Bab 13

43 4 0
                                    

FIRAZ masuk ke pejabat dengan penuh gaya ala-ala CEO muda dalam drama Korea, terus menuju ke arah biliknya. Safian yang sedang berbual gedik dengan Emma, budak intern yang baru masuk ke bahagian jualan dan pemasaran itu terkejut apabila nampak bos menjeling ke arahnya.

Dengan kalut, Safian terus menuju ke arah Firaz yang sedang berjalan tapi matanya mengerling ke arah ruang pekerja pemasaran yang hanya ada dua orang itu.

"Bos, tak cakap pun nak masuk ofis hari ni," tegur Safian dengan sengih-sengih.

"Apasal? Takut kantoi kau mengular?" Selamba Firaz menembak.

Safian tersengih-sengih. Tak takut pun sebab dia kenal dirinya, mana ada mengular. Dia kerja dengan penuh komitmen. Menggatal gedik-gedik sikit tu biasalah, lelaki. Kalau tak mengusik, bukan lelaki normallah dia.

"Mana ada saya mengular, bos. Tu budak intern baru. Dari UiTM. Tu yang saya kena ajar lebih sikit," terang Safian bersungguh dengan sengihan masih di bibirnya.

Firaz yang sudah duduk, terus membuka komputernya.

"Kenapa tak ramai staf di bahagian sales tu? Lunch sampai pukul tiga ke apa?" tanya Firaz serius sambil menjeling jam tangannya yang berjenama mewah.

"Ooo... Bos lupalah ni. Minggu ni kita ada join ekspo jualan hartanah di Pavilion. Hujung minggu ni habislah."

"Berapa orang dekat sana? Siapa?"

"Norman... Anuar dengan... siapa tu? Alaaa, budak yang mulut lepas tu... Apa ke namanya?" Sengaja Safian buat-buat lupa nama Jasmine. Mahu tengok sama ada Firaz ingat atau tidak gadis yang mula diberi perhatian itu.

Bukan Safian tidak tahu hati lelaki bosnya itu. Tapi biasalah, ego. Tapi yang tak bagusnya apabila Firaz sudah memberi perhatian kepada Jasmine, rajinlah pula dia datang pejabat. Hal itu memang menyusahkan Safian.

"Jasmine Hanani?" Tiba-tiba terpacul nama itu di mulut Firaz.

"Haaa, Jasmine... Hesy, boleh lupa pula nama staf tercomel tu. Maklumlah dah ada bunga lagi muda tadi, kan? Eh, tapi bos boleh ingat pula ya nama si Jasmine tu? Biasanya bos paling susah nak ingat nama staf... Lagi-lagi perempuan, kan?" gurau Safian.

Tapi Firaz tak ketawa pun malah menoleh dan merenung tajam Safian. Safian sudah kalut apabila tengok wajah serius bosnya itu.

"Errr, bos nak apa-apa report ke? Saya sediakan sekarang?"

"Berapa hari dah dia orang kat sana?"

"Hari ni Jumaat, lima harilah. Sampai Ahad nanti," jawab Safian mula serius.

"Lamanya. Setakat ni berapa dah sales?"

"Ikutkan report semalam, boleh tahan juga, bos."

"I need numbers not rumor!" Tegas Firaz dengan bersahaja.

Safian makin kalut. Aduhlah... Bos ni nak terperincilah pula. "Saya balik ke pangkal jalan tempat saya dulu, bos. Kejap lagi saya update, boleh?"

Firaz bersandar dan perhatikan Safian dengan riak wajah gelisah.

"Budak selamba tu... perform?"

"Siapa? Jasmine?"

"Tak, nenek kau!"

Safian tersengih lucu. "Kalau Jasmine, alhamdulillah. Mulut selamba dia tu memang berguna sangat. Peramah dan pandai bergurau, buatkan ramai potential buyer sukakan dia. Tapi tulah..."

Berkerut dahi Firaz bila lihat tiba-tiba Safian macam teragak-agak nak cakap.

"Apa? Dia mengular pergi shopping? Tidur lebih kat surau?"

Manis Tentang Kita (Free Chapter)Where stories live. Discover now