasi lemak bungkus di dalam bakul di atas meja ruang makan. Nasi lemak yang disedekah oleh Kak Bedah memang dinanti-nanti kerana kelazatannya.
'Mesti sebab Kak Bedah ikhlas sangat bersedekah, itu pasal sedap hingga menjilat jari nasi lemak dia,' bisik hati Jasmine yang berusia 25 tahun itu dengan senyuman. Nampaknya dia boleh berjimat malam ini kerana dapat makan percuma. Tapi kerana tidak mahu nampak gelojoh sangat, Jasmine menyuruh Mak Cik Gayah ambil dulu. Acah gadis paling sopan mengutamakan warga emas gitu.
Jasmine pula menunggu sampai semua orang selesai dan buat-buat sibuk melihat telefonnya.
Begitu pantas jemaah beratur dan mengambil nasi lemak sebelum berlalu pergi, barulah Jasmine perasan bakul itu sudah hampir kosong. Tapi di sisi meja itu masih ada dua orang lelaki, seorang pemuda dan seorang sudah berusia sedang berbual.
"Alamak! Tinggal satu aje. Baik aku cepat sebelum melepas," bisik Jasmine.
Jasmine pantas mengatur langkah. Baru sahaja dia hendak mengambil nasi lemak itu, tiba-tiba pemuda itu lebih pantas mengambilnya tanpa memandang bakul nasi lemak itu kerana sibuk berbual.
"Alhamdulillah, cukuplah satu ni, pak imam. Mak suka sangat nasi lemak Kak Bedah ni," ujar Rayyan sambil mencapai bungkusan nasi lemak. Kebetulan tangan Jasmine turut mencapai nasi lemak tersebut lalu dia terpegang tangan gadis itu.
"Eh!" Jasmine pantas menarik tangannya sambil terjerit sikit.
"Eh!" Pemuda segak itu tersentak dan menoleh ke arah Jasmine yang merenung nasi lemak di tangannya dengan air muka ralat.
"Errr, awak nak nasi lemak ni ke?" soal Rayyan pelik.
Jasmine teragak-agak hendak menjawab kerana mengingatkan kata-kata pemuda itu yang maknya teringinkan nasi lemak Kak Bedah.
"Taklah." Jasmine pantas menjawab seraya gelengkan kepala.
"Tak, kalau awak nak, ambillah. Tak apa."
"Tak, saya nak tengok kut ada kuih lain." Cepat Jasmine cari helah. Malulah kalau pemuda itu tahu yang dia hendak sangat nasi lemak itu.
"Memang tak ada. Malam ni ada nasi lemak Kak Bedah aje," ujar Rayyan selamba. Gaya macam sudah biasa dengan gadis itu walaupun itulah kali pertama mereka bersua muka.
Rayyan menghulur nasi lemak itu kepada Jasmine. Jasmine berkerut dahi memandang Rayyan yang tersenyum sambil mengangguk perlahan.
Bukan main bercahaya wajah pemuda berkulit hitam manis itu. Bagai berseri dengan cahaya keimanan. Wajahnya tidak terlalu tampan tetapi sedap mata memandang. Lebih-lebih lagi bila dia tersenyum begitu, memperlihatkan barisan gigi putih bak mutiara cantik tersusun tanda tidak merokok. Apatah lagi dengan berbaju Melayu dan berkain pelekat, jemaah surau pula tu. Stok macam ini memang edisi terhad.
Waduh, bergegar juga jantung Jasmine. Mujur telekung yang masih tersarung itu menyelamatkan maruahnya agar mengawal diri supaya tidak teruja sangat. Jasmine hanya tertunduk.
"Nah. Saya letak sini. Ambillah, jangan malu. Malu, lapar," kata Rayyan yang tergelak sendiri lalu beredar.
Ah, suara itu begitu gemeresik sekali. Tak boleh bayangkan kalau suara itu berbisik di telinganya. Mahu gugur imannya macam botol kicap jatuh ke lantai, bersepai. Ah! Sudah. Jangan mengarut, Jasmine. Pantang jumpa lelaki kacak, ada saja angan-angannya tapi satu pun tak jadi sebab malunya setinggi Gunung Kinabalu. Perempuan nak mengurat? Belum lagi bagi Jasmine.

ANDA SEDANG MEMBACA
Manis Tentang Kita (Free Chapter)
General Fiction"S... saya pun nak sembang kejap aje. Awak masuklah. Urmm... Kejap... Saya nak..." Rayyan putus kata-kata. Gugup gila. Jasmine pelik, lalu bertanya dengan nada tinggi. JIRAN tall, dark, handsome tetapi acah pemalu itu menjadi penawar rindu Jasmine...